"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ketika lapar, dia kerap minum air tandas, saya tak akan maafkan'

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
MANGSA penderaan diselamatkan di sebuah flat di Taman Pulai Jaya di Pulai. FOTO Arkib NSTP
MANGSA penderaan diselamatkan di sebuah flat di Taman Pulai Jaya di Pulai. FOTO Arkib NSTP
Johor Bahru: "Selama beberapa bulan anak saya tanggung kesakitan, tekanan dan penderitaan akibat dibiarkan kebuluran dan dikurung di tandas, pelaku seharusnya dijatuhi hukuman setimpal," kata M Ana.

Ana, 34, yang juga ibu kepada kanak-kanak lelaki mangsa penderaan berkata, dia berpeluang untuk bertemu dengan anaknya Sabtu lalu selepas dimaklum pelindung kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia terkilan melihat keadaan anaknya itu dan hampir tidak mengenalinya kerana keadaan fizikalnya itu tidak sama seperti sebelum ini.

Katanya, ketika anaknya tinggal bersamanya dua tahun lalu, berat badan anaknya itu mencecah lebih 60 kilogram dan seorang yang ceria dan peramah.

"Saya pernah membuat laporan sebanyak tujuh kali termasuk di Banting, Selangor kerana suami tidak membenarkan untuk bertemu dengannya sejak lebih setahun lalu.

"Saya tidak menolak kemungkinan dia menjadi mangsa penderaan dalam tempoh setahun ini," katanya ketika dihubungi.

Ana berkata, berdasarkan perkongsiannya, dia kerap meminum air tandas ketika kelaparan dan kadang-kala dia hanya menjamah sisa makanan yang tertinggal.

Menurutnya, anaknya juga menyatakan dia terpaksa menahan kesakitan apabila sengaja dipukul serta dicucuh api oleh teman wanita suami dan tiada tempat untuk mengadu nasibnya.

"Saya tidak melihat perbuatan mereka namun siapa saja pelaku, saya tidak akan memaafkan mereka dan berharap dibawa ke muka pengadilan.

"Tak dapat bayangkan nasibnya sekiranya dia tidak diselamatkan polis, mungkin kami akan kehilangannya," katanya yang juga peniaga nasi lemak di Kuala Selangor.

Menurutnya, bagaimana dia memujuknya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sehingga keadaannya beransur baik.

"Saya bersyukur kerana dia terselamat, terima kasih kepada polis, komuniti setempat mahupun sukarelawan.

"Saya juga menghargai perhatian diberikan Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) dan Skuad Waja terhadap anak saya ketika dia diselamatkan hingga kini.

"Saya tidak sabar untuk dibenarkan membawa pulang anaknya selepas proses siasatan, saya akan mendaftarkannya di sekolah dan akan memastikan kesihatannya lebih baik," katanya.

Malah buat masa kini, Ana turut memberi jagaan kepada ibunya berusia 54 tahun yang juga pesakit strok.

Semalam Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang menjadi mangsa dera ditemukan tidak bermaya, dibiarkan berbogel dan dikurung dalam tandas rumah keluarganya di Pulai, di sini, Jumaat lalu.

Ia disedari jiran yang kebetulan ke rumah keluarga mangsa untuk menumpang meletakkan barangan basah di dalam peti ais, Khamis lalu.

Tiada ulasan: