"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS heret Husam ke mahkamah boleh jatuhkan Hadi Awang

Mohd Sayuti Omar
Isu yang menggelegak ketika ini ialah pengakuan Husam Musa yang dia ada maklumat kononnya berlaku pengaliran wang kepada parti agama (Pas) menerusi Afinbank. Kenyataan beliau dalam ceramah di Selising Pasir Puteh itu menjadi kejutan kepada umum dan lebih-lebih lagi kepada Pas sendiri. Pendedahan Husam itu membuka dimensi baharu perkembangan yang ketika ini "masam" buat parti itu.

Pendedahan Adun Salor yang juga Penasihat Amanah Kelantan secara sambil lewa itu juga dilihat muqadimah dan pancingan awal kepada Pas sebelum beliau membongkar rahsia-rahsia lebih besar secara berterusan dalam Pas. Ia juga boleh difahami yang Husam ada menyimpan rahsia Pas bukan sahaja dalam poket seperti Nik Amal Nik Abdullah tetapi dalam gedung besar?

Ekoran pendedahan Husam itu yakni dakwaan web Sarawak Report mengatakan Pas menerima RM90 juta daripada pihak Umno yang mulanya dianggap sebagai dongeng, tetapi kini telah menukar tanggapan umum serta menyebabkan orang ramai kian mempercaya dakwaan itu, bahawa pendedahan itu benar. Kelewatan Pas untuk menyaman laman web berkenaan, dengan memberi berbagai alasan dan dolak dalik menyebabkan minda orang ramai berasakan apa yang Husam dedah itu benar.

Bukan itu sahaja, ia juga diukur kepada sikap dan stail Husam yang bercakap dengan fakta dan bukti. Husam tidak pernah bercakap kosong dan dia sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa ulasan dan singgungan.

Husam sebelum ini banyak mendedahkan keburukan dan penyelewengan politik (Kerajaan) Kelantan yang mulanya dianggap sebagai rekayasa tetapi akhirnya dikeluarkan bukti satu demi satu menjadikan orang terperagah. Gara-gara Husam menyebabkan kerajaan Kelantan menjadi hilang akal sehinggakan tindakan memburuk peribadi Husam berleluasa. Terbaharu anjuran ceramah bertajuk "Husam Lari Dari Debat Bai'ah" adalah projek kerbau air budak-budak Pas Kelantan.

Exco jubah labuh menjadi penceramah utamanya.

Apa yang saya bimbang sebelum ini yang mengharap sangat agar Husam dipelihara dalam Pas untuk tidak merosakkan Pas sudah menjadi kenyataan. Selepas dipecat Husam terus mencari penawar dalam mengubati lukasakitnya atas tindakan rakus Pas memecatnya. Kesan kini sudah dirasai Pas Kelantan. Seorang pemimpin Pas Kelantan yang ada kini terkial-kial untuk menentang Husam.

Begitu juga dengan dakwaan beliau itu kononnya ada menerima maklumat dari Afinbank alirkan wang kepada pemimpin Pas. Kalau beliau tidak dibekalkan maklumat berkenaan, tidak mungkin beliau berani menyebutnya. Cara Husam dedahkan isu tersebut dilihat pancingan untuk mengheret Pas ke dalam masalah lebih besar.

Dan ia juga memberi bebanan baharu kepada orang memberi maklumat. Saya yakin Husam ada dokumen berkenaan yang disimpan dan akan dijadikan bukti di mahkamah yang kemudian memaksa Pas, terutamanya presidennya mengesahkannya. Sebab itu apabila Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan untuk menyamannya Husam cepat menyambut cadangan itu agar ia diteruskan.

Orang yang sangat terkejut dengan pengakuan Husam itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man. Menghairankan, macam mana beliau terkejut dengan pendedahan Husam itu sedang dia adalah orang nombor dua Pas? Mungkin Tuan Ibrahim benar-benar tidak mengetahui apa yang berlaku dalam partinya dan apa yang dimainkan oleh pemimpinnya. Perbuatan khalwat kemudian dilangsungkan dengan sanggama tanpa ijab kabul tidak diketahuinya. Sebab itulah Husam tempelak Tuan Ibrahim yang hendak samannya sebagai tidak mengetahui hujung pangkal.

Bukan sahaja hujung pangkal tidak diketahui Ibrahim, tetapi tengah-tengah yang diketahuinya menjadikan timbalan presiden itu konfius dan sebab itulah dia dilihat tidak sehaluan dengan bosnya Hadi Awang. Sudah kerap berlaku percanggahan di antara keduanya dalam memberi pandangan politik. Memang teruk dan kesian kepada orang yang hendak bercakap tetapi tidak tahu hujung pangkal kerana percakapannya akan menjadi sumbang kemudian akan diketawakan orang.

Sepatutnya sebelum cadang hendak heret Husam ke mahkamah Tuan Ibrahim selidiki dahulu perkara berkenaan. Ataupun apakah itu sebagai tektik. Cara Tuan Ibrahim untuk memberi jawaban kepada dirinya sendiri. Apabila Husam diheret ke mahkamah maka terjawab apa-apa yang misteri yang mengusut dalam kepalanya. Barang kali begitu. Kerana kata Husam tindakan Tuan Ibrahim menyamannya itu boleh menerbitkan sebuah kebenaran? Jadi Husam cukup seronok.

Sekiranya Husam berjaya membawa bukti apa yang dituduh itu ia memberi kesan buruk kepada Pas dan presidennya. Hadi perlu bertanggungjawab dan wajib meletakkan jawatan selepas ini. Pembuktian itu nanti akan menghilangkan kepercayaan umum kepada Pas. Apa yang bakal berlaku nanti, sekiranya Tuan Ibrahim tidak terlibat ia menguntungkan anak saudara Tuan Sabariah Tuan Ishak itu.

Dari sudut itu cadangan Tuan Ibrahim itu ada motif lain. Beliau bukan sangat untuk menyeksa Husam tetapi mahu menggunakan Husam memberi jawaban kepada persoalan yang berlabuh dalam kepalanya. Saya yakin soal wang RM90 juta tiada dalam pengetahuan Tuan Ibrahim dan beliau tidak terlibat maka beliau menggunakan Husam yang cerdik itu menyelesaikan kebuntuannya.

Selain daripada itu yang diharap Tuan Ibrahim saya nampak tindakan segera beliau ke ats Husam itu untuk mendapat sedikit markah dalam politik. Mungkin Tuan Ibrahim mahu melihat dia sebagai hero parti yang kini sedang diancam masalah sehingga memburukkan Pas. Kenapa Tuan Ibrahim perlu menunjukkan dirinya hero kerana dia sudah berbau bahawa ada gerakan untuk menyingkirkanya dari kedudukan sekarang dalam muktamar pada pertengahan tahun ini.

Apabila beliau menjadi hero sudah pasti perwakilan akan bersimpati dan berada di sebelahnya. Dalam kata lain Tuan Ibrahim menjadikan Husam sebagai alat atau umpan untuk menarik sokongan ahli Pas kepadanya. Satu hal tidak dapat nafikan ada gerakan dalam Pas untuk menyingkirkan Tuan Ibrahim dari kedudukannya kini. Alasan kenapa timbalan presiden itu perlu disingkirkan ialah kerana beliau tidak berkelulusan Timur Tengah di mana politik wala'nya tidak setaksub pemimpin berkelulusan Timur Tengah atau India.

Penyingkiran Tuan Ibrahim dan beberapa pemimpin bukan lulusan Timur Tengah lain juga sebagai pemnbersihan "habis licin" para pemimpin profesional yang ada dalam Pas. Tindakan ini untuk memudahkan Pas menuju ke arah "diktator agama" sepenuhnya.

Cuma apa yang hendak saya sebutkan di sini, membawa Husam ke mahkamah Pas tidak akan laba banyak termasuk kepada Tuan Ibrahim sendiri. Sebalik ia membahayakan Pas dan merugikan Pas. Kenapa saya berkata begitu kerana apabila berlaku perbicaraan banyak perkara-perkara buruk yang sebelum ini ditusuk dalam kilas akan terlodeh keluar.

Bila dibawa ke mahkamh Husam akan menggunakan apa sahaja kesempatan yang ada. Segala maklumat dan pengalaman yang dilaluinya bersama Pas dan terrahsia selama ini akan terkeluar. Ia nanti bukan sahaja berkisar kepda wang yang dialirkan menerusi Afinbak tersebut, tetapi lain-lain sumber juga. Penyelewengan yang berlaku di Kelantan misalnya; pemimpin dan Exco mana terima wang tumbuk rusuk, yang ambil duit pendahuluan dengan taukeh lombong dan balak akan terdedah.

Macam mana dan siapa yang memberi peruntukan untuk mengadakan Muktamar pada tahun 2008 bagi membantu projek pembersihan ethnik (ethnic cleansing) dalam Pas dalam tahun 2014 juga akan turut sama terdedah. Segala dokumen dan resit-resit bayaran bilik-bilik hotel atau jamuan makan akan terburai.

Cerita anak dan menantu siapa ke Aurstalia untuk mengundang taukeh emas di negara itu ke Kelantan dengan menggunakan wang PKINK, pergi bersama bekas CEOnya juga akan diceritakan. Adun Kok Lanas Alwi Che Amat pernah menceritakan hal ini kepada saya. Berapa banyak seorang wakil rakyat mendapat manfaat daripada seorang taukeh lombong dari Pahang untuk membiayai majlis di sepanjang Ramdahan dalam kawasannya juga akan terbongkar.

Begitu juga macam mana seorang lawyer Pas yang menjadi konsultan untuk mendapatkan tanah kepada sebuah syarikat telah mengambil RM4 juta dan disimpankan dalam firma kawannya juga akan "tubik" dalam mahkamah nanti. Cerita macam mana syarikat yang bagi wang RM4 juta tetapi gagal memiliki tanah atau kawasan balak dijanjikan akan keluar.

Demikian juga kisah-kisah pembelian dan penjualan tanah di Rantau Panjang oleh pemimpin Pas Kelantan dan Pusat bernilai RM23 juta yang kini jadi pertikaian disebabkan pembahagian saham tidak adil turut sama keluar dalam mahkamah nanti.

Ah, banyak lagi kalau hendak disebut satu persatu tidak cukup ruang atau habis dalam masa satu hari ini mengenai skandal ataupun keburukan para pemimpin Pas berkaitan dengan duit. Semua cerita itu nanti akan terkeluar dalam masa perbicaraan nanti.Pendeknya Umno boleh riba tangan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengenai dakwaan Pas terbabit dengan wang RM90 juta seperit mana dakwaan Sabah Report itu, Abdul Hadi tidak perlu pun menerima wang jutaan ringgit, tetapi cukup menerima ratusan ringgit sahaja ia sudah menjadi bukti atas apa yang dituduh itu. Yang pentingnya Husam tidak menyebut berapa jumlah tetapi menyebut pembabitan Pas. Soal siapa terlibat juga tidak spesifik, jadi kalau ia membabitkan sesiapa individu menjadi ahli Pas walaupun seorang sudah cukup apa yang dinyatakan itu.

Apa yang berlaku dan natijah dari itu nanti menyebabkan Abdul Hadi kena ambil tanggungjawab melepaskan jawatan. Itulah yang Tuan Ibrahim inginkan dan tindakan ini dilihat untuk menyelamatkan Pas dengan menjadikan Husam sebagai kambing hitam.

Sebab itu bagi saya cadangan Tuan Ibrahim itu bagus dan perlu disegerakan. Jangan pula selepas ini cadangan itu dihayutkan begitu sahaja. Hadi tidak perlu mencari alasan atau muslihat untuk tidak membawa Husam ke mahkamah. Bukti bahawa Pas tidak terima RM90 juta seperti disebut oleh Mursyidul Am Pas itu tertolak sama sekali sebab alasan itu sama cerdik dengan alasan diberikan Hadi, konon Husam buat kenyataan itu mengharap dia disaman untuk mengelakkan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya.

Pagi tadi saya minum dengan seorang lawyer dia menyentuh kenyataan Hadi itu terhadap Husam. Katanya macam mana Hadi hendak jadi Perdana Menteri, beza antara tindakan kes jenayah dengan sivil pun tidak tahu. Kalau dia jadi PM nanti tentu kelam kabut negara ini dibuatnya.

Jadi untuk selamatkan Pas dari terus "dikelautkan" oleh Hadi Awang, cadangan saman Husam itu perlu disegerakan. Mudah-mudahan Tuan Ibrahim dapat membaiki Pas serta selamatkan Pas dari ditelan naga bernama Najib. Tindakan Tuan Ibrahim kali ini saya fikir ada sedikit kecerdikan walaupun dia menggunakan pihak kedua dalam mencapai matlamat politiknya. Pandai juga bekas panel forum perdana ini berpolitik.
-msomelayu.blogspot.m

Saya tidak mahu merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS - Mahathir

Tempoh sebulan yang diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada bersama pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang adalah mencukupi, kata pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami telah cuba untuk menyelesaikan (kebuntuan) ini. Kami amat bersabar. Kami tidak berkata apa-apa yang buruk tentang PAS. Kami telah melakukan segala yang mungkin.

"Apa lagi boleh kita lakukan. Saya tidak mahu merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS," kata Mahathir kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

"Kami akan tetap memberi mereka sebulan, walaupun mereka berkata satu bulan tidak perlu. Kami adalah orang yang sangat bermurah hati."

Mahathir memberikan tempoh kata-dua itu, bermula 11 Februari lalu, walaupun rundingan antara antara BERSATU dan PAS sepatutnya berterusan.

Mesyuarat pertama antara kepimpinan kedua-dua parti diadakan pada 1 Februari lalu.

Berikutan kata-dua itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya tidak akan bekerjasama dengan BERSATU selagi mereka bersama dengan DAP dan parti serpihannya, AMANAH.

Mengulas perkembangan itu, Mahathir berkata beliau menjangkakan PAS akan mencatatkan prestasi lebih buruk pada pilihan raya umum akan datang jika enggan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

Ini kerana, katanya, tidak ada parti, walaupun Umno boleh berdiri bersendirian tanpa kerjasama dengan parti-parti politik lain.

"(Oleh itu), terpulang kepada PAS untuk melihat jika mereka mahu kalah lebih besar atau tidak.

“Di peringkat persekutuan, mereka tidak pernah berjaya memenangi satu perempat kerusi parlimen," kata beliau pada sidang media hari ini di Putrajaya .

Beliau berkata BERSATU tidak mampu tidak bekerjasama dengan DAP memandangkan parti itu kini memegang 36 kerusi di Dewan Rakyat manakala PAS mempunyai kurang daripada dua puluh.

Pada sidang akhbar itu, Dr Mahathir juga memaklumkan bahawa presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk mendapatkan temu janji untuk berbincang dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin, yang hadir pada sidang akhbar itu, berkata BERSATU tidak lagi akan mendesak untuk perjumpaan dengan Hadi.

"Kita telah berjumpa selama beberapa bulan, saya fikir beliau (Hadi) mengetahui tentang itu.

“Tidak ada keperluan untuk memohon lagi (perjumpaan dengan Hadi), terpulang kepada dia jika dia sudah bersedia untuk berjumpa kami," kata Muhyiddin.

Awal hari ini, BERSATU mengeluarkan 128 surat pelantikan kepada ketua bahagian protem yang baru dipilih di Putrajaya hari ini.
Mahathir sendiri dipilih untuk memimpin bahagian Langkawi manakala Muhyiddin adalah ketua bahagian Pagoh.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerajui bahagian Jerlun manakala setiausaha agung parti itu, Datuk Shahruddin Salleh di bahagian Muar.
-malaysiakini

Mahfuz Omar tempelak Presiden Pas

Pas tak perlu tunggu muktamar putuskan hubungan dengan PKR
MALAYSIA DATELINE
Mahfuz OmarPas tidak perlu menunggu muktamar parti itu pada April ini untuk menentukan kerjasama dengan PKR, tegas ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana katanya, Pas sudah lama mengetahui PKR mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah malah menandatangani perjanjian kerjasama politik untuk menumbangkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sudah terang lagi bersuluh, PKR seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP dan Amanah.

"Oleh itu secara perinsipnya hubungan kerjasama Pas dan PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Abdul Awang bahawa Pas tidak perlu menunggu sebulan untuk memberi jawapan terhadap tawaran Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Pas menyertai Pakatan Harapan.

Beliau menegaskan, Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menjalinkan hubungan dengan DAP dan Amanah.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Pas seharusnya menarik diri daripada kerajaan Selangor yang tuurt dianggotai PKR dan DAP bagi membuktikan ketegasan prinsip parti Islam itu.

"Adakah ini bermakna PAS perlu menarik diri dari kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor dan melepaskan semua jawatan exco, ahli Majlis Kerajaan Tempatan, JKKK, ketua kampung, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan apa-apa jawatan lantikan politik dengan segera secara berprinsip.

"Adalah lebih baik untuk PAS mengelakkan dari apa-apa persepsi atau tanggapan serong yang menampakkan Pas masih sayang pada kebendaan dan ketamakan kuasa yang diperolehi hasil dari kedudukan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Sudah sampai masanya Yb Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Naib Presiden Pas dan rakan-rakan exco kerajaan negeri dari Pas melepaskan jawatan exco dan apa-apa jawatan lantikan politik yang berkaitan," katanya yang masih ahli Pas.

Justeru tegasnya, berdasarkan keputusan Pas itu, semua parti pembangkang boleh merumuskan bahawa akan berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

"Berdasarkan keputusan yang dinyatakan Pas, semua parti pembangkang sudah boleh merumuskan PRU14 akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk Pas juga sudah boleh merancang strategi tiga penjuru untuk memastikan Umno-BN dikalahkan pada PRU14.

"Usah lagi menghabiskan masa dengan agenda pujuk rayu untuk Pas menyertai gabungan pakatan pembangkang, sebaliknya semua parti termasuk Pas perlu tumpu kepada usaha pujuk rayu rakyat untuk menolak Umno-BN pada PRU14 nanti," katanya