"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja 16 tahun didakwa rogol dalam tandas perpustakaan

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang pelajar lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas dua tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan dalam tandas perpustakaan, Mei lalu.

Tertuduh berusia 16 tahun membuat pengakuan itu sejurus kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa merogol dan amang seksual terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam tandas perpustakaan dalam daerah ini pada jam 1.30 tengah hari, 7 Mei lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Hukuman bagi setiap pertuduhan ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala hukuman bagi pesalah juvana antaranya mengenakan bon berkelakuan baik, denda serta dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Berdasarkan laporan, pengadu yang juga ibu mangsa dipanggil ke sekolah oleh seorang guru memaklumkan anaknya dirogol oleh teman lelakinya.

Laporan polis kemudiannya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 5 Ogos lalu sekali gus membolehkan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kesemua pertuduhan dengan kes disebut semula pada 30 September ini untuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan perintah.

Tiada ulasan: