"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

China dituduh ganggu pesawat tentera AS

Utusanonline 
TANGKAP layar video menunjukkan jet pejuang China cuba melakukan pintasan berisiko terhadap pesawat AS di Laut China Selatan. - AGENSI
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menuduh China mendalangi usaha `bersepadu’ gerakan atau maneuver tentera udara yang berbahaya dan provokatif terhadap pesawat tentera negaranya di ruang udara antarabangsa.

Malah, AS memberi amaran tindakan sedemikian boleh mencetuskan konflik antara kedua-dua negara kuasa besar itu.

Menurut Pentagon, taktik agresif dilakukan oleh pesawat China mengancam pesawat tentera AS yang terbang di kawasan Laut China Timur dan Selatan.

Jelas Pentagon, lebih 180 kejadian seumpama itu direkodkan sejak musim luruh 2021.    

“Lebih banyak kejadian itu direkodkan dalam tempoh dua tahun lalu berbanding dekad sebelum itu.

“Hampir 200 kes pesawat China melepaskan jalur aluminium kecil (chaff), melakukan pecutan sambil melepaskan flare atau menghampiri terlalu dekat dengan pesawat AS,” kata Penolong Setiausaha Pertahanan Hal Ehwal Keselamatan Indo-Pasifik, Ely Ratner.

Hubungan AS-China berada pada tahap paling rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ketegangan membabitkan pelbagai isu termasuk perdagangan, hak asasi manusia, Taiwan dan Laut China Selatan.

AS memaklumkan negaranya ketika ini menganggap China sebagai saingan geopolitik utamanya.

“Tindakan operasi seperti ini boleh menyebabkan kemalangan dan nahas berbahaya boleh menyebabkan konflik yang tidak disengajakan,” kata Ratner.

Jelas beliau, jumlah kejadian itu yang dihitung sejak musim luruh 2021 dilaporkan meningkat kepada hampir 300 apabila sekutu AS disertakan.

Ratner mendakwa wujudnya usaha dari pihak Beijing untuk `melakukan gerakan berisiko itu’ bagi memaksa perubahan dalam aktiviti operasi AS yang sah.  

“AS tidak boleh dihalang mahupun dipaksa. Pesawat dan kapal tentera kami akan beroperasi dengan selamat dan bertanggungjawab di mana sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa,” katanya. – AFP 

Tiada ulasan: