"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli PKR sudah 'hukum' elit politik dalam PKR, dakwa Hassan

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pasir Gudang hari ini mendakwa beberapa keputusan megejutkan dalam pemilihan PKR sekarang menunjukkan berlakunya “revolusi demokrasi” dalam parti berkenaan.

Menurut Hassan Abdul Karim pada pemilihan parti itu tiga tahun lalu, ramai pemimpin PRK yang bergerak dengan slogan Ayuh Malaysia memenangi jawatan di peringkat cabang.

Dakwa Hassan mereka itu merupakan pemimpin yang cuba menyisihkan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, kata Hassan, keputusan pemilihan terkini pula menunjukkan mereka – yang terdiri daripada “tokoh-tokoh besar” – gagal mempertahankan jawatan berkenaan kerana kalah kepada calon yang terdiri daripada ahli tidak ternama atau akar umbi.

“Jadi pilihan raya (pemilihan) PKR sekarang adalah satu revolusi demokrasi (melalui) peti undi secara digital tercanggih.

“(Mereka) melakukan pembersihan di dalam kepimpinan di peringkat 222 cabang di seluruh negara berjaya membuang politik kartel dan politik elit yang telah merosakkan PKR dalam beberapa tahun terakhir ini […],” katanya dalam kenyataan media hari ini.

PKR mengadakan pemilihan pemimpin di peringkat pertengahan (cabang) sejak hujung minggu lalu dan berakhir semalam. Keputusan menunjukkan ada tokoh tertentu kalah kepada pencabar. Misalnya Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir.

Bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Malaysia itu kalah kepada bekas Ketua AMK Johor Bahru, Taufiq Ismail.

Semalam, Naib Presiden PKR yang juga penyandang Ketua Cabang Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, tewas kepada pelakon, pengarah dan pelawak, Afdlin Shauki.

Pun begitu, pemilihan di peringkat pusat akan berlangsung pada 24 Mei ini.

Untuk rekod kumpulan Ayuh Malaysia dikenali sebagai tempat pemimpin politik yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang kini berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi.

Antara pemimpin lain PKR yang dekat dengan Rafizi tetapi kalah dalam pemilihan kali ini ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan, Fahmi Zainol (Adun Pantai Jerejak).

Pada masa sama ada juga sekutu Rafizi yang berjaya mempertahankan kedudukan masing-masing termasuk Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, yang menang tanpa bertanding di Tanjong Malim, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Rafizi sendiri menang tanpa bertanding di Pandan.

Menurut Hassan sejak menjadi kerajaan sesetengah pemimpin PKR berubah sikap sehingga menjadi golongan elit dan tidak lagi mengendahkan ahli lain, termasuk yang pernah membantu mereka.

Golongan elit terbabit, kata Hassan, sudah “tidak kenal” lagi penyokong masing-masing sehingga gagal membalas atau menjawab mesej yang dihantar kepada mereka.

Hassan – yang tidak bertanding dalam pemilihan kali ini serta mengumum untuk tidak mempertahankan kerusi Pasir Gudang – mendakwa ada antara pemimpin berkenaan keluar dari kumpulan WhatsApp ahli-ahli biasa PKR yang mendukung mereka selama ini.

“Tokoh-tokoh besar ini akhirnya tahu tinggi rendahnya langit apabila dihukum dalam pemilihan secara demokratis melalui pilihan raya PKR,” katanya.

Tiada ulasan: