"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin anjur majlis kesyukuran, Anwar buat majlis selawat

Haspaizi Zain & Alyaa Alhadjri

Ketika pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali hangat diperkatakan, kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan dua majlis agama berasingan pada hari yang sama dan waktu yang hampir sama, Ahad ini.

Azmin Ahad ini akan mengadakan majlis kesyukuran di kediaman rasmi menteri besar Selangor, sementara di kediaman Anwar Ibrahim pula dijangka akan berlangsung majlis pelancaran zikir dan selawat.

Rencana penganjuran kedua-dua majlis itu hadir ketika isu klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin menyebabkan pergolakan dalaman PKR yang memecahkan parti itu kepada dua kumpulan antara kem presiden parti dan kem timbalan presiden parti.

Bagaimanapun, ketika dihubungi untuk pengesahan, seorang pegawai kanan Anwar mendakwa program yang diadakan di rumah presiden PKR itu hanya "program biasa" dan tiada kaitan dengan kemelut yang sedang melanda parti itu.

"Betul, ini majlis biasa setiap Ahad di rumah bos (Anwar)," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Alam Shah, Syed Amru Syed Abdullah yang mengelola majlis di rumah Anwar menjelaskan bahawa program itu telah diadakan sejak sekian lama.

"Majlis memang sudah lama dianjurkan setiap Ahad malam Isnin sudah berbulan-bulan. Kita pun ada buat penerangan dalam Facebook.

"Tak ada kena-mengena langsung dengan apa-apa yang berlaku sekarang, majlis ilmu terbuka untuk semua," katanya.

Antara pengisian program di rumah Anwar yang dinyatakan pada poster ialah bacaan Yassin dan solat hajat.

Terdahulu, pembantu kepada Menteri Besar Selangor, yang mengesahkan jemputan majlis kesyukuran Azmin memaklumkan program di kediaman rasmi Menteri Besar Selangot dianjurkan oleh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

"Seluruh pimpinan dan anggota, serta semua rakyat yang menolak fitnah dipersilakan dan dijemput hadir bersama," kata jemputan program itu.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan jika acara itu diadakan sempena perkembangan siasatan polis berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Pada 17 Julai lalu, ketika mengulas isu klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin, Anwar berkata menteri hal ehwal ekonomi itu wajar meletakkan jawatan sekiranya terbukti terbabit dengan klip video seks berkenaan.

Membalas kenyataan Anwar, Azmin yang juga anggota parlimen Gombak meminta Anwar "melihat cermin" dan "bermuhasabah".

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan klip video seks sejenis itu adalah tulen berdasarkan hasil analisis CyeberSecurity.

Abdul Hamid bagaimanapun menambah bahawa hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

Abdul Hamid juga menyatakan bahawa penghasilan video berkenaan didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik dan individu yang terbabit dengan penghasilan klip video berkenaan menerima upah ratusan ribu ringgit.

Setakat ini, polis telah menahan lapan individu berhubung dengan sisatan video itu, termasuk Haziq dan pembantu politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Haziq sebelum ini mendakwa klip video itu dirakamkan di bilik hotel Azmin di Sandakan, Sabah, dua bulan lalu.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan klip video itu sebagai plot jahat untuk merosakkan kerjaya politiknya.

Polis tangkap 4 remaja susulan kes pijak al-Quran

Polis menahan empat remaja perempuan berhubung siasatan salah seorang daripada mereka memijak al-Quran, yang tular di alam maya.

Keempat-empat suspek berusia antara 17 hingga 18 tahun itu ditahan di sekitar daerah Kusial, Tanah Merah sejak 2 pagi tadi, lapor Berita Harian.

“Susulan laporan itu, operasi dijalankan dan polis menahan empat suspek perempuan termasuk yang memijak al-Quran dan perakam video dalam operasi di sekitar daerah ini.

“Mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” Timbalan Ketua Polis Kelantan Azmi Abu Kassim dilapor sebagai berkata ketika dihubung.

Penahanan itu susulan laporan kakak salah seorang suspek yang melihat video yang itu, katanya lagi.

Ditanya sama ada seorang remaja itu dipaksa bersumpah dengan memijak al-Quran itu, Azmi berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Mahkamah membenarkan suspek direman tiga hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Menerusi rakaman tular itu, seorang remaja perempuan bertudung dilihat memijak senaskah al-Quran dan mengaku berzina.

Remaja perempuan berkenaan berdiri berhampiran dengan sebuah motosikal sambil memijak al-Quran dan berkata "sumpah dia buat aku”.

Perbuatan itu dibuat sambil disaksikan tiga lagi rakannya termasuk individu yang merakam video berkenaan.

Dalam paparan video berkenaan, kelihatan rakannya mendesak apakah perbuatannya bersumpah mengaku berzina itu adalah betul.

Rakan kepada remaja berkenaan yang merakam video berkenaan mendesaknya supaya mengulangi perbuatan itu, namun dia enggan.

Selesai bersumpuh, salah seorang rakannya menghulurkan "air tawar" ataupun air yang dibacakan dengan ayat suci al-Quran.

Video berkenaan yang tular di media sosial mendapat kecaman daripada netizen.

Remaja berkenaan menafikan yang dia telah melakukan persetubuhan dan mengaku melakukan perbuatan memijak al-Quran kerana bimbang ancaman keselamatan.

Pergeseran Anwar - Azmin bolah musnahkan PH - Ku Li

Kow Gah Chie

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) berpecah.

"Ia mungkin. Tetapi bergantung sama ada Anwar atau Azmin memiliki sokongan (yang cukup).

"Berdasarkan apa yang kita baca di media sosial, seperti ada perpecahan dalam parti. Mari berharap kestabilan akan kekal," katanya yang juga anggota parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak tahu sama ada pembangkang akan menang dalam PRU akan datang.

"Tetapi jika kita ada bilangan (kerusi parlimen yang cukup), mengapa tidak?" katanya.

Beliau yakin Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi PH tahu ke mana hala tuju gabungan itu pada masa ini.

Terdahulu, sejumlah 27 pemimpin dan anggota parlimen PKR menyatakan sokongan kepada Azmin dan berkata Anwar selaku presiden perlu segera menyatupadukan parti.

Tengku Razaleigh berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sama ada seseorang pemimpin itu memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

"Anda boleh kata ada sokongan tetapi terpulang kepada Agong untuk menentukan sama ada seseorang itu ada majoriti atau tidak," katanya.

Dalam respons segeranya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin setuju bahawa pergeseran antara Anwar dan Azmin tidak baik untuk PH.

"Saya tak mahu beri nasihat kerana mereka kawan dan saudara saya dalam PH.

"Tentulah kita sentiasa mendoakan ini akan berakhir tak lama lagi. Isu ini tidak baik untuk kita, bukan saja untuk PH tetapi untuk kerajaan dan rakyat Malaysia," katanya yang juga timbalan presiden PH.

Beliau bagaimanapun tidak setuju bahawa PH akan musnah jika pergeseran itu berterusan.

"Saya tidak terlalu pesimis dalam perkara ini. Harapnya ia akan reda," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Saya tak tahu nak kata apa lagi, hanya (boleh) doa," katanya lagi.