"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DERIA KETUJUH



Assalamualaikum,

Terpesona saya bila mendengar berita bahawa PAS Kelantan mempunyai deria ketujuh, sebab itulah analisis yang mereka lakukan betul dan mereka berjaya menerajui Kelantan 20 tahun dan lebih.

Senario politik Malaysia berubah dengan cepat dan keupayaan kita untuk berubah bersama sama dengan perubahan tersebut juga hendaklah sederap. Undi yang diterima olehPAS selama ini adalah datangnya dari orang Melayu luar bandar yang konservatif. Tetapi keadaan ini sudah berubah. Undi yang diterima oleh PAS bukan sahaja daripada golongan ini, tetapi daripada golongan orang Melayu non-konservatif, orang melayu urban, orang Melayu progresif, non Melayu, non Muslim , muda , dewasa, serta tua.

Konsep perpaduan Melayu Islam adalah satu konsep yang telah ketinggalan banyak langkah dalam arus perubahan pemikiran rakyat Malaysia sekarang. Konsep ini telah tidak relevan lagi. UMNO lah yang cuba sekeras kerasnya mempromosikan konsep Melayu Islam ini. Kenapa Melayu Islam, dan tidak Islam sahaja tanpa direncahi dengan asobiah kemelayuan?

Sekiranya UMNO benar benar memperjuangkan nasib MELAYU, kenapa tidak ada sebarang bantahan daripada UMNO apabila penduduk Melayu di selatan Thailand disembelih dalam masjid minggu lepas? Kenapa UMNO tidak mengambil sikap lebih proaktif dalam menangani masaalah Melayu di Selatan Filipina, di Kampuchea, di Sri Lanka dan di Riau? Ini menunjukkan ruang lingkup Melayu UMNO itu adalah setakat membuncit tembolok mereka sahaja. Di luar kerangka UMNO, Melayu itu bukan Melayu.



Kalau nak cakap mengenai perpaduan Islam, UMNO selamanya tidak mahu dengan implementasi Islam. Hanya mereka boleh mengeluarkan fatwa baru bahawa akan masuk syurga mereka yang mengundi BN.

Jadi ghiarahnya UMNO apabila dilontarkan idea kerajaan perpaduan ini adalah kerana dalam keadaan mereka sedang tenggelam dan sedang lemas, ada orang yang melontarkan
life jacket. Dan anda tahu tim mana yang melontarkannya.

Perwakilan PAS dalam muktamar 55 tidak memikir selaju perubahan citarasa politik negara. Ramai diantara mereka yang kematu alat derianya.

Jauh lagi punyai deria ketujuh.

Nizar mohon jawatan MB Perak digantung

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada Jumaat memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah, digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Mohammad Nizar dalam permohonan untuk kebenaran merayu yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, di sini, memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu digantung sekiranya, kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan kira-kira pukul 3.30 petang tadi melalui Tetuan Leong & Tan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 dan 10 Julai ini untuk mendengar permohonan itu.

Dalam permohonannya juga, Mohammad Nizar turut menyertakan satu lagi permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar di hadapan 11 hakim.

(Mahkamah Persekutuan ketika ini mempunyai 12 orang hakim)

Beliau memohon diberi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Dr Zambry ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas yang mengisytiharkan beliau (Mohammad Nizar) sebagai menteri besar yang sah.

Mohammad Nizar, 52, yang berpakaian baju Melayu kelabu, hadir di mahkamah hari ini.

Dalam permohonan yang disertakan dengan afidavitnya, Mohammad Nizar turut merangka beberapa persoalan undang-undang penting berhubung interpretasi benar berkenaan Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu antaranya:

i. Dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

ii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

iii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar;

iv. Dalam keadaan di mana tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar; sama ada jawatan Menteri Besar boleh dan/atau telah dikosongkan;

v. Sama ada Fasal 16(6) UTKP memperuntukkan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam persidangan Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak atau sebaliknya;

vi. Sama ada UTKP memperuntukkan sebarang kuasa untuk seseorang Menteri Besar dipecat atau jawatannya dianggap kosong atau dikosongkan.

Mohammad Nizar dalam afidavitnya menyatakan bahawa Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah sama dengan Fasal 16(6) UTKP dan sebarang keputusan berkenaan Fasal itu akan memberikan impak atau kesan berkenaan Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung jawatan Perdana Menteri.

"Ini bermakna sekiranya Yang di-Pertuan Agong hendak memecat Perdana Menteri, Baginda boleh berbuat demikian. Baginda boleh menelefon Perdana Menteri dan memberitahu bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat," kata Mohammad Nizar dalam sidang media selepas menfailkan permohonan itu.

Ketika ditanya mengapa beliau memohon supaya kesnya didengar di hadapan 11 hakim, beliau berkata: "Apabila ada ramai hakim, kita harap supaya dapat memberikan keputusan yang adil kerana rakyat negara ini sangat menagih keadilan."

Mohammad Nizar juga berkata beliau gembira kerana akhirnya permohonan itu berjaya difailkan walaupun keputusan hujahan bertulis oleh Mahkamah Rayuan masih belum diperolehi.

Pada 22 Mei lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Md Raus, dalam penghakiman lisannya memutuskan bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membuat keputusan yang betul ketika melantik Zambry sebagai menteri besar yang baru, berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah,

Hakim Md Raus yang bersidang bersama Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, mendapati bahawa Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Pertikaian jawatan Menteri Besar Perak bermula apabila tiga daripada wakil rakyat pakatan DAP-PKR-PAS keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional pada Februari lepas.

Mohammad Nizar, 52, kemudiannya memfailkan semakan penghakiman untuk memohon satu writ bersifat "quo warranto" atau "melalui kuasa apa" dikeluarkan terhadap Zambry bagi menyatakan tunjuk sebab atas asas apakah beliau menjadi menteri besar yang sah.

-BERNAMA-

Anak lelaki Petra tukar pengakuan, minta dibicara

Hafiz Yatim
Anak lelaki Raja Petra Kamaruddin hari ini menukar pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam dan meminta dibicarakan atas empat tuduhan mencuri serta memiliki barang curi.

raja azman raja petraRaja Azman Raja Petra, 32, dijadualkan dijatuhkan hukuman hari ini, tetapi dia telah menukar pengakuan bersalah pada saat-saat akhir.

Dia diwakili oleh J Chandra dan Amarjeet Singh Sidhu - peguam yang sama mewakili bapanya, penulis blog terkemuka, Raja Petra.

Ekoran itu, Majistret, Norkamilah Aziz menetapkan kes itu didengar mulai 14 September depan.

Menurut peguamnya, Raja Azman akan ditahan reman sehingga perbicaraannya kerana gagal membayar ikatjamin RM10,500.

Raja Azman ditahan remah sejak 6 Mei lalu. Dia mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 19 Mei lalu.
-malaysiakini-