"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah batalkan kemenangan PAS di Kuala Terengganu

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen PAS Ahmad Amzad Hashim di Kuala Terengganu pada PRU15.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril hari ini membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.

Peguam Amzad, Yusfarizal Yusoff mengesahkan keputusan itu ketika dihubungi hari ini.

"Keputusan pilihan raya bagi Kuala Terengganu (diisytihar mahkamah sebagai) tidak sah dan diketepikan," katanya.

Yusfarizal berkata pihaknya akan memfailkan permohonan agar keputusan itu ditangguhkan, sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pada 3 Januari, BN memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya PRU15 di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Marang, and Kemaman, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said kemudian dilaporkan berkata, antara isu yang dibangkitkan dalam petisyen adalah dakwaan yang PAS menyogok pengundi menerusi bantuan kewangan daripada kerajaan negeri - dengan program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa - antara 15 hingga 17 November tahun lalu, iaitu beberapa hari sebelum hari mengundi.

Mahkamah hari ini turut mengekalkan kemenangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang.

Keputusan untuk Kuala Terengganu merupakan petisyen pertama terhadap keputusan PRU15 yang dibenarkan mahkamah.

Selain Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman, BN juga memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan pilihan raya di Gua Musang, Putrajaya, Masjid Tanah dan Segamat.

Bagaimanapun, mahkamah sebelum ini telah menolak petisyen terhadap kerusi Parlimen Putrajaya.

Tiada ulasan: