"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fahaman Umno lebih bahaya daripada Wahabi?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Julai: Keghairahan Umno melalui agensi Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.
Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu', tapi bukan soal penafian prinsip Islam.

“Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain. Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Umno dalam sejarahnya, kata Tuan Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin Umno pernah menganggap politik suku agama suku.

“Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia.

"Bukankah ini bukti fahaman Umno yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?” soal beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini menimbulkan kebimbangannya terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme.

Menurut sumber, dalam taklimat tertutupnya yang antaranya disertai mufti dan wakil majlis agama Islam negeri di Putrajaya, seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan sama.

"Kerajaan Arab Saudi didakwa menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku. Saudi dikatakan di belakang tokoh-tokoh ini," dakwa sumber itu.

Sebagai reaksi kepada tindakan MKN, Tuan Ibrahim berkata tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.

“Cuma yang agak menghairankan bilamana ulamak Muda Umno juga tergolong senarai pengganas.

"Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan Darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong Bersih 2.0?” soal beliau sambil menyokong saranan Dr Asri Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam parti itu.

“Tidak terfikirkah bahawa apabila ulamak Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?

"Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja lanun merompak wang negara dengan membunuh karear politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga,” bidas beliau secara sinis.

Bila PM 1 Malaysia macam orang mabuk todi...

hazik



Bila PM 1 Malaysia kesal tentang orang Cina dan India lupa akan sejarah, tertanya pulak saya PM 1 Malaysia ni fahamkah tentang sejarah? Bercakap tentang sejarah, ia punya falsafahnya tersendiri. Saya masih teringat akan kata-kata guru sejarah saya, bahawa orang yang tak tahu akan sejarah seumpama orang yang telah pitam, tak sedar diri dan mungkin telah hilang akal. Biasanya orang yang sedar dari pitam akan bertanya, mengapa aku pitam dan apa puncanya. Begitu juga dengan orang yang baru nak pulih ingatan, akan cuba menyorot kembali apa yang telah berlaku. Itulah hurian mudah tentang sejarah.

Bagi PM 1 Malaysia perspektif sejarah mengikut falsafah BN yang memegang kuasa kini mungkin berbeza dengan apa yang sebenar. BN mungkin terasa bahang sokongan orang Cina dan India selama ini semakin merosot dan sehari demi sehari telah menunjukkan penurunan.


Tak hairan bila Presiden MIC sendiri sedar bahawa sebagai minoriti rakyat Malaysia, orang India tak begitu yakin untuk mengekalkan sokongan terhadap BN. MIC juga yakin bahawa BN yang ditunjangi UMNO semakin lari dari konsep seperti mana Parti Perikatan yang mula diwujudkan dulu.

MCA pula sudah lama sedar akan perkembangan yang kurang sihat berlaku dalam BN. Selain berpandangan serupa dengan MIC, mereka juga sedar bahawa konsep parti perikatan yang diberi jenama baru dalam Barisan Nasional telah hilang. Apa yang diamalkan kini jelas bertentangan dengan konsep perikatan yang sebenarnya.


Jadi untuk PM 1 Malaysia mengulas (selain mengugut) terhadap sokongan orang Cina dan India yang tak mengenangi sejarah, supaya segera sedar. Tetapi dalam masa yang sama mereka sedar bahawa apa yang PM 1 Malaysia cakap, serupa jugaklah dengan orang yang telah pitam mengatakan dia tak pitam. Atau seorang yang telah mabuk todi, perasan dia tak mabuk-mabuk, padahal dia dah langgah (teguk) berbotol-botol dah... 

Polis diberi 24 jam mohon maaf kepada Mohamad Sabu

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Julai: Peguam kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamed Hanipa Maidin hari ini menyerahkan notis tuntutan kepada polis bagi meminta maaf kepada anak guamnya dalam tempoh 24 jam.

Notis itu telah dihantar dengan tangan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jam 4 petang tadi dan menuntut Ketua Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid memohon maaf kepada Mohamad Sabu kerana memfitnah timbalan presiden PAS itu.

"Kami menuntut ia dibuat dalam masa 24 jam melalui semua media termasuk tv dan akhbar.

"Saya telah diarahkan oleh anak guam saya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Datuk .... Jika tidak dibuat dalam masa 24 jam," kata Hanipa kepada Harakahdaily.

Mohamad sebelum ini mendakwa Salleh berbohong berhubung kecederaan yang dialaminya dalam insiden 9 Julai lalu.

Menurut Mohamad, beliau sememangnya dilanggar oleh pihak polis dan mengalami kecederaan pada bahagian lututnya sehingga menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan di hospital pakar di Petaling Jaya pada 17 Julai lalu.

Doktor memasukkan skru 2 1/2 inci untuk menyambungkan ligamen dan bahagian tulang di bahagian lututnya.

Malah katanya, Salleh sendiri tahu tentang dirinya yang dilanggar oleh pihak polis sehingga mengalami kecederaan dan tidak dapat berjalan apabila beliau terpaksa dipapah oleh pihak polis untuk dimasukkan ke dalam kenderaan polis, dipapah ketika dibawa ke lokap polis, dipapah ketika dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Laporan berhubung beliau dilanggar itu juga dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.

Kejadian menyedihkan yang dialaminya itu berpunca dari keganasan polis dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Insiden-insiden keganasan polis itu termasuk terhadap dirinya dan para peserta lain telah diadukan kepada pihak Suhakam dan beliau bersetuju serta akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Suhakam untuk mengadakan sisatan awam berhubung perkara itu.

Beliau amat kesal kerana Salleh yang dipengaruhi oleh para pemimpin Umno dan kerajaan BN sanggup mempermainkan soal keselamatan dan kesihatannya, pada hal kedua-dua perkara itu adalah perkara serius yang tidak sewajarnya dipermainkan.

Beliau turut kesal apabila PAS yang dahulunya hanya berlawan dengan Umno BN, tetapi kini dihadapkan pula dengan institusi awam untuk mempermainkan rekod keselamatan dan kesihatan seseorang.