"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas tahanan ISA dakwa ramai dipukul, dikencing

Aidila Razak
Seorang bekas tahanan ISA mendakwa, para tahanan bukan sahaja dipukul malah turut "dikencing" oleh pihak berkuasa kem tahanan di Kamunting, Perak dalam satu kejadian berdarah pada 2004.
Menurut Yazid Sufaat yang dibebaskan daripada ISA pada 2008, mendakwa tindakan itu dilakukan oleh "kira-kira 100 orang" anggota Unit Keselamatan Penjara (UKP) yang memakai kelengkapan anti-rusuhan.

Insiden itu bukan dilakukan oleh polis, seperti yang didakwa dalam satu nota yang didakwa diseludup keluar oleh kakitangan kem.

Yazid mendakwa, anggota UKP itu membariskan mereka mengadap satu tembok dan kemudiannya meludah dan kencing ke atas mereka.

"Jika saya jumpa mana-mana antara mereka lagi, saya akan kencing di atas kepala mereka (sebagai balasan)," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian pada Disember itu, penyeksaan fizikal ke atas tahanan warga Malaysia berlaku dalam tempoh sehari suntuk, namun ia berlarutan selama beberapa hari ke atas tahanan warga asing, dakwa Yazid.

Tambahnya, ada di antara rakan-rakannya yang patah tangan dan rusuk, selain luka-luka serius dan menerima banyak jahitan.

'Enam T' PAS mampu selamatkan negara - Tamrin Tun Ghafar

Mohd Sabri Said
TASEK GELUGOR: Anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar mengakui PAS mempunyai 'enam T' yang mampu menyelamatkan negara dari Umno BN.

Jelasnya, enam T itu ialah takutkan kepada Allah s.w.t, tazkirah dan tarbiyah, teladan yang baik, tolak penyelewengan kuasa dan rasuah, tamrin (latihan) serta takbir.

Menurutnya, enam T dalam PAS sangat berbesa dengan T dalam Umno yang hanya yang hanya berseronok semata-mata iaitu topi, TShirt, tambang, tapau, transpot dan tipu.

"Ikut Umno binasa bukan sahaja badan malahan negara boleh bangkrap hasil penyelewengan kepimpinan yang ada," tegasnya dalam ceramah anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Padang Awam Kampung Jarak Atas semalam.

Sebab itu katanya tidak hairan, jika ahli dan penyokong Umno bila dapat topi, T'shirt, tambang, transpot, tapau serta tipu sudah memadai untuk mereka hidup lima tahun lagi.

Selain beliau turut berpidato ialah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Pengerusi Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (Kerabat), Kol (B) Haji Nazari Haji Mokhtar serta Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Khalid Man.

Baginya, PAS sebuah parti yang unik dan tahan dugaan walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

PAS juga tambahnya, kuat berpegang dengan agama, kepimpinanya pula mempunyai moral yang tinggi kerana menolak penyelewengan hasil daripada budaya tamrin yang jitu.

Umno pula jelas beliau, tidak bermutu berbanding perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga sanggup menghabiskan kewangan negara untuk poket sendiri dan kroni demi mahu kekal berkuasa.

"Walaupun saya masih berada dalam Umno ia bukan budaya saya. Lepas ini tengoklah macamana keadaanya, " kata Tamrin disambut laungan takbir dari hadirin.

Pelakon Hairie Othman pula sertai PAS

Muhammad Faeez 
(Hairie [berjaket tiga dari kanan] bergambar bersama selepas ceramahnya semalam)
BATU GAJAH: Pelakon, seniman, sastrawan kini berbondong-bondong menyertai PAS dan yang terbaru, pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman pula akan menyertai PAS.

Menurut Hairie, beliau bersama-sama pelakon, Zulkifli Ismail akan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohammad Sabu dalam satu program di Taman Melewar, Gombak 6 julai ini.
Beliau tampil dalam siri ceramah PAS di Batu Gajah bersama Leman Raja Lawak yang baru sahaja sertai PAS, semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mat Jam, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik dan Bekas Setiausaha Dewan Negara, Salleh Bakar.

Dalam ucapan sulungnya di pentas PAS, Hairie berkata, faktor mendorongnya untuk menyertai PAS ialah atas kesedarannya sendiri.

"Tidak sesiapa yang mempengaruhi dan memaksa saya masuk perjuangan ini tetapi atas kesedaran saya sendiri," katanya di hadapan ratusan hadirin.

Katanya, ramai artis yang menyokong BN kerana untuk mencari 'makan' dan meneruskan karier dalam bidang hiburan.

Anak kelahiran Negeri Kedah ini sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad yang mendakwa artis yang menyertai PAS ini bukanlah untuk berdakwah sebaliknya untuk berpolitik.

"Kenapa jika artis yang tidak sealiran dengan mereka dihina dan dijadikan isu sedangkan yang menyertai Umno tidak pula dibangkitkan?

"Saya telah memberikan komen tentang kenyataan menteri itu di facebook dan ramai yang menyokong komen saya itu," jelasnya.

Hairie berkata, ramai yang memberi sokongan kepadanya selepas komen-komennya dalam laman facebook seolah-olah pro kepada pembangkang.

"Ramai yang memberi sokongan dan mengajak saya sertai PAS dan hari ini, hari bersejarah saya berucap pertama kami dipentas PAS," katanya dalam nada gembira.

Beliau mengakui tindakan ini akan memberi kesan kepada karier lakonannya namun beliau sanggup menghadapinya.

"Kalau saya fikir dunia, saya tidak akan membuat keputusan menyertai perjuangan ini namun saya sanggup menerima risiko kerana yang memberi rezeki bukannya BN tetapi Allah ," jelasnya.

Hairi menjelaskan, umat Islam perlu mengetahui serta mengakui politik dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Oleh itu, katanya Umat Islam perlulah menyokong parti yang memperjuangan Islam iaitu PAS dan menolak parti yang memperjuangkan assobiyyah.

"Saya akan bersama-sama membantu dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," jelasnya.