"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Jalur Gemilang tanpa bulan, bintang, Dr Sam jawab kes terpencil

FMT Reporters

Menteri besar Terengganu berkata inisiden di Dataran Batu Buruk bukan kes disengajakan dan akan pastikan perkara sama tidak berulang.
Video tular papar Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang dengan PBT bertanggungjawab beri alasan jahitan dua simbol itu tercabut akibat ribut.
PETALING JAYA: Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang yang dipasang di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, adalah kes terpencil, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau menyifatkan insiden yang tular sejak Jumaat lalu itu tidak disengajakan.

“Saya rasa itu bukan kes yang disengajakan, kes yang terpencil, dan tidak disengajakan.

“Justeru, kita akan lakukan siasatan dan memastikan perkara itu tidak berulang lagi, walaupun siapa juga yang memasangnya termasuk orang awam dan sebagainya,” katanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini, tular video memaparkan Jalur Gemilang dipasang di Batu Buruk, tanpa lambang bulan dan bintang sehingga membangkitkan persoalan dan rungutan warganet.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat, berkata Jalur Gemilang berkenaan sebenarnya mempunyai lambang bulan dan bintang, namun bahagian tersebut tercabut daripada jahitannya, akibat ribut melanda pada Jumaat lalu.

“Berikutan kejadian itu, pihak kami mengambil tindakan serta-merta dengan menurunkan bendera berkenaan pada Jumaat lalu dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang yang baharu.

“Bendera yang lama bukan tidak ada bulan dan bintang, cuma kita jahit dan bahagian sebelah itu tercabut akibat ribut kuat pada hari berkenaan,” katanya.

Katanya, untuk masa mendatang pihaknya tidak lagi akan menggunakan bendera berjahit dan akan membeli bendera yang sudah siap sepenuhnya.

“MBKT mengambil serius perkara berkenaan dan akan memastikan bendera yang dipasang berada dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi ditetapkan.”

Tiada ulasan: