"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu PMBK Menyatukan Hati Pemimpin PAS

Suhaizan Kayat

Mari kita perhalusi kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) semalam dalam Utusan Malaysia :

"Ini yang dipanggil berpakat, tegur menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya. Masa saya cadangkan EGM (mesyuarat agung luar biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat)."

Ini bermakna semasa isu UG dan EGM, TGNA menegur pimpinan PAS Pusat. Dalam isu PMBK Tuan Guru Hj Hadi Awang(TGHD) tegur TGNA. Itulah tegur menegur amalan yang baik dalam PAS. Sebuah Jemaah Islam yang sedang diperhatikan oleh rakyat Malaysia. Budaya ini tidak boleh dilaksanakan dengan jayanya oleh kedua-dua Tok Guru jika mereka mementingkan diri masing-masing.

Saya cukup berbangga dengan keputusan yang di buat oleh TGNA meminta menantunya Sdr Ariffahmi Abd Rahman yang juga rakan karib saya di universiti melepaskan jawatan sebagai CEO PMBK. Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada TGHD yang telah datang ke Kota Baharu menegur TGNA. Tak lupa juga kepada Ariffahmi yang sanggup melepaskan jawatan yang besar ini. Itulah yang saya sebut "SELESAIKAN MASALAH, TINGKATKAN UKHWAH & HENTIKAN PERBALAHAN" dalam Seminar Memperkasakan Parti lepas. Walaupun sebahagian pemimpin PAS tak setuju dengan kenyataan saya bahawa pemimpin PAS sebelum ini berbalah tetapi itulah persepsi kebanyakkan rakyat Malaysia.

Alhamdulillah segalanya telah selesai.

Tindakan kedua-dua Tok Guru ini dapat menghilangkan kesedihan hati rakyat Malaysia dan ahli-ahli PAS di bawah sana. Harapan mereka tidak tinggi hanya mahu melihat kedua-dua Tok Guru berganding bahu menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Tahniah TGNA !
Tahniah TGHD !
Tahniah Ariffahmi !
Tahniah Rakyat Kelantan !
Tahniah pimpinan PAS Pusat !
Tahniah rakyat Malaysia !
Tahniah untuk semua.


Suhaizan Kayat
Ketua Penerangan DPPP

http://kentong-suhaizan.blogspot.com/

Sahih SPR Menjadi Jentera Pilihanraya BN

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpendapat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah berkali-kali menyalahguna kuasa serta memutarbelitkan bidang kuasa dalam urusan pilihanraya. SPR bukan sahaja tidak akur kepada keputusan Speaker Kedah yang mengosongkan kerusi DUN, malahan telah mewakili ADUN UMNO untuk memohon penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi. Jelasnya bahawa SPR telah hilang kredibiliti serta kedudukan bebas badan tersebut

Mengikut Perkara 113 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR adalah sebuah badan yang diamanah untuk mengendalikan pilihan raya secara adil dan bebas. SPR bertanggungjawab untuk memastikan penjalanan pilihanraya adalah bebas, adil dan bersih. Prinsip dan nilai demokrasi perlu ditegakkan demi kepentingan rakyat jelata.

Namun, sejak peristiwa tiga ADUN Perak lompat parti menjadi ADUN Bebas yang berpihak kepada BN sehingga kes DUN Kota Seputeh, SPR tidak pernah akur kepada keputusan Speaker. Tindakan SPR yang jelasnya berat sebelah kerana masih bersikap kepala batu untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam membuat keputusan Mahkamah Tinggi juga mengemukakan kemusykilan beliau terhadap tindakan SPR yang memohon penangguhan keputusan. Sepatutnya bekas ADUN Kota Seputeh, Abu Hassan Sarif yang perlu membuat permohonan.

Sebenarnya sudah lama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) telah berusaha serta mendesak agar proses pilihanraya di Malaysia dapat diperbetulkan dan diperbaharui. Namun SPR bukan sahaja tidak menerima cadangan yang dikemukakan oleh BERSIH, malahan sanggup dijadi alat kepada BN dan sekaligus meyebabkan badan tersebut hilang kredibiliti serta integriti.

Oleh itu, Angkatan Muda Malaysia menyeru SPR agar insaf serta berani untuk menjalankan perubahan demi menegakkan demokrasi dengan segera di dalam negara kita. Nilai sebenar demokrasi adalah mengembalikan kuasa kepada rakyat. Rakyat perlu diperkasakan untuk menentukan pimpinan negara dengan mengundi pemimpin yang membela rakyat.

*Kenyataan media oleh Lee Khai Loon selaku Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

UMNO Islam Luluskan Judi, Yang Menentang Wakil Bukan Islam

MayLin
KUALA NERUS:
Dalam masa tidak sampai setahun Perdana Menteri baru, Dato’ Seri Najib Razak mengambil alih pemerintahan, sebanyak 3 lesen judi baru telah dikeluarkan.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr. Awang Adek yang berkata, pendapatan dari aktiviti perjudian digunakan untuk kebajikan rakyat, telah ditolak dan ditentang oleh wakil-wakil bukan Melayu dan bukan Islam.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian, mendedahkan perbahasan di parlimen baru-baru ini, ketika berucap dalam ceramah sempena perasmian pejabat PKR Cabang Kuala Nerus, di Taman Desa Solehah, Jalan Kelantan disini, kelmarin.

”Dunia betul-betul sudah terbalik sekarang, orang Melayu Islam Umno luluskan judi, wakil-wakil bukan Melayu, bukan Islam menentang,”ujarnya.

Beliau turut mencabar, dimanakah golongan Ustaz-ustaz dalam Umno yang tidak berkata apa-apa atas tindakan kerajaan, meluluskan lessen-lesen judi baru itu, dan meningkatkan aktiviti ‘haram’ tersebut.

Sebelum itu, pada sebelah petang, Anwar hadir dan menutup Majlis Konvensyen PKR peringkat negeri Terengganu di Seberang Marang.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah, Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution, Pengerusi PKR Negeri, Hj Abdul Rahman Yusof dan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah.