Noor Hafizah Ahmad Jaafar
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan pengimport menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dari pasaran tempatan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata arahan itu susulan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semalam berhubung penarikan balik produk terbabit.
Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 'batch' daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.
Daripada jumlah itu, sembilan 'batch' daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua batch' daripada dua produk tidak memiliki sijil halal.
Dr Sirajuddin berkata pihaknya memandang serius pengumuman rasmi itu, selain menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.
"Sebagai langkah pencegahan awal, JAKIM segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan.
"JAKIM turut mengarahkan pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi JAKIM melalui emel ukkjakim@islam.gov.my dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit dari pasaran Malaysia.
"Langkah ini sejajar prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk tersebut di pasaran.
Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do
"JAKIM amat komited memastikan produk benar mematuhi piawaian halal dibenarkan berada di pasaran, demi memelihara hak dan kepentingan pengguna Muslim di Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan