"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin HARAPAN dan BERSATU MESTI Kunci mulut atau terkubur, kata tokoh akademik

Pemimpin PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU perlu menghormati kandungan Perjanjian Persefahaman (MOU) yang ditandatangani mereka pada 13 Disember lalu sekali gus menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan segala pandangan yang membabitkan hubungan antara sesama mereka.

Apabila ramai daripada mereka memilih untuk bersuara secara terbuka dalam media massa dan mengabaikan saluran yang ditetapkan oleh perjanjian maka ini akan merumitkan keadaan sekali gus menjadikan perjanjian yang telah mereka tandatangani itu sebagai tidak bermakna.

Pertikaian berterusan yang berlaku antara pemimpin HARAPAN dan BERSATU sejak kebelakangan ini mengenai soal-soal seperti calon perdana menteri, pembahagian kerusi mahupun dasar seperti BR1M tidak syak lagi akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap mereka.

Cadangan Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin, supaya AMANAH bergabung bersama PKR sepatutnya tidak ditimbulkan lagi setelah perjanjian persefahaman ditandatangani, jika mahu dibuat pun ia mestilah dibuat di dalam mesyuarat bersama.

Begitu juga kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, mengenai kesediaan PKR memberikan sebahagian kerusinya kepada BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang tidak perlu lagi disuarakan jika kandungan perjanjian dihormati.

Turut tidak perlu disuarakan adalah kenyataan terbuka Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, bahawa parti itu bercadang untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen pada PRU-14, termasuk kerusi yang di ditandingi oleh PAS dan PKR pada PRU-13.

Jawatankuasa teknikal bersama

Perjanjian tersebut jelas menyebut bahawa HARAPAN dan BERSATU akan meletakkan satu calon sahaja setelah pembahagian kerusi ditentukan melalui perundingan di antara kedua-dua pihak berdasarkan prinsip keboleh-menangan (winnability).

Mekanisme untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihan raya ini juga ada disebut di dalam perjanjian itu, iaitu melalui penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal bersama.

Oleh itu, tidak berbangkit soal parti mana perlu menyerahkan kerusi kepada parti lain kerana semuanya akan ditentukan melalui prinsip keboleh-menangan oleh jawatankuasa teknikal bersama ini.

Tidak berbangkit juga soal parti mana dari pakatan pembangkang yang akan menjadi teraju kepada pemerintahan di negeri tertentu seperti dibangkitkan oleh Khalid jika kehendak perjanjian MOU ini diikuti sepenuhnya.

Apa yang sebaliknya perlu dibuat oleh pemimpin Pakatan Harapan dan BERSATU ialah untuk memastikan jawatankuasa teknikal bersama ini dapat diwujudkan secepat mungkin dan membuat kajian yang boleh diterima oleh semua pihak mengenai tahap kebolehmenangan sesuatu parti di setiap kerusi sahaja.

Jika ini dapat dilakukan secara objektif, sistematik dan saintifik serta membabitkan semua kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri maka soal parti mana perlu menyerahkan kerusi kepada parti mana atau soal parti mana akan menerajui negeri mana secara automatik akan selesai sendiri.

Soal siapa yang akan menjadi calon perdana menteri juga tidak sepatutnya menjadi satu isu kerana ia belum boleh dibincangkan selagi matlamat perjanjian untuk mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya belum tercapai.

Tunjuk hebat

Keadaan akan menjadi lebih mudah jika semua pemimpin parti politik yang bergabung dalam Pakatan Harapan bersama BERSATU dapat mengikuti kandungan perjanjian yang mereka tandatangani, tetapi bila masing-masing mahu menunjuk hebat dan bercakap sesuka hati kepada media massa maka akan bercelarulah jadinya.

Oleh itu, pemimpin HARAPAN dan BERSATU sepatutnya belajar untuk mengunci mulut masing-masing mengenai hubungan antara mereka dan sebaliknya menyuarakan segala cadangan mereka di dalam mesyuarat dalaman bersama bagi mengelakkan dari timbulnya persepsi negatif terhadap mereka.

Fokus utama sepatutnya adalah kepada penubuhan jawatankuasa teknikal bersama selain perbincangan mengenai dasar-dasar bersama supaya semua pemimpin HARAPAN-BERSATU dapat kelihatan seia sekata dalam semua perkara.

Keadaan seumpama Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan BR1M sebagai rasuah manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyifatkannya sebagai hak rakyat tidak akan berlaku jika pembangkang dapat menyediakan dasar-dasar bersama mereka terlebih dahulu.

Jika perbahasan dan pertikaian terbuka masih dibuat oleh pemimpin mereka dan jika mekanisme dalamannya tidak berfungsi sepertimana dirancang maka saya sangat pesimis dengan masa depan HARAPAN-BERSATU.

Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)
-malaysiakini

6 sekeluarga maut dikurung perompak dalam tandas

Jakarta – Polis menemui mayat enam orang termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dalam bilik air sebuah rumah, hari ini.

Mereka dipercayai maut akibat lemas selepas dikurung sejak semalam dalam tandas itu oleh kumpulan perompak bersenjata.

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono, berkata empat perompak memecah masuk rumah mereka di kejiranan mewah itu, semalam.

Perompak berkenaan mengurung 11 orang merangkumi ahli keluarga, orang gaji dan pemandu dalam bilik air seluas dua meter panjang dan satu meter lebar dan mangsa hanya ditemui awal hari ini, kata Yuwono.

“Mereka membawa senjata dan parang,” kata Yuwono mengenai kumpulan perompak terbabit berdasarkan kenyataan seorang saksi.

Lima lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal dan sudah dikejarkan ke hospital, katanya. 
BH Online

Amanah akn bertanding 40 kerusi Parlimen - Khalid Samad

Pakatan Harapan cadang Pas ketuai pembangkang di Kelantan, Terengganu

Pakatan Harapan bercadang membenarkan Pas “mengetuai” pembangkang di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya akan datang,"kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad.

“Jika Pas mahu turut serta, sudah tentu kami akan benarkan mereka ‘mendahului’ di Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun kami akan bertanding di beberapa kerusi di Kelantan, tetapi kami akan pastikan Pas mengetuai di Kelantan dan Terengganu.

“Penting untuk kami duduk berbincang bagi memastikan setiap parti mempunyai negeri pangkalan,” katanya pada sidang media seperti dilapor FMT hari ini.

Katanya, strategi memastikan setiap parti mempunyai negeri pangkalan itu akan memudahkan rundingan pembahagian kerusi di kalangan parti pembangkang.

Dalam pada itu, Khalid berkata, Amanah menyasarkan untuk bertanding 40 kerusi Parlimen pada PRU14.

“Bagi Amanah, kami sudah kenal pasti 40 kerusi berpotensi yang kami berminat turunkan calon. Kerusi itu kami rasa ada harapan dan peluang untuk menang.

“Tetapi, kami akan berbincang mengenainya pada mesyuarat akan datang dengan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada awal Januari,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini.