"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuan Ibrahim sebar fakta salah berkenaan konsep politik Islam

Wan Ji Wan Hussin

Tidak lama selepas tersebar video bahawa Ahli parlimen Jasin mempersoalkan status akidah Muslim bagi rakyat yang bukan ahli PAS, tersebar pula video ceramah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim yang menyebut beberapa nama sahabat Nabi, lalu mendakwa bahawa mereka adalah ahli politik.

Selepas itu pula, berlaku himpunan PAS Kedah melibatkan Menteri Besar Kedah. Ustaz Zainul Asri yang merupakan tokoh agama terkenal di Kedah telah mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi kesan bahaya pada sudut keamanan negara, iaitu apabila menampilkan bahawa kalangan yang berusaha hendak mengalahkan PAS di Kedah sebagai musuh Allah.

Bahaya

Menuduh musuh Allah kepada kalangan yang berbeza memberikan implikasi yang tidak baik kepada budaya bermasyarakat. Tuduhan musuh Allah akan membawa kepada kepercayaan bahawa menentangnya adalah jihad dan mati terbunuh pula adalah syahid.

Kalau dahulu, Khawarij menggunakan pendekatan yang sama sehingga tercetus pertumpahan darah di era Saidina Ali. Dalam sekitar tahun 1960-an dahulu, negara Mesir tidak membendung tuduhan musuh Allah yang bergema di masjid dan surau menyebabkan Presiden Mesir ke-3 mati terbunuh pada tahun 1981.

Bermula dari pengaruh pemikiran Syed Qutb menerusi buku bertajuk “Ma’alim Fi al-Toriq”, menyebabkan lahir idelog-idelog teroris seperti Soleh Sirriyyah dengan menulis buku bertajuk “Risalah al-Iman” dan Muhammad Abdul Salam Faraj dengan menulis buku bertajuk “al-Faridhah al-Ghaibah”.

Soleh Sirriyyah yang merupakan pengasas kepada gerakan bernama Jabhah al-Tahrir yang dijatuhkan hukuman mati pada tahun 1976, pada peringkat awal memulakan tuduh Jahiliyyah kepada pemerintah negara yang tidak melaksanakan hudud dan Qisas yang kemudiannya membawa kepada tuduhan musuh Allah (Usama al-Azhari, 2015).

Muhammad Abd al-Salam Faraj yang merupakan orang yang bertanggungjawab mempengaruhi Khalid Islambuli agar membunuh Presiden Mesir ke-3, Anuar Sadat; beliau menerusi buku “al-Faridhah al-Ghaibah” pula menyatakan bahawa Mesir pada eranya adalah negara kafir yang wajib bagi orang Islam melawan pemerintahan Mesir walaupun dengan angkat senjata sekalipun. (Imarah, 2009)

Pemikiran ini ternyata lebih merbahaya apabila mempengaruhi pemikiran beberapa tokoh teroris seperti Aiman al-Zawahiri (2001) yang merupakan ketua al-Qaeda dengan menulis buku bertajuk “Fursan tahta rayah al-Nabi” dan Omar al-Saif yang menulis buku “al-Idah Lima Fi Dustur al-Yaman” yang kedua-dua buku ini membawa naratif tuduhan kafir, murtad, musuh Islam, jahiliyyah dan toghut kepada Muslim yang terlibat dengan demokrasi.

Politik Islam

Islam tidak pernah berasingan dengan politik. Namun, menghalalkan kejahatan atas nama politik Islam adalah penyelewengan terhadap ajaran Islam.

Permasalahan besar yang berlaku pada PAS, apabila semua tindakan mereka yang bercanggah dengan Islam dipamerkan halal. Lalu mereka menggunakan dalil agama bukan pada tempatnya. Mereka bukan mengikut agama, tetapi agama menjadi hamba abdi mereka untuk halalkan kejahatan mereka.

Apabila Tuan Ibrahim mendakwa sahabat terlibat dengan politik, itu sesuatu hal yang tidak dapat dinafikan, malah diakui sesiapa sahaja yang belajar agama Islam. Tetapi, Tuan Ibrahim tidak bertanggungjawab apabila tidak mentarbiah ahli PAS dengan menyatakan politik yang Islam mahukan bukan kerana sahabat terlibat atau tidak, tetapi politik Islam itu membawa kepada kebaikan rakyat.

Yusuf al-Qaradawi dalam “al-Siyasah al-Syariyyah Fi al-Daw’ Nusus al-Syariah Wa Maqasidiha” mendefinisikan bahawa politik itu adalah melaksanakan sesuatu perkara berasaskan kepada rakyat. Dalam perincian terhadap definisi tersebut, beliau menjelaskan ada dua perkara penting bagi makna politik Islam; pertama, berusaha hilangkan kerosakan yang sedang berlaku (Waqi’). Kedua, berusaha menghapuskan kerosakan yang dijangka bakal berlaku (Tawaqqu’). (Qaradawi, 2005)

Jika dilihat pada definisi politik Islam oleh al-Qaradawi, lalu dibandingkan dengan budaya politik PAS ternyata ia bercanggah. PAS dengan budaya takfir dan menuduh lawan politik mereka sebagai musuh Islam yang diketahui umum boleh membawa kepada permusuhan. Budaya politik wang yang dijenamakan sebagai sedekah tidak kurang bahayanya kerana boleh memberi kesan buruk pada budaya politik rakyat Malaysia untuk jangka masa yang lama.

Dalam buku bertajuk “Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa Makarumuha”, politik Islam menurut Allal al-Fasi perlu kepada tiga perkara dasar; Pertama, melaksanakan keadilan serta mengiktiraf keadilan yang dilakukan oleh pihak lain. Kedua, memberikan hak kepada yang berhak. Ketiga, mengurus tadbir rakyat dengan baik. (Alal al-Fasi, 2011).

Jika dilihat pada definisi politik islam oleh Allal al-Fasi pula, juga jelas PAS sendiri tidak menepati dengan konsep politik Islam. Permasalahan air kotor di Kelantan menjadi kegunaan rakyat sudah berpuluh tahun tidak dapat diselesaikan. Dalam usaha mengatasi masalah banjir dan pengurusan hutan sehingga merosakan eko sistem bukan perkara baru dalam pentadbiran di negeri PAS itu.

Penutup

Dalam kitab al-Muwafaqat, Al-Imam al-Syatibi menyatakan bahawa syariah Islam datang untuk membawa kebaikan kepada hamba (al-Syatibi, 1997). Makanya, politik menurut syariah sudah pasti melibatkan pengurusan rakyat agar mereka mendapat kebaikan.

Menimbulkan permusuhan agama dengan tuduhan musuh Islam, tuduhan kafir kepada Muslim, mewujudkan prejudis kaum dan sentimen agama; semua ini bukan konsep politik Islam.

Budaya politik Islam perlu kepada wacana idea dan persaingan polisi, kerana pendekatan sebegini adalah mekanisma untuk memberi kemaslahatan kepada rakyat untuk kebaikan mereka di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: