"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puluhan ribu penyokong Pakatan banjiri Labis

Nazri Abdullah dan Hazayani Zakaria
LABIS, 22 Jan: Berpuluh-puluh ribu penyokong Pakatan Rakyat terutama dari PAS membanjiri pekan Labis untuk mengiringi calon mereka, Cikgu Normala Sudirman ke pusat penamaan calon Pilihan raya Kecil Tenang.

Mereka berkumpul di sana sejak sebelum subuh bagi menyertai majlis solat hajat di tanah lapang yang disewa khas oleh PAS untuk digunakan sepanjang kempen pilihan raya ini.

Mereka dikatakan menerima arahan agar terus ke kawasan yang terletak di perkarangan markas besar PAS itu kerana beberapa masjid yang berdekatan dikatakan dikunci sejak malam tadi.

Perarakan calon bermula seawal jam 8.20 pagi menuju pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Majlis Daerah Labis yang terletak kira-kira 2 km dari situ. Ketika itu, kira-kira 5,000 orang menyertainya.

Perarakan itu menjadi semakin besar apabila kumpulan kecil sepanjang jalan menyertai mereka.

Perarakan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub turut disertai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan menyertai perarakan itu kira-kira jam 8.50 pagi.

Konstabel didakwa bakar kekasih


Nur Rashidah menunjukkan tangan kiri dan mukanya yang melecur dibakar teman lelakinya di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis. Gambar kiri Nur Rashidah ketika sihat.


KANGAR: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar semalam atas tuduhan membakar teman wanitanya kerana berselisih faham di Kuala Perlis minggu lalu.

Konstabel Ahmad Faiz Ramli, 24, didakwa membakar teman wanitanya, Nur Rashidah Rashid, 18, dengan pemetik api setelah menyimbah gadis terbabit dengan petrol di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada pukul 9 malam 12 Januari lalu.

Ahmad Faiz bertindak demikian selepas gagal mengawal emosinya ketika berlaku perselisihan faham dan pergelutan dengan Nur Rashidah ketika mereka menghabiskan masa di kawasan terbabit.

Ekoran perbuatan tertuduh itu, gadis tersebut mengalami cedera parah apabila melecur di muka, leher dan juga lengan kiri.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.

Ahmad Faiz dituduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serius dan boleh dihukum sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
-kosmo-

Kontraktor dijel kerana samun RM1j

NUZULSHAM SHAMSUDDIN
MELAKA: Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyamun barangan melebihi RM1 juta bersama rakan-rakannya empat tahun lalu.

Hakim Al-Baishah Abd. Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, K. Mathana Mogan, 29, selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.

MATHANA dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun kerana menyamun barangan melebihi RM1 juta di Melaka semalam.
Tertuduh didakwa telah melakukan rompakan bersama rakan subahat yang masih bebas dengan bersenjatakan parang terhadap tiga lori treler dan kontena membawa muatan tembaga dan komponen kenderaan di Lot 22 Terminal Kenderaan Berat Durian Tunggal, Alor Gajah pada pukul 3 pagi hingga 3.30 pagi 22 Jun 2007.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu peguam tertuduh Joseph Methew meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh mempunyai empat orang anak berumur setahun hingga 11 tahun.
-kosmo-