Mohsin Abdullah
Dalam ucapan dasar pada perasmian Muktamar PAS ke-69, semalam, Hadi Awang mengarah anggota parti menarik undi bukan Islam. Ertinya beliau tahu perkara yang sudah lama diketahui orang lain bahawa tanpa sokongan masyarakat bukan Melayu (untuk dicampur dengan sokongan Melayu) tiada parti politik boleh memerintah negara tercinta ini yang rakyatnya berbilang kaum dan agama.
Bagaimanapun saya yakin Hadi dan juga partinya sudah lama tahu akan realiti itu tetapi dengan mengeluarkan arahan yang disebut tadi di depan khalayak pada hemat saya ialah pengakuan terbuka PAS betapa pentingnya masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam dalam konteks Malaysia .
Hadi mengakui bedah siasat PAS mendapati partinya lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu. Maaf cakap tetapi adakah ini bermaksud Hadi dan partinya memerlukan suatu bedah siasat untuk mengetahui itu? Pada hal umum tahu PAS sememangnya tidak disokong majoriti orang bukan Melayu. Tidak perlu siasatan forensik untuk tahu itu.
Namun saya imbau kembali PRU2008 apabila PAS menikmati undi bukan Melayu. Contoh satu kawasan ditandingi calon PAS menentang calon Barisan Nasional (BN) dari MCA. Kata kawan keturunan Cina ibunya ahli MCA ditugaskan sebagai wakil calon waktu pengiraan undi dijalankan.
Kata kawan saya ibunya hampir terjatuh daripada kerusi apabila melihat semua peti undi dari stesen undi kawasan majoriti Cina mengandungi kertas undi yang dipangkah untuk PAS bukan MCA.
Tetapi perlu dinyatakan ini semasa PAS bersama DAP dan PKR dalam gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Meskipun gabungan itu tidak dapat menumbangkan BN di peringkat pusat ia berjaya menafikan majoriti dua pertiga yang dipegang BN merdeka.
Itu cerita lama tetapi perlu juga ditegaskan pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015 rata-rata dianggap akibat tingkah laku PAS. Sejak itu masyarakat bukan Melayu yang menyokongnya pada 2008 menjauhkan diri.
Sekarang seperti disebut Hadi mahu PAS mendapatkan undi orang bukan Melayu-Islam kerana katanya PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan. Ini juga is stating the obvious.
“Kita (PAS/PN) sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu dalam PRU15 maka usaha penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan islam dan bukan Melayu dalam PRU16” kata Hadi sambil meneruskan “perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh sungguh, tersusun dan bijaksana”.
Itu bagi saya suatu saranan yang dibuat secara am, samar dan tidak spesifik. Tetapi langkah pertama harus dibuat adalah PAS perlu merenung mengapa mereka ditolak masyarakat bukan Melayu. Umpama apabila seseorang tidak sihat mestilah tahu apa yang buat dia begitu. Jika menghidap penyakit diabetes maka kurangkan makan manisan dan jangan lupa makanlah ubat .
Jadi PAS mestilah renung kembali apa yang telah terjadi atau lebih tepat apa yang ia sebagai parti telah lakukan khususnya Hadi sendiri . Ini menurut saya perkara mudah. Baca sahaja ulasan dalam ruangan komen yang mengiringi berita arahan Hadi siaran portal berita atas talian.
“Kamu tuduh golongan bukan Islam kaki mabuk, kaki pemberi rasuah, anti Islam, nak kuasai Malaysia, kaum pendatang, berpakaian jolok mata, moral rendah, komunis, tak kenang budi dan macam macam lagi – maaf orang yang waras tak akan lupa bagaimana kamu layan mereka sebelum ini”. Ini rumusan komen pembaca orang bukan Melayu dan juga orang Melayu.
Hakikatnya Hadi sendiri kerap bercakap mengenai “golongan anti Islam” dan “haram menyokong mereke”. Beliau juga menuduh orang bukan Islam punca rasuah di negara ini dan mendakwa bukan islam serta bukan Bumiputera menjadi majoriti perosak politik dan ekonomi negara .
Panglima perangnya Sanusi Nor mengiyakan presidennya dengan berkata “memang fakta orang bukan Islam paling ramai beri rasuah.”
Pada Jun lalu sebuah portal berita menyiarkan hantaran media sosial Hadi ketika beliau mengulas kes seorang wanita bukan Islam didenda di Kelantan (perlukah saya kata negeri yang diperintah PAS?) kerana didakwa berpakaian tidak sopan.
Antara lain Hadi menegaskan “Kalangan bukan Islam mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati oleh semua agama serta bangsa yang beradab”. Mungkin ada yang setuju .
Tetapi Hadi menyambung begini: “Tidak bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah yang sedang melanda negara Barat sekarang”.
Ramai percaya itu ditujukan kepada wanita bukan Islam yang didenda di Kelantan dan juga semua wanita bukan Islam berseluar pendek dituduh “binatang tidak berakal tidak bermaruah”.
Ada banyak lagi yang diperkatakan Hadi. Bukan beliau seorang. Selain Sanusi ada lagi pemimpin PAS yang celupar. Kesimpulannya mereka berjaya mengguris dan melukai perasaan orang bukan Melayu.
Tidak perlu post mortem untuk tahu itu. Dan tidak lupa pelbagai peraturan di negeri diperintah PAS yang tidak disenangi masyarakat bukan Islam.
Pada sidang media di tepian muktamar semalam Hadi berkata partinya masih gagal menarik sokongan bukan Islam kerana komuniti itu tidak “menerima maklumat tepat.”
Bertanya saya adakah apa yang disenarai di atas bukan maklumat tepat? Adakah semua itu tidak pernah dikata Hadi dan saf kepimpinan PAS? Buat carian di Google, semua maklumat akan terburai .
Apa pun berdasarkan arahan presiden, semua anggota PAS memikul tanggungjawab memujuk, merayu dan memikat orang bukan Melayu bukan Islam. Bagaimana? Hadi dan barisan pemimpinnya memohon maaf secara terbuka dan tidak lagi bercakap seperti apa mereka cakap selama ini?
Jika itu yang dilakukan bolehkah ia diterima baik penyokong yang untuk sekian lama diasuh untuk percaya apa pemimpin kata? Atau bolehkah PAS berubah menjadi seperti parti Melayu lain yang mereka pandang tidak cukup Islamik?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan