"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berebut kawasan, peminta sedekah maut ditikam

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
PEMINTA sedekah maut ditikam angkara berebut kawasan di Seksyen 18, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
PEMINTA sedekah maut ditikam angkara berebut kawasan di Seksyen 18, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Shah Alam: Angkara berebut tempat meminta sedekah, seorang lelaki sanggup menikam peminta sedekah lain sehingga mati dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang juga peminta sedekah di sekitar kawasan bank itu.

"Suspek adalah seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun juga ingin meminta sedekah di kawasan itu.

"Ketika kejadian berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah.

"Suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam bahagian dada mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan mangsa jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, suspek ditangkap pada jam 12.30 tengah hari di lokasi kejadian.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki sembilan rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang manakala permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam, jam 10 pagi esok.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 014-8905051," katanya.

Tiada ulasan: