"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukan Islam dibenar pohon jadi peguam syarie di KL

Seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam, Victoria Jayaseelee Martin, hari ini memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada permohonan untuk suatu perintah bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima masuk Victoria sebagai peguam syarie.

Ini adalah kes pertama di Kuala Lumpur apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

Hakim Zawawi yang membenarkan permohonan itu menolak bantahan yang dikemukakan oleh MAIWP.

Victoria (
atas, kanan) mendapat kelulusannya pada tahun 2004 daripada Universiti Islam Antrabangsa dan berkata beliau ingin menjadi peguam syarie demi kepentingan keadilan.

Di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, syarat sebelum seseorang boleh menjadi peguam syarie adalah dia mesti merupakan seorang Islam.

Di negeri-negeri lain, bukan Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.

Bagaimanapun, Selangor baru-baru menarik balik kekecualian itu dan hanya peguam Islam yang dibenarkan di mahkamah syariah di negeri itu.

Victoria diwakili oleh peguam Ranjit Singh, manakala pendakwa kanan persekutuan, Nadia Hanim Mohd Tajuddin mewakili MAIWP.

Victoria, yang mempe

roleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP Islam melalui jawatankuasa peguam syarie.

Beliau berkata melalui sepucuk surat bertarikh 6 April, 2006, beliau menghantar permohonan tetapi MAIWP memaklumkan beliau bahawa permohonannya sedang diproses.

Selepas lebih tiga tahun, tiada jawapan daripada MAIWP berhubung permohonannya.

Katanya melalui sepucuk surat bertarikh 4 Ogos, 2009 beliau memohon semula sebagai peguam syarie tetapi MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie melalui sepucuk surat bertarikh 9 Sept, 2009 menolak permohonannya atas alasan bahawa beliau bukan Islam.

Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran pada 23 Oktober tahun lalu yang antara lain untuk satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP kerana menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Victoria juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Kaedah 10 daripada Rukun Peguam Syarie 1993, yang memberi mandat bahawa orang Islam sahaja boleh diterima sebagai peguam syarie adalah ultra vires kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Beliau juga menuntut satu pengisytiharan bahawa di bawah kaedah yang sama, yang memberi mandat bahawa hanya orang Islam diterima sebagai peguam syarie, adalah bertentangan dengan Artikel 8(1), 8(2), 5 dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Peguamnya, Ranjit Singh memberitahu pemberita bahawa hakim menolak hujahan MAIWP bahawa hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan anak guamnya berhubung permohonan menjadi peguam syarie.

Katanya beliau memaklumkan hakim bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menangani perkara itu.

Ranjit berkata hakim juga menolak hujahan MAIWP bahawa jika Victoria tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Agama, beliau boleh membuat rayuan dengan majlis itu.

-malaysiakini-

Wee Cho Keong akhirnya tinggalkan PKR

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Cho Keong hari ini mengumum keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas.

Dalam sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa di pusat khidmatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wee berkata tindakannya itu berkuat-kuasa hari ini.

Pada 21 April lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan khabar angin yang bertiup kencang bahawa Wee adalah pemimpin PKR yang bakal melompat tetapi beliau enggan mengulas apabila diajukan soalan berkenaan.

Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya.

lewat semalam ketika ditanya wartawan di lobi parlimen.

Wee sehari sebelum itu berkata kepada akhbar-akhbar Cina bahawa jika beliau memilih meninggalkan PKR, beliau akan berbuat demikian dengan tempoh masanya sendiri dan bukan ditentukan oleh 'Napoleon kecil'.

Beliau kemudiannya menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.

“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.

-malaysiakini-

Kerugian RM 1.6 Bilion Sime Darby, Siasatan Dalaman Tidak Memadai

SHAH ALAM, 14 MEI: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin mencadangkan kerajaan pemerintah menubuhkan panel menjalankan siasatan khas terhadap kerugian besar yang dialami Sime Darby Berhad berjumlah RM1.64 bilion yang memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Beliau menganggap tindakan siasatan dalaman dan arahan Pengerusi atau CEO Sime Darby hanya diarah bercuti, jauh dari mencukupi lantaran ia membabitkan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa.

Sime Darby mencatat kerugian lebih RM1.64 bilion berikutan lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya termasuk projek hidroelektrik Bakun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid kemudian diminta bercuti dan langkah ini direstui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sudah tentu ia memalukan negara kerana Sime Darby sewaktu dipimpin oleh Tan Sri Khalid sebelum ini, tidak pernah mengalami kerugian sebanyak ini. Sime Darby harus menjelaskan bagaimana kerugian mencecah RM1.64 billion.

"Tidak hanya memadai pengerusi atau CEO diarah bercuti dan sebagainya. Sebab ia satu syarikat yang bertaraf antarabangsa dan saya percaya, ia akan memberi impak besar kepada ekonomi negara,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Shamsul menegaskan kerugian besar ini harus diperbetul temasuk mengenal pasti punca, sama ada disebabkan faktor salah urus atau masalah penyelewangan.

“Isu Sime Darby menunjukkan sesuatu harus diperbetul dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur dan unit pegangan saham terdiri daripada orang ramai," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan siasatan bebas dan telus terhadap Sime Darby dibuat kerana percaya siasatan dalaman sahaja tidak memadai.

“Sudah tentu siasatan harus dibuat dan mesti diketuai panel bebas kerana siasatan tidak boleh hanya dikendali secara dalaman semata-mata. Jumlah kerugiannya terlalu besar, elok kerajaan ambil inisiatif untuk membuat panel khas," katanya.
-tvselangor-