"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu itu belum tentu kubu PAS

Shuhaida Mohd Said & Bernama

Setiap kali tiba musim pilihan raya, pertarungan sengit yang disaksikan di Terengganu hanyalah antara PAS dan Barisan Nasional (BN), manakala parti-parti politik lain agak sukar untuk 'cari makan' di negeri itu.

Sejak sekian lama, dua parti dominan itu mempunyai sokongan dasar yang sangat kukuh dan kenyataan ini disokong penganalisis politik, yang menyifatkan politik Terengganu sebagai 'politik pendulum', yang berubah mengikut tempoh waktu tertentu, tanpa dapat diduga dengan tepat siapa yang akan menang.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, keyakinan tidak boleh diletakkan sepenuhnya ke atas PAS melalui kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan di bawah Perikatan Nasional (PN), walaupun secara dasarnya mereka dilihat mampu mencapai kemenangan mutlak, sementelah keputusan 8-0 yang menyaksikan kesemua lapan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi milik PN.

"Kita tidak boleh meletakkan keyakinan bahawa PAS juga boleh menyapu bersih kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kerana ada kawasan tertentu menjadi kubu kuat BN... malah BN pernah mentadbir Terengganu sebelum ia beralih tangan kepada PAS.

"Kalau nak lihat politik di Terengganu, kena lihat lebih menyeluruh, bukan saja dalam konteks nasional, tapi konteks tempatan juga. Bagi saya betul, boleh nyatakan PAS ada kekuatan, tapi belum tentu Terengganu itu kubu PAS, berdasarkan kedinamikan politik yang pernah berlaku di Terengganu.

“Dinamik politik di Terengganu berbeza dengan negeri-negeri lain, pengundinya lebih realistik dengan politik negeri... inilah keunikan politik Terengganu yang tiada di negeri lain," kata Mohammad Tawfik.

Pandangan sama dicetus Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim yang menekankan bahawa kerangka PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah tidak sama, justeru kesimpulan tidak boleh diluncurkan dengan mudah bahawa PN akan menawan Terengganu secara total dalam PRN akan datang. 

"Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa momentum sokongan rakyat terhadap sesuatu parti adalah sama seperti PRU yang lepas... Peluang masih terbuka di Terengganu... bagi BN misalnya, selama ini mereka kalah hanya disebabkan timbul isu-isu besar setiap kali menjelang pilihan raya. 

"Sebenarnya sokongan terhadap BN masih kuat, cuma ia bergantung kepada bagaimana BN berusaha untuk 'merawat' penyokong mereka (apabila timbul isu). Penyokong biasanya akan mampu menyerap dan menerima penjelasan daripada kepimpinan parti, namun jika ia tidak berlaku dengan baik dan proses 'housekeeping' itu gagal, maka sokongan mereka akan beralih," katanya. 

Mengambil contoh isu kolaborasi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan, ia tidak dinafikan sedikit sebanyak merenggut kepercayaan dan emosi penyokong Umno yang sebahagian besar berpaksikan kepada sentimen ethnoreligious.

"Justeru dengan sedikit masa yang ada ini (sebelum PRN), kepimpinan BN perlu melakukan proses housekeeping dengan baik, dampingi rakyat hingga ke peringkat akar umbi. Tidak mustahil BN mampu meraih sokongan yang lebih," katanya.

Pada pengamatan beliau juga, jika keputusan PRN di Terengganu memihak kepada PN sekalipun, usahlah dibiarkan kesemua kerusi DUN disapu bersih oleh PAS, sebaliknya BN perlu ada kerusi yang cukup untuk menjadi pembangkang yang kuat.

PAS mengambil alih pemerintahan negeri daripada BN dalam PRU14 selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya menang 10 kerusi iaitu di DUN Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

- Bernama

Tiada ulasan: