Harian Metro

Batu Pahat: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menceroboh rumah untuk mengendap wanita.
Tertuduh, Muhammad Akmal Azmi, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, pengawal keselamatan sambilan itu didakwa menceroboh dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di rumah wanita berusia 25 tahun di Taman Universiti, Parit Raja, di sini, 10.15 malam, 20 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, ketika kejadian mangsa berada di rumah sebelum ternampak kelibat lelaki tidak dikenali menceroboh kediamannya.
Mangsa kemudiannya keluar lalu meminta pertolongan orang ramai sebelum melihat tertuduh berada di dalam kawasan rumahnya.
Siasatan polis mendapati tertuduh tinggal bersama keluarga di sebuah rumah tidak jauh dari kediaman wanita terbabit.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Gading pada hari kejadian dengan tertuduh ditahan pada keesokan hari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam bela Zulyatie Awang.
Memandang tertuduh dikategorikan pesalah muda, mahkamah memutuskan suatu tarikh baru untuk fakta dan hukuman serta laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kes disebut semula pada 29 Mei ini dan mahkamah juga membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh kemudian membayar ikat jamin terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan