BERNAMA
Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa sebanyak tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) telah rugi 100 peratus.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TH juga terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan hampir RM13 bilion disebabkan 14 pelaburan bermasalah itu.
Pegawai tentera Thailand mengamuk dalam pesawat dari Malaysia, berulang kali sebut 'landing'
Menurutnya, punca utama masalah ini adalah disebabkan salah laku kewangan dan pelaburan.
"Kerugian ini tidak berlaku tiba-tiba dalam penyata akaun, sebaliknya keputusan pelaburan kepimpinan terdahulu.
"Perakaunan umpama termometer. Ia hanya tunjuk anda demam. Sembunyikan termometer tidak menyembuhkan demam anda.
"Yang mesti dirawat ialah penyakitnya, pelaburan yang hilang nilai, risiko yang tidak terkawal tanpa proses membuat keputusan yang lemah," katanya semasa penggulungan perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait TH di Dewan Rakyat hari ini.
Menerusi penggulungannya, Amir Hamzah turut memberikan contoh salah satu daripada tujuh pelaburan TH yang telah rugi 100 peratus.
Beliau berkata, kerugian terbesar yang dihadapi oleh TH membabitkan pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi.
"Melalui perjanjian pajakan 2015 sehingga 2017, TH membayar 1.4 bilion Riyal atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat buah hotel di Madinah dan Mekah bagi penginapan jemaah haji.
"Orang tengah tersebut sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel dan berjanji membayar sewa 2.49 bilion Riyal kepada TH. Malangnya, bayaran tersebut gagal dilunaskan," katanya.
Amir Hamzah turut mempersoalkan kepimpinan TH pada waktu itu yang dilihat berani membuat bayaran pendahuluan dengan jumlah besar melebihi RM1.5 bilion.
"Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi. Sebagaimana rekod RCI menyatakan, Jabatan Pengurusan Risiko TH ada meminta jaminan bank tetapi Al-Rawda gagal sediakan.
"Laporan 'due diligence' (semakan terperinci) juga tidak lengkap. Namun kepimpinan TH tetap meneruskan urus niaga bersandarkan nota jaminan tersebut. Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran bernilai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan