"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Benarkah Selangor halang usaha dakwah?

Mohd Fauzi Fadzil

Tuduhan yang melampau terus dilemparkan terhadap kerajaan Selangor menjelang pilihanr raya negeri (PRN) dijangka sekitar Ogos nanti.

Sebelum ini kerajaan negeri dituduh cuba menghalang usaha dakwah apabila beberapa penceramah ditapis daripada mendapatkan tauliah mengajar di masjid dan surau.

Tapisan itu sebenarnya dibuat atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu rumah ibadat di negeri baginda kekal terpelihara daripada unsur politik kepartian.

Sekarang wujud pula tuduhan kerajaan Selangor - melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi tekanan kepada sekolah agama persendirian (SAP) untuk mendapat kelulusan beroperasi.

Terdapat pengusaha SAP yang didenda oleh PBT kerana beroperasi tanpa mengikut syarat serta garis panduan yang ditetapkan. Pengusaha tersebut mengadu bahawa syarat seperti pemasangan kekili hos (hose reel) menelan kos yang banyak dan tidak boleh disediakan.

Kegagalan mendapatkan kelulusan daripada PBT juga menyebabkan segelintir SAP tidak dapat mendaftarkan pelajar mereka untuk menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tahun ini.

Terdapat segelintir NGO menuduh kerajaan Selangor memperketatkan syarat-syarat pendaftaran bersama PBT dan Jais sehingga menyebabkan 80 buah sekolah dan lebih 20,000 pelajar terjejas.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
Perkara ini telah dijawab oleh Exco agama Islam Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, sebanyak dua kali masing-masing melalui kenyataan media pada 16 Jun dan 22 Jun lalu.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah syarat PBT untuk membenarkan SAP beroperasi wujud lama, iaitu sebelum 2021 lagi.

Atas titah Sultan Sharafuddin pada 2018 garis panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Selangor diwujudkan pada 2019.

Garis panduan tersebut dikuatkuasakan pada 2021 bagi memastikan tragedi kebakaran yang melanda sebuah SAP sehingga meragut 23 nyawa pada 2018 tidak berulang.

Disokong institusi tahfiz

Justeru rungutan sesetengah pengusaha SAP bahawa kerajaan Selangor sengaja menyusahkan mereka dengan meletakkan syarat pendaftaran yang ketat serta mengeluarkan denda adalah tidak benar.

Kesemua pengusaha SAP di Selangor telah diberikan kelonggaran selama dua tahun (2021 hingga 2022) untuk mematuhi garis panduan yang diwujudkan oleh kerajaan.

Namun pada 2023 kerajaan Selangor melalui PBT dan Jais terpaksa mengambil pendirian tegas bagi memastikan keselamatan murid-murid SAP terus terpelihara.

Pada masa sama tiada sebarang arahan penutupan SAP dikeluarkan oleh kerajaan negeri seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya PBT hanya mengeluarkan arahan pemindahan SAP kerana status bangunan yang sedang mereka duduki dan beroperasi adalah bangunan komersial.

Kerajaan Selangor sentiasa peka dan cuba membantu pembangunan SAP demi kelestarian pendidikan dan pendidikan anak-anak Islam, namun tiada kompromi untuk hal-hal berkaitan keselamatan.

Mohd Zawawi juga mengambil tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Bertindak Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Selangor.

Dia sedang berusaha berbincang bersama agensi terlibat untuk memberi tempoh tambahan selama tiga tahun bagi pengusaha SAP menyelesaikan isu berkaitan.

Usaha itu turut mendapat sokongan daripada Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (Pitas) yang dianggotai 478 institusi SAP.

Justeru tuduhan melampau yang dilemparkan pihak tertentu terhadap kerajaan Selangor adalah tidak adil, apatah lagi muncul menjelang PRN yang bakal menjelang tidak lama lagi.

MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR Selangor.

Tiada ulasan: