"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Kes tembak KLIA, Hafizul dipenjara 14 tahun 6 bulan, 6 sebatan

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
HAFIZUL dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HAFIZUL dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Pengurus syarikat agensi pelancongan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April tahun lalu.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhi hukuman selepas meneliti fakta kes sebaik tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagaimanapun, hukuman berkenaan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 15 April tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Hafizul dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan, pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing hukuman penjara tiga tahun.

Manakala pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan pertuduhan ketujuh, tertuduh dipenjara selama setahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey, yang menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali jika disabitkan.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 Auto tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama. Ia memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan ketujuh, Hafizul Hawari didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di sini, jam 2 petang, pada 15 April tahun lalu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Hafizul bagaimanapun merayu supaya hukuman ringan dikenakan selain memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya.

Hakim bagaimanapun menjatuhkan hukuman 14 tahun enam bulan dan enam sebatan untuk keseluruhan tujuh pertuduhan dan hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 15 April.

Tiada ulasan: