"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda Umno desak Anwar pecat menteri buat 'kecoh' di KLIA

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular di media sosial menunjukkan kekecohan yang berlaku membabitkan seorang menteri. FOTO video Tular
TANGKAP layar video tular di media sosial menunjukkan kekecohan yang berlaku membabitkan seorang menteri. FOTO video Tular
Kuala Lumpur: Pemuda Umno hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap seorang menteri yang didakwa menceroboh dan membuat kecoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, jawatan menteri itu seharusnya dilucutkan kerana tindakan yang dibuat sama sekali tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.

"Tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang. Waima siapa dan apa sekalipun jawatan kamu.

"Saya mohon untuk YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap kelakuan menteri yang tidak wajar ini.

"Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri. Sama sekali tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Perkara itu kemudiannya mendapat reaksi Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta kerajaan termasuk pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya kesal dengan tindakan itu sekiranya benar berlaku kerana membabitkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.

Muhamad Akmal yang yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau turut menegur perbuatan yang dilakukan oleh menteri berkenaan.

"Menteri bukan bermakna kamu boleh melakukan apa sahaja, menteri bermakna kamu perlu bekerja dan melaksanakan amanah rakyat bukan sebaliknya," katanya.

Tiada ulasan: