"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Diculik sebab saudara hutang RM33,000, polis buru 2 lelaki

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Dua lelaki diculik di Tumpat dan Pasir Mas selepas saudara mereka gagal melangsaikan hutang berjumlah RM33,000 dalam kejadian di 6 Jun lalu.

Hutang tersebut dikatakan berkait dengan kegiatan dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua mangsa berusia 51 dan 35 tahun bagaimanapun ditemui selamat di Mundok, Thailand oleh polis di sana dua hari kemudian.

Menurutnya, dua mangsa termasuk lelaki berusia 51 tahun yang mempunyai 24 rekod jenayah itu diculik untuk dijadikan cagaran kepada peminjam sebenar iaitu saudara mereka.

"Susulan kejadian itu, kita menahan empat lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. Peminjam sebenar iaitu lelaki berusia 25 tahun dan teman wanitanya turut ditahan dan kini direman sehingga 22 Jun.

"Siasatan kita mendapati, kes culik berkenaan berkait dengan hutang dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjumlah RM33,000.

"Sehingga kini kita masih memburu dua suspek utama dikenali sebagai Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar , 32 dan Hamzah Muhamad, 40 yang dipercayai kini melarikan diri ke Thailand.

"Kedua-dua suspek berkenaan juga turut membakar Perodua Myvi milik mereka di Gelang Emas, Pasir Mas dipercayai kenderaan digunakan untuk menculik mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di sini, hari ini.

Jelasnya, polis Kelantan turut meminta bantuan polis Thailand bagi mengesan dua suspek yang dikehendaki ini memandangkan mereka kini bersembunyi di negara jiran.

"Kedua-dua suspek yang dikehendaki itu masing-masing mempunyai 10 rekod berkait kes dadah dan jenayah," katanya.

Tiada ulasan: