"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayi Lelaki Baru Dilahirkan Dibuang Dalam Semak

BAYI SIAPA?... Bayi lelaki seberat 3 kg, ditemui dibuang dalam semak berdekatan Taska Mawadah Kampung Titi Teduri, Pulai pada pukul 10 pagi ini, sedang berada dalam ambulan untuk dihantar ke hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman. Kelihatan, Pegawai Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Faizal Mohd Zabil sedang mendapatkan maklumat daripada jururawat mengenai bayi berkenaan. 

BALING: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dibungkus dengan tuala, ditemui ditinggalkan dalam semak di tepi pagar berdekatan sebuah Taman Asuhan Kanak Kanak (Taska) di Kampung Titi Teduri, Mukim Pulai di sini Selasa.

Bayi yang terdapat kesan luka di badan akibat terkena duri, ditemui pekerja dan pemilik Taska berkenaan pukul 10 pagi ini dan kemudian membuat laporan polis.

Bayi seberat tiga kilogram itu dengan tali pusatnya sudah dipotong ditemui dalam keadaan lemah dan terdapat semut di badannya.

Bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui dan turut ditemui bersama bayi itu adalah urinya yang diletakkan berdekatan bayi itu.Kesan darah turut ditemui dalam kawasan pagar taska itu serta di kawasan bayi ditinggalkan.

Pemilik taska terbabit, Siti Hawa Othman, 40, berkata dua guru di taska itu terpandang tompokan darah ketika membantu pelajar memberus gigi di kawasan itu sebelum bayi berkenaan ditemui dalam jarak tiga kaki dari mereka berdiri.

Berpandukan tompokan darah di atas simen dalam kawasan Taska terbabit, dua guru terbabit membuat siasatan hingga menemui bayi yang berbungkus dengan sehelai tuala dalam semak di sebelah pagar taska itu.Siti Hawa yang mengambil dan membersihkan kotoran yang terlekat di badan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling Amelia Shatirah Dorahim berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Baling selepas pemilik Taska membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supt Mohd Daut Md Hasan mengesahkan polis menerima laporan penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan ibu bayi itu dan pasangannya serta individu terlibat.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang ini untuk rawatan lanjut berikutan jangkitan kuman.
-Bernama-

Tiada ulasan: