"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak

Mohamed Hanipa Maidin 
Fri | Apr 17, 09 | 10:14:14 pm MYT

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.

Apabila belum hilang lelah PRK...

Mohd Sabri Said  

Belum pun sempat menghela nafas panjang penat melaksanakan tugasan sebagai Wartawan di Bukit Selambau, Kedah kini berhadapan pula satu lagi pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Mohamad Fairuz Khairudin bertindak meletakan jawatan serta merta dengan alasan meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi dan menumpukan perhatian pada keluarga.

Alahaiiii.. bermula pula episod di Penanti yang berada dalam Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menang mudah mengalahkan pencabarnya, Dato' Arif Shah Omar Shah pada bulan Ogos tahun lepas.

Tetapi... tidak mengapa bukan kerana jemu melaksanakan tugasan sebaliknya terpancar keseronokan untuk melihat politik di Pulau Pinang distabilkan kembali apabila Fairus yang dikaitkan dengan kes rasuah kuari di negeri ini direhatkan.

Walaupun beliau belum dihadapkan ke mahkamah dan terbukti kesahihan kesalahannya namun jika dibiarkan pastinya Umno dan konco-konconya akan mempergunakan isu ini bagi memperkemaskan kedudukan parti itu semula walhal parti Nasionalis Melayu itu kini menanti 'bom jangka' bila-bila masa sahaja meletup musnah berderai nama Umno dipersada politik tanahair.

Jadi, untuk memastikan Umno tidak boleh bangkit menapak semula maka tanggungjawab itu seharusnya digerakan bersama dalam gabungan Pakatan Rakyat di lima buah negeri termasuk Perak yang dirampas dengan kerakusan dan keangkuhan.

Tindakan Fairus melepaskan jawatan semata-mata menjagai maruah parti wajar dipuji kerana selagi beliau berada di tempat itu Umno akan menggunakan kesempatan itu menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang selalu menyebut mengurus tadbir dengan Cekap, Akautabilit dan Telus (CAT) serta mengamalkan pentadbiran Umar Abdul Aziz.

Tambahan lagi hari Isnin ini (20 April) sekali lagi Dun Pulau Pinang akan bersidang.

Pastinya 11 orang Adun BN akan melemparkan kata-kata pedas terhadap Pakatan Rakyat yang baru setahun jagung memerintah berbanding BN yang sudah melebihi 51 tahun menakhodakan bahtera Malaysia.

Satu pujian harus diberikan kepada Fairus kerana sanggup berkorban untuk memastikan kedudukan dan prestasi kerajaan dapat ditingkatkan untuk kesenangan rakyat keseluruhanya.

Namun apa pun, perkara sudah diumumkan hanya memerlukan kerjasama yang erat daripada KeADILan, PAS dan DAP untuk mempertahankan kerusi yang ada.

Kita kena ingat hanya kerusi Parlimen Kuala Trengganu milik Umno yang kita berjaya merampas yang lain seperti Permatang Pauh, Bukit Selambau dan terbaru Penanti adalah kerusi mutlak Pakatan Rakyat yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Ini bermakna Pakatan Rakyat hanya mempertahankan kerusi yang sedia ada lainlah jika kerusi Barisan Nasional (BN) kita berjaya rampas.

Tetapi, apa pun ia tetap penting kerana jika BN menang maka dunia mereka terbuka kembali dan akhbar arus perdana dan media elektronik tidak putus-putus menyiarkan rancangan atau slot kemenangan berhari-hari sehingga mual dibuatnya. 

Teori Pengasingan Kuasa (separation of power) Semakin Bercelaru

Kes MB Perak vs Sivakumar undang bahaya
Wan Nordin Wan Yaacob  

KUALA LUMPUR, 17 April (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan penggantungan terhadap Menteri Besar Barisan Nasional Perak, Dato' Zambry Abd Kadir dan enam ahli exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak didakwa memberi implikasi 'bahaya' selepas ini.

Demikian kata peguam muda, Abdullah Abdul Karim kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas isu tersebut.

Bagi Abdullah, ia memberi implikasi kepada persoalan 'separation of power' (pengasingan kuasa) iaitu kuasa Speaker itu sendiri sudah boleh dibawa ke mnahkamah untuk dicabar.

Kes ini katanya menjadi 'president' dan tidak mustahil akan berulang selepas ini.

"Nampaknya dewan itu sendiri kini tidak bebas, dan kuasa speaker boleh dicabar.Ia akan menyebabkan tidak ada lagi keistimewaan kepada Speaker.Ini akan mengundang bahaya," katanya.

Teori pengasingan kuasa yang biasa diamalkan di negara Komanwel hari ini sudah tidak dipakai lagi dengan keputusan ini, katanya.

Maknanya selepas ini di Dewan Rakyat sekalipun,sebarang tindakan yang dibujat Speaker Dewan akan terdedah untuk dibawa ke mahkamah,katanya.

Sebelum ini, Zambry dan enam exconya itu, sebelum ini memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Speaker DUN Perak, V Sivakumar yang menggantung mereka selepas BN menubuhkan kerajaan negeri di Perak Februari lalu tanpa pembubaran Dun.