"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puak Israel dikhuatiri berbunuhan sesama sendiri akibat krisis Shin Bet

BHarianonline 
Anggota pasukan keselamatan mengusung seorang penunjuk perasaan ketika protes menghalang pintu masuk ke Knesset, Parlimen Israel, bagi membantah tindakan kerajaan Israel memecat Peguam Negara, Gali Baharav Miara, serta ketua agensi keselamatan tertinggi Shin Bet, Ronen Bar. - Foto REUTERS
Anggota pasukan keselamatan mengusung seorang penunjuk perasaan ketika protes menghalang pintu masuk ke Knesset, Parlimen Israel, bagi membantah tindakan kerajaan Israel memecat Peguam Negara, Gali Baharav Miara, serta ketua agensi keselamatan tertinggi Shin Bet, Ronen Bar. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid, bimbang mungkin akan tercetus keganasan politik susulan kempen kebencian terhadap ketua keselamatan dalam negeri Israel, yang kini berdepan pemecatan oleh kerajaan.

"Garis merah sudah dilanggar. Jika kita tidak hentikan kemelut ini, maka akan berlaku pembunuhan politik di sini, mungkin lebih daripada satu. Orang Yahudi akan membunuh orang Yahudi.

"Ancaman paling serius ditujukan kepada ketua Shin Bet, Ronen Bar," katanya dalam sidang media.

Pemecatan Bar sebagai ketua agensi keselamatan dalam negeri itu dicabar di mahkamah oleh pembangkang, yang menyifatkannya sebagai bukti kecenderungan anti-demokratik oleh kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Terdahulu, Bar mendakwa pemecatannya mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan perkara-perkara serius lain termasuk tuduhan rasuah dihadapi Netanyahu.

Sementara itu, Peguam Negara, Gali Baharav-Miara, pula memberi amaran mengenai konflik kepentingan peribadi oleh perdana menteri disebabkan siasatan jenayah yang membabitkan sekutunya.

Mahkamah Agung membekukan percubaan awal kerajaan Israel untuk memecat Bar dan baru-baru ini ia memberi tempoh kepada Kabinet dan Pejabat Peguam Negara sehingga tamat cuti perayaan Passover untuk mencapai kata sepakat.

Menurut laporan media, Bar mungkin akan meletak jawatan dalam masa terdekat, sekali gus menamatkan kemelut berkenaan.

Lapid, yang mengetuai parti pusat-kanan Yesh Atid, berpendapat Bar sepatutnya meletak jawatan atas kegagalan agensinya mencegah serangan 7 Oktober dan mengakui kerajaan mempunyai kuasa sah untuk memecat beliau, asalkan dilakukan mengikut proses yang betul dan diperakukan oleh mahkamah.

Namun, beliau turut menuding jari kepada Netanyahu atas kempen ugutan terhadap Bar.

Lapid turut menunjukkan tangkap layar kiriman media sosial yang mengandungi ugutan bunuh terhadap ketua keselamatan itu, sambil memberi amaran kepada Netanyahu supaya menghentikannya.

"Daripada menyokong hasutan kebencian, sokonglah Shin Bet, pasukan keselamatan dan sistem yang mempertahankan kelangsungan negara ini," katanya.

Pada 1995, pembunuhan bekas Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin oleh seorang pelampau Yahudi selepas kempen retorik ganas terhadapnya mengejutkan seluruh Israel.

Ada yang menuduh Netanyahu, yang ketika itu pemimpin pembangkang, tidak berbuat secukupnya untuk menghalang hasutan bertukar kepada keganasan. – AFP

Tiada ulasan: