"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis: Usah terima cadangan wanita boleh menikahkan diri sendiri tanpa wali

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Kangar: Jabatan Mufti Negeri Perlis menasihatkan orang ramai supaya tidak memakai cadangan penceramah agama negara jiran, Ustaz Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari dalam satu video yang tular menyatakan bahawa wanita boleh menikahkan dirinya sendiri tanpa wali.

Muhammad Nuruddin dalam rakaman video itu menjelaskan ia dengan cara menawarkan pernikahan kepada pasangan bersama dua saksi, di mana-mana jua serta bila-bila masa sahaja.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, dalam video itu meskipun cadangan itu ditujukan kepada pasangan pelakon veteran Sabri Yunus dan Ardini Angeline Tan untuk bertaqlid kepada Mazhab Hanafi dalam perkahwinan tanpa wali, kesannya jika hukum itu terpakai untuk mereka, maka secara logiknya, ia juga akan terpakai kepada orang lain.

"Andainya cadangan itu diterima pakai, ramai wanita yang sedang berada bersama pasangannya akan menikahkan diri sendiri tanpa pengetahuan wali apatah lagi beliau (Ustaz Muhammad Nuruddin) menyatakan perkara itu boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana sahaja.

"Ini akan menimbulkan keadaan yang tidak tenteram dan pelanggaran kepada undang-undang yang sedia berkuat kuasa di negeri di negara ini apatah lagi beliau bukanlah penguasa agama (Waliy al-Amr)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, sehubungan itu cadangan Ustaz Muhammad Nuruddin itu boleh dianggap sebagai mencabar keputusan pihak penguasa agama Islam negeri.

"Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Perlis menasihatkan orang ramai agar tidak memakai cadangan berkenaan dan meminta beliau untuk menarik semula pandangan itu kerana tiada dawabit (terma dan syarat) serta boleh menimbulkan ketidaktenteraman.

"Jabatan ini juga menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin supaya merujuk dan mendapatkan kelulusan dari pihak penguasa agama dan bukan menerusi pandangan seperti itu," katanya.

Sebelum ini, pernikahan Sabri Yunus dan pasangannya itu sempat menimbulkan polemik selepas pendakwah dari negara jiran itu mendakwa pasangan yang dinikahkan oleh Mufti Perlis tidak memenuhi ucapan ijab dan kabul sepatutnya.

Malah pendakwah secara terbuka mendakwa pasangan pelakon terbabit sudah berzina kerana pernikahan yang tidak sah berlangsung Sabtu lalu.

Dr Mohd Asri kemudian tampil menjelaskan bahawa lafaz kabul ringkas oleh pelakon itu adalah bukti bahawa Islam itu mudah dan sah di sisi Islam.

Beliau berkata, pernikahan bukan satu perkara yang patut disulitkan dengan syarat yang ketat sedangkan ijab dan kabul pada zaman Nabi Muhammad SAW begitu ringkas.

"Sesiapa yang membaca hadis-hadis nabi, dia akan mengetahui bahawa akad nikah memang mudah. Yang penting cukup rukun dan adanya ijab dan kabul.

"Ijab dan kabul bermaksud adanya kita berikan tawaran perkahwinan dan satu pihak lagi menyambut tawaran perkahwinan itu. Tidak ada dalam agama ini kata perlu satu nafas," katanya menerusi satu hantaran pada Sabtu lalu.

Tiada ulasan: