"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib, Khalid berbalas serangan selepas bertemu di Cameron Highland

NASUHA RAHMAN

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berbalas serangan di laman facebook masing-masing selepas bertemu di Cameron Highland semalam.

Najib terlebih dahulu melakukan serangan terhadap Khalid dengan memuat naik status “oh, sebelah kiri saya ini tauke Harapan Coin. Hari itu terpegun naik MRT. Jangan dia terkejut Cameron ada strawberi sudahlah”.

Najib turut memuat naik gambarnya di dalam sebuah masjid di mana individu sebelah kirinnya adalah Khalid Samad dan di fahamkan gambar itu diambil ketika selesai solat Jumaat di sana.

Kemudian, beberapa jam selepas itu, Khalid pula memuatnaik statusnya di facebook yang turut meletakkan gambar yang sama. Statusnya itu sebagai membalas serangan Najib.

“Kenalkan sebelah kanan saya ni tauke 1MDB. Saja nak bagitau, baik jadi tauke Harapan Coin daripada jadi tauke 1MDB yang rembat duit rakyat,” tulis Khalid.

Kini, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland semakin rancak parti yang bertanding masing-masing bertungkus lumus menggerakan jentera mereka bagi memenangi hati pengundi. Berbagai-bagai cara berkempen digunakan parti yang bertanding.

Seorang ketua balai polis berpangkat ASP disiasat kerana mengugut pasangan suami-isteri

Polis sedang menyiasat seorang pegawai kanannya yang berpangkat ASP kerana didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap pasangan suami isteri di tepi jalan di Kampung Simee, di Ipoh Isnin lalu.

Menurut sumber pegawai berkenaan yang telah berkhidmat selama kira-kira tiga tahun di sebuah balai polis di Ipoh dan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29 tahun itu, didakwa telah mencekak leher baju seorang doktor dan cuba memukul isteri lelaki berkenaan yang merupakan seorang peguam.

Katanya, dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, pasangan itu sedang joging di tepi jalan itu sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam lalu di kawasan itu dipercayai dipandu pegawai polis itu secara merbahaya dan hampir melanggar suami isteri itu.

“Pengadu iaitu doktor berusia 34 tahun itu menjerit 'woi' kerana terkejut dan jeritan itu membuatkan pemandu kereta berhenti dan keluar daripada kereta dan terus mencekak leher baju lelaki terbabit dan berulang kali bertanyakan 'you (anda) kenal saya siapa?'.

"Pemandu itu juga memberi amaran akan mencari di mana rumah pasangan terbabit dan menurut mangsa ketika berhadapan dengan pemandu berkenaan, dia tercium bau alkohol serta mengesyaki lelaki itu dalam keadaan mabuk," katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Sumber berkata isteri doktor berkenaan membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit dan ia disedari pemandu itu yang kemudian bertindak meluru ke arah isteri mangsa seperti ingin memukulnya tetapi dapat dihalang doktor berkenaan.

"Doktor berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Simee, di Ipoh pada pukul 7.44 malam hari sama. Hasil semakan video daripada mangsa mendapati pemandu kereta berkenaan adalah seorang pegawai kanan polis yang juga ketua polis balai dan kereta dinaiki didaftar atas nama seorang wanita," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby, ketika dihubungi mengesahkan kes membabitkan ketua polis balai berumur 49 itu siasatan lanjut sedang dijalankan.
-Bernama

Ceroboh tanah Orang Asli: Putrajaya saman k’jaan Kelantan

Hafiz Yatim
Kerajaan Persekutuan atas arahan kabinet hari ini memfailkan saman sivil terhadap kerajaan negeri Kelantan kerana menceroboh tanah Orang Asli Temiar di negeri ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

"Buat pertama kalinya di negara ini, kerajaan pusat sedang melaksanakan prosiding undang-undang bagi pihak Orang Asli selaras dengan kewajipan perlembagaan dan undang-undang kerajaan persekutuan untuk melindungi dan mempromosikan kesejahteraan mereka.

"Walaupun perkara tanah dan perhutanan terletak di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, negara perlu melindungi kebajikan Orang Asli Temiar," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Thomas, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada beberapa syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan memandang serius pencerobohan tanah tersebut.

"Tindakan mereka menghalang Orang Asli Temiar daripada tanah dan sumber asli mereka, dan menyebabkan hakisan, pencemaran dan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap ekologi dan landskap Pos Simpor (di Gua Musang)," katanya.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, menamakan kerajaan negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, dan lima syarikat swasta sebagai pihak defendan.

Ia memohon perintah mahkamah untuk mengiktiraf hak tanah Orang Asli Temiar di Pos Simpor, dan injunksi untuk menghalang syarikat swasta daripada menceroboh dan memusnahkan tanah berkenaan untuk tujuan komersil.

Putrajaya akan mewakili masyarakat Orang Asli Temiar secara percuma.