"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM cekup 22 lagi penguat kuasa JPJ

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seramai 22 lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai terlibat dengan rasuah.

Kesemua suspek disyaki melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Mereka yang berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun, ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4.15 petang hari ini.

Kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu melebihi RM140,000.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut.

Rabu lepas, Mahkamah Majistret George Town mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar Pulau Pinang.

Orang ramai selamatkan pemandu Grab dicabul 2 penumpang warga Nepal

Predeep Nambiar


Dua lelaki warga Nepal yang diserang orang ramai bagi menyelamatkan seorang pemandu Grab wanita daripada dicabul.
GEORGE TOWN: Polis menahan 2 pekerja kilang warga Nepal semalam selepas didakwa mencabul seorang pemandu Grab wanita berusia 27 tahun dalam perjalanan mereka ke Bukit Mertajam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, 2 lelaki terbabit menaiki kereta Proton Saga milik wanita tersebut di stesen kereta api Bukit Mertajam untuk perjalanan ke sebuah kawasan perumahan di Juru.

Lelaki Nepal berkenaan duduk di kerusi belakang kereta itu.

Setengah perjalanan, lelaki yang berusia 23 tahun berpindah ke kerusi depan kenderaan tersebut berdekatan Jalan Song Ban Kheng.

Beliau kemudian memegang lengan pemandu dan mencium tangannya. Dia seterusnya menarik badan pemandu wanita itu ke arahnya dan menyentuh payu dara beliau.

Menurut pengadu, lelaki itu mencabul beliau 2 kali walaupun diberi amaran akan membawa mereka ke balai polis jika terus berbuat demikian.

Lelaki itu tidak mengendahkan amaran tersebut dan terus memeluknya.

Sewaktu insiden itu berlaku, rakan negaranya berusia 29 tahun yang duduk di kerusi belakang muntah.

Pemandu wanita itu yang panik memberhentikan keretanya di luar Masjid Lebai Tahir di Jalan Bukit Minyak, lalu keluar untuk meminta pertolongan.

Sekumpulan lelaki yang berada berhampiran mendekati 2 lelaki itu dan mula menyerang mereka.

Video kejadian dirakam oleh orang awam yang menunjukkan 2 lelaki warga Nepal terbaring separuh sedar dalam keadaan berdarah di tepi jalan.

Mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Kesiksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat mencabul kehormatannya.

Beliau berkata, 2 lelaki itu ditahan di bawah undang-undang imigresen selama 14 hari sementara menunggu pengesahan dokumen perjalanan mereka.

Polis juga menunggu laporan perubatan sama ada mereka meminum alkohol atau khayal kerana dadah.

Dua syarikat arak jadi 'kesayangan' kastam?

B Nantha Kumar

Mulai 1 April 2017, kerajaan menguatkuasakan Pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 agar pengimport minuman keras dan rokok mengemukakan lesen import semasa membuat pengisytiharan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pindaan tersebut digubal untuk menangani sindiket yang menjalankan modus operandi penyeludupan dari zon bebas cukai tanpa proses kelulusan kastam.

Bagaimanapun pindaan itu menyaksikan banyak syarikat diberi lesen import oleh JKDM dan didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menyeludup masuk alkohol dan rokok ke negara ini.

"Secara amnya, pelaksanaan mahupun pindaan sebarang akta dan undang-undang adalah bagi tujuan memperketatkan atau memperkemaskan sistem pentadbiran yang sedia ada.

"Tapi dalam kes ini (pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017) penyeludupan rokok dan alkohol menjadi lebih mudah," kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Katanya, sebelum pindaan dibuat, jumlah syarikat mengimport minuman keras hanya dalam lingkungan 50 syarikat sahaja tetapi kini meningkat sehingga 500 syarikat.

"Kesemua syarikat ini mendapat lesen import daripada JKDM.

"Dengan penambahan 500 syarikat ini pendapatan negara sepatutnya meningkat sekurang-kurangnya lima kali ganda.

"Tapi laporan menunjukkan pendapatan negara melalui bayaran duti import tidak begitu memberangsangkan. Jadi kenapa 500 syarikat ini diberi lesen oleh JKDM?" soal sumber berkenaan.

Sumber tersebut juga mendedahkan maklumat mengenai dua syarikat yang didakwanya sebagai 'syarikat kesayangan' JKDM.

Penemuan Malaysiakini mendapati pemilik syarikat pertama yang mendapat lesen import arak pada Mei 2017 dipercayai merupakan 'orang kuat' kepada salah seorang pemimpin tertinggi semasa pentadbiran kerajaan BN.

Carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan syarikat itu beralamat di bandar Sunway, namun pemeriksaan di premis itu oleh Malaysiakini mendapati pejabat syarikat berkenaan tidak wujud.

Dengan menggunakan dokumen-dokumen palsu, syarikat itu dikatakan mengaut keuntungan antara RM5 juta hingga RM7 juta setiap bulan.

Lesen tamat tapi masih import arak

Lebih mengejutkan, syarikat itu masih beroperasi walaupun Ketua Pengarah JKDM, Paddy Abd Halim mengesahkan lesen import syarikat itu dibatalkan pada Ogos 2018 selepas dikesan disalahgunakan bagi tujuan penyeludupan arak.

Pada 13 Disember lalu, dokumen "Intergrated Import Document" (IID) yang diluluskan oleh kastam di Pelabuhan Klang Utara menunjukkan syarikat tersebut masih membawa masuk alkohol import dari pelabuhan Shanghai.

Butiran dokumen itu menunjukkan syarikat tersebut sebagai "consignee" atau penerima barangan import 24 palet bir.

Bagaimanapun difahamkan barangan itu ditahan oleh JKDM kerana kesalahan tidak membayar cukai import.

Anehnya, tiada sebarang tindakan diambil oleh JKDM terhadap syarikat terbabit dan menimbulkan persoalan bagaimana sebuah syarikat yang ditamatkan lesen masih boleh beroperasi?

Ketika dihubungi kemudian, seorang bekas pegawai tertinggi JKDM mengakui masih terdapat pegawai-pegawai jabatan itu terlibat dengan amalan rasuah.

"Kebanyakan kes-kes tertangkap ini melibatkan pegawai-pegawai tidak terima rasuah. Namun tetap tiada tindakan selepas pegawai-pegawai ini dipaksa berundur daripada kes-kes ini oleh arahan dari 'atas'," dakwanya.

Lesen diberikan sehingga setahun

Sementara itu, JKDM turut memberi lesen kepada sebuah lagi syarikat beralamat di Brickfields dengan jumlah kuantiti untuk mengimport arak sebanyak 230 juta liter.

Selain memegang rekod pengimport minuman alkohol terbesar di Malaysia, syarikat itu juga dikatakan mempunyai tempoh lesen 'istimewa' iaitu selama setahun.

Dokumen-dokumen JKDM yang dipanjangkan kepada Malaysiakini menunjukkan syarikat itu diberi lesen import dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019.

Sehingga kini syarikat itu membawa masuk antara 60 hingga 70 kontena minuman keras ke Malaysia dan diberi kebenaran khas oleh JKDM untuk mengimport hampir semua jenama minuman beralkohol.

Ini termasuk jenama-jenama yang diberikan hak ekslusif kepada syarikat-syarikat tempatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beberapa wakil syarikat pengimport minuman keras terbesar berkata mereka hanya dibenarkan mengimport dengan kuantiti jauh lebih kecil berbanding syarikat terbabit.

"Kami antara syarikat bir terbesar di dunia masih diberi tempoh kelulusan tiga bulan sahaja. Kuantiti pun dalam 300,000 hingga 400,000 liter sahaja.

"Kita tak boleh salahkan pengarah syarikat ini. Tapi mesti ada sesuatu (tak kena) di pihak Jabatan Kastam," kata seorang pengarah sebuah syarikat bir yang beroperasi di Selangor.

Batal lesen masih boleh beroperasi

Sementara itu, Paddy ketika dihubungi berkata beliau tidak boleh memberi sebarang komen berkaitan isu mengenai syarikat berkenaan secara spesifik.

"Maaf, saya tidak mampu bantu kamu. Saya tidak berhak memberi sebarang komen terhadap syarikat-syarikat tertentu," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu sesetengah syarikat yang dibatalkan lesen import masih boleh beroperasi.

"Batal lesen bermakna tidak boleh import. Bukan tak boleh operasi. Syarikat mungkin ada stok lama, buat perniagaan lain," jelasnya.

Namun, beliau tidak menjelaskan kenapa masih tiada tindakan diambil terhadap syarikat yang dibuktikan menyalahgunakan lesen import dan terlibat dalam kes penyeludupan.