"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas dicadang panggil pilihanraya Nenggiri, uji senario politik Kelantan

BORHAN AHMAD
Pas dan kerajaan negeri Kelantan disaran mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar diadakan pilihan raya kecil di DUN Nenggiri untuk menilai kedudukan politik di negeri itu.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar dalam tulisan di facebooknya berkata, berdasarkan kenyataan SPR ekoran kekosongan kerusi itu, Speaker DUN Kelantan mempunyai budi bicara untuk mengadakan pilihan raya di situ atau tidak selepas selepas tiga tahun penggal DUN berlalu.

"Jika benar kenyataan SPR itu, elok rasanya Speaker Kelantan memberi laluan agar diadakan pilihan kecil di Nenggeri sebagai testimoni kedudukan dan senario politik di Kelantan hari ini.

"Biarlah nanti kerusi itu menjadi rebutan tiga komponen, BN, Harapan dan Pas," kata Sayuti dalam tulisan itu merujuk politik Kelantan yang serba panas sekarang ini selepas Pas berpecah menghasilkan Amanah dan lahirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas Umno juga berpecah.

Amanah dan Bersatu pula bergabung dengan PKR dan DAP membentuk Pakatan Harapan atau Harapan saja melalui logo bersama yang bakal mereka daftarkan.

Pas telah memerintah Kelantan sejak 1990 apabil berjaya mengambil alih negeri itu selepas bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46. Kini Pas tinggalk bersendirian.

Kata Sayuti, jika pilihan raya diadakan, semua pihak boleh menilai komponen mana yang akan dipilih rakyat nanti.

"Apakah Speaker Dun Kelantan berani untuk menulis memohon kepada SPR agar diadakan pilihan raya kecil?

"Atau pun dia akan menggunakan alasan bahawa kedudukan kerajaan Pas Kelantan tidak terjejas dengan kekosongan itu?

"Rasanya begitulah," kata Sayuti yang dipercayai menyindir Pas.

Dalam surat balas berkaitan dengan kekosongan kerusi Nenggeri apabila wakilnya diisytiharkan muflis, SPR Kelantan mengatakan pilihan raya kecil di kerusi itu boleh diadakan sekiranya Speaker Kelantan memutuskan demikian.

Peraturan pilihan raya tidak perlu diadakan selepas tiga tahun sesuatu penggal parlimen itu berlalu tidak tertakluk dalam kes ini, kata kenyataan SPR itu.

"Ia terserah kepada budibicara Speaker dan SPR hanya akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya," katanya.

Speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Gua Musang, kosong selepas penyandangnya, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani, disahkan muflis.

Datuk Abdullah Ya'kub berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor pada 28 Mei lalu, memaklumkan Mat Yusoff yang juga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Nenggiri sejak 2013, disahkan muflis.

"Sebelum ini penasihat undang-undang Negeri Kelantan juga menerima surat sama pada 21 Mei 2017 yang memaklumkan kebangkrapan Mat Yusoff yang juga ADUN Nenggiri (N43).

"Mengikut Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Kelantan menyatakan seseorang itu tidak layak menjadi ADUN jika muflis yang belum diselesaikan lagi.

"Dengan ini saya sebagai Speaker Kelantan mengisytiharkan Mat Yusoff tidak layak menjadi ADUN akibat muflis," katanya dalam sidang media di pejabatnya, 1 Jun lepas.

SPR dipersoal 20 pengundi India 'tinggal' di rumah Melayu

ARIF ATAN
Pakatan Harapan Perak membawa bantahan senarai pengundi mencurigakan kepada SPR

Tindakan Adun Hutan Melintang, S Kesavan mengusung tikar dan bantal ke pejabat SPR di Ipoh adalah simbolik kepada penegasan untuk tidak berganjak selagi bantahan berhubung senarai pengundi hantu enggan diterima SPR.

Pakatan Harapan Perak membawa bantahan senarai pengundi mencurigakan kepada SPR

Tindakan Adun Hutan Melintang, S Kesavan mengusung tikar dan bantal ke pejabat SPR di Ipoh adalah simbolik kepada penegasan untuk tidak berganjak selagi bantahan berhubung senarai pengundi hantu enggan diterima SPR.

Ahli jawatankuasa Amanah Perak, D.S. Nali Raja berkata, Pakatan Harapan negeri berkenaan menemui fakta mengejutkan apabila menyiasat lebih 3,000 pengundi baharu yang didaftarkan di Hutan Melintang hanya dalam tempoh dua bulan itu.

Hasil semakan, ujarnya, mendapati seramai 321 pemilih berketurunan India yang dibawa dari luar kawasan seperti Taiping dan Parit Buntar dikesan didaftarkan di Dun Hutan Melintang.

"Difahamkan hal ini berkaitan dengan kemungkinan BN mahu letak Ketua MIC Perak sebagai calon bertanding di Hutan Melintang.

"Kita juga ada kes pasangan warga emas Melayu yang sudah pun membuat laporan polis di Hutan Melintang apabila alamat rumahnya turut menjadi 'tempat tinggal' 20 pengundi India.

"Terdapat juga kes tiga, empat rumah Cina yang berkongsi alamat dengan pengundi India. Pelik, bukan?" ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Turut hadir di pejabat SPR Ipoh itu Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, Adun Buntong, S. Sivasubramaniam dan Adun Sungkai, A. Sivanesan.

Nali memberitahu sebanyak 2,300 nama pemilih meragukan yang diperoleh daripada senarai rang daftar pemilih tambahan (RDPT) telah dibawa kepada pihak SPR.

"Kita susun satu demi satu kes. Kita tiba di pejabat SPR pukul 2 petang bukan waktu pejabat tutup. Kerani SPR kata mereka tidak terima sebab tempoh bantahan sudah tamat.

"Kata kerani itu lagi, tanpa resit mereka boleh terima tapi kalau dengan resit mereka tidak terima.

"Masalahnya tanpa resit, alamatnya dia buang ke longkanglah," tegas Timbalan Biro Integrasi Amanah Perak itu.

Mengulas lanjut aksi Kesavan, beliau berkata, seorang pegawai SPR Perak pun enggan menemui wakil rakyat itu walaupun Kesavan 'berkampung' di pejabat tersebut sehingga pukul 7 petang.

"Semalam, kita sudah pun kumpul RM3,000 sedia untuk bayar kepada SPR tetapi seorang pegawai pun tak muncul," keluhnya.

Sehubungan itu, Nali berkata, pihaknya kecewa dengan sikap dan integriti SPR yang dilihat berat sebelah.

"Adakah SPR bekerja untuk kepentingan satu pihak saja? Sepatutnya, SPR berperanan adil sebagai badan bebas. Kami di pejabat SPR tidak berganjak walaupun kira-kira 50 anggota polis dan FRU datang jerit dari luar.

"Mulanya kami sampai di pejabat SPR pukul 2 petang, alasan diberi pegawai-pegawai kanan sedang bermesyuarat. Kalau misalnya, bangunan SPR itu terbakar, adakah mereka ini juga menghilangkan diri?" bidasnya.

Beliau juga mempersoal perbelanjaan besar SPR bagi kelengkapan perisian yang mencecah berbilion ringgit seperti pernah dimaklumkan di Parlimen.

"Sebenarnya tugas SPR untuk buat semakan dan siasatan senarai pemilih bukan tugas kita. Takkan, dalam tempoh empat tahun (selepas PRU-13), habis semua duit itu?

"SPR ada di situ juga. Kenapa tidak boleh siasat bersihkan daftar pemilih? Kenapa berlaku pemindahan pengundi dengan ketara begitu meragukan?

"Hak pengundi nampaknya dinafikan apabia maklumat mereka berisiko disalahguna," tambah Nali lagi.

Penduduk kampung ikat 2 pencuri kelapa pada pokok (Gambar)

Bernama


SITIAWAN: Dua lelaki menerima padah akibat mencuri kelapa, apabila orang kampung bertindak menangkap dan mengikat mereka pada sebatang pokok kelapa sebelum diserahkan kepada anggota polis di kawasan Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, beberapa orang kampung berjaya mencekup kedua-dua individu itu yang tidak menyedari pergerakan mereka memanjat pokok kelapa setinggi 5m diperhatikan seorang pemilik kedai runcit berhampiran sekolah berkenaan.

Bekas ketua kampung, Mohd Yaacob Hashim, 65, berkata sebaik menerima maklumat, beliau bersama 10 penduduk lain bergegas ke lokasi dan mendapati seorang daripada suspek sudah berada di dalam kereta Proton Wira, manakala seorang lagi mahu ke kedai berhampiran.

“Di dalam kereta itu terdapat beberapa tandan buah kelapa dan saya tidak pasti buah itu diambil di kampung ini sendiri atau tempat lain.

“Mereka mengaku mengambil kelapa itu dan kami terus menangkap dan mengikat kedua-duanya pada pokok kelapa menggunakan tali yang mereka guna untuk menurunkan kelapa dari pokok,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yaacob berkata, tujuan mengikat kedua-dua suspek berumur belasan tahun dan awal 30-an itu untuk memberi pengajaran kepada mereka.

“Kami ikat 2 lelaki itu sementara menunggu polis tiba dan tidak memukul atau mencederakan mereka kerana mahu pihak polis yang mengambil tindakan.

“Siapa sangka di bulan mulia ini, masih ada individu yang melakukan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.

Yaacob berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun merayu untuk dilepaskan sambil mengaku ia pertama kali dilakukan, namun semuanya terlambat dan kejadian itu perlu dijadikan pengajaran kepada individu lain.

Kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial termasuk Facebook.