"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Hanya kerana pakai kopiah, jangan rasa orang lain tidak suci’ – Setpol PM

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi kesal dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara sinis mendakwa kerajaan Madani tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi bekas banduan dan perasuah.

Ahmad Farhan menegaskan, ucapan Abdul Hadi dalam muktamar Pas tahunan yang diadakan semalam jelas menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Marang itu selaku seorang agamawan tidak mencerminkan nilai sebenar diterapkan Islam.

Beliau berkata, Abdul Hadi sebagai agamawan perlu menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan kerana agama Islam telah tersebar melalui penyatuan manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang.

“Lantaran itu, saya berpandangan bahawa dalam ketika kita hendak berpolitik, biarlah ia bersifat sederhana dan jangan sampai kita memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba.

“Sementelahan itu, jangan hanya kerana kita mengenakan kopiah di atas kepala dan mengemudi parti yang tertera nama Islam, kita merasakan seolah-olah pihak lain tidak suci mahupun tidak ‘Islam’ sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Abdul Hadi dengan nada sinis menyifatkan, Pas tidak mahu menyertai Kerajaan Perpaduan yang sudah sedia tercemar.

Abdul Hadi berkata, kerajaan Anwar penuh dengan kekotoran dan Pas tidak mahu ‘menyucikan’ parti-parti dalam kerajaan itu.

“Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) siapa dalamnya. Cuci macam mana? Bekas banduan ada, kluster mahkamah (kes rasuah) pun ada, macam mana kami nak ikut (sertai)?,” katanya.

Lantaran itu Ahmad Farhan menyarankan Abdul Hadi untuk mengkaji semula pandangan beliau dengan menghayati Firman Allah dalam Surah An-Najm, 53:32,

“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa..”

“Sebagai agamawan, beliau sepatutnya memahami lebih mendalam perihal ini.

“Oleh itu, saya berharap hal ini akan menjadi pengajaran kepada semua untuk bersederhana dalam berpolitik dan tidak merendahkan pihak yang berbeza ideologi dengan kita,” katanya.

Tiada ulasan: