"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UMNO paling gelap, tidak mungkin pulih - KJ

Mahani Ishak
am@hmetro.com.my

Cheras: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan UMNO adalah tempat paling gelap dan parti itu tidak mungkin pulih daripada keadaannya buat masa sekarang.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, parti yang pernah disertainya lebih 20 tahun lalu juga disifatkan berada dalam kegelapan selama-lamanya.

"Saya tak tahu mengenainya (peluang cerah jika menunggu memasuki semula UMNO atau menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi saya rasa UMNO sudah tergelincir daripada perjuangan asal.

"Saya tak pasti (UMNO) dapat pulih daripada (keadaan) ini. Sudah pasti itu parti dekat di hati kerana saya bersamanya lebih daripada 20 tahun, tetapi saya percaya parti itu berada dalam kegelapan selama-lamanya," katanya ketika hadir program Future Leaders Empowerment Series (FLES) di UCSI University di sini, tadi.

Khairy turut berkongsi pengalaman memasuki universiti di United Kingdom pada era 1990-an dan bersama dalam program bual bicara itu, Ketua Pengarah Youth Beyond Boundaries, Kingsly Cheah.

Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, dipecat keahliannya daripada UMNO.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Khairy hanya menjawab perkara itu sudah dijawab sebelum ini.

"Saya sudah bercakap mengenainya sebelum ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai BERSATU buat sementara waktu dan juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

Khairy bagaimanapun dilaporkan akan memberi sokongan kepada PN, termasuk membantu pakatan politik itu berkempen dalam pilihan raya enam negeri yang bakal diadakan.

Sementara itu, Khairy hanya mengatakan beliau akan melihat terlebih dulu ketika ditanya mengenai kemungkinannya bersara daripada dunia politik.

"Tunggu dan lihat," katanya ringkas.

Tiada ulasan: