"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kondominium mewah 42 tingkat jadi 'sarang' warga asing

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Pendatang tanpa izin yang ditahan pada operasi PATI di Menara City One. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Pendatang tanpa izin yang ditahan pada operasi PATI di Menara City One. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Kuala Lumpur: Kondominium mewah setinggi 42 tingkat yang terletak di kawasan ibu kota dikesan menjadi 'sarang' penempatan warga asing, sejak lebih tiga tahun lalu.

Hampir keseluruhan unit di dua blok bangunan lengkap dengan kawalan keselamatan itu dipercayai dihuni oleh warga asing termasuk penthouse dua tingkat yang mempunyai enam bilik terletak di bahagian paling atas bangunan berkenaan.

Perkara itu dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu di kondominium di Jalan Munshi Abdullah di sini, kira-kira 1 pagi tadi.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dijalankan selepas risikan dan aduan orang awam mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu.

"Dalam serbuan itu, seramai 3,016 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 136 warga asing berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (45), Pakistan (41), India (33), Indonesia (12), Nepal (4) dan Thailand (1).

"Kesalahan tertinggi dikesan adalah tinggal lebih masa, pasport tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Ruslin berkata, operasi dengan kekuatan 338 pegawai dan anggota JIM dari Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Ini kali kedua JIM menyerbu lokasi terbabit dengan kali pertama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lalu.

"Siasatan awal mendapati warga asing ini menyewa di dua blok kondominium yang mana setiap unit mempunyai tiga atau empat bilik dan kediaman itu dihuni sekurang-kurangnya lapan orang.

"Kadar sewa bagi setiap bilik berharga antara RM500 hingga RM800 sebulan bergantung kepada saiz bilik. Ada yang ditahan tinggal di penthouse dan ini menunjukkan warga asing mempunyai kemampuan yang besar," katanya.

Namun, katanya, JIM akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan majikan dan pemilik unit kediaman itu.

Beliau berkata, kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor, untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Untuk rekod, sebanyak 7,169 operasi dilaksanakan JIM sejak Januari lalu sehingga kelmarin, dengan 48,656 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 245 majikan ditahan.

Tiada ulasan: