"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jambatan runtuh angkara pemandu lori elak SJR

FMT Reporters

Lori membawa muatan batu dan pasir itu menyebabkan jambatan berkenaan runtuh kerana terlebih ketinggian dan had muatan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Lima kampung terjejas gara-gara seorang pemandu lori yang mahu mengelak sekatan jalan raya (SJR) memandu kenderaannya melintasi jambatan Kampung Nyor Kembar, Bachok, sehingga menyebabkannya runtuh.

Kejadian itu turut mengakibatkan bekalan air tiga kampung terbabit terputus apabila kemalangan berkenaan menyebabkan paip air di bawah jambatan berkenaan pecah, menurut laporan Harian Metro.

Dalam kejadian jam 6.20 petang semalam, pemandu lelaki berusia 24 tahun itu dilaporkan cuba mengelak SJR di Kampung Padang Melintang, sebelum masuk ke laluan tikus menghala jambatan berkenaan.

Lori membawa muatan batu dan pasir itu menyebabkan jambatan berkenaan runtuh kerana terlebih ketinggian dan had muatan.

Penghulu Mukim Tanjung Jering, Mohamed Nasir Yusoff berkata, jambatan itu hanya boleh dilalui kenderaan berketinggian tidak lebih 2.5m dan had muatan satu tan sahaja.

Katanya, pemandu lori itu dipercayai membawa lebih 10 tan muatan itu tetap cuba menyeberangi jambatan itu.

Akibatnya, jambatan berusia lebih 30 tahun yang menjadi laluan kepada Kampung Tanjung Jering, Tanjung Jenera, Pengkalan Stol, Sri Sentosa, Gong Mundu dan Nyor Kembar terputus hubungan dengan jalan besar.

“Selain itu, Tanjung Jering, Sri Sentosa dan Nyor Kembar turut terjejas apabila paip air bawah jambatan itu pecah kerana paip itulah bekalan utama air ke situ.

“Ini menyebabkan 200 keluarga ketiadaan air sejak petang semalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Mohamed Nasir berkata, jambatan itu adalah laluan utama penduduk untuk ke jalan besar atau ke Pasar Beris Kubur Besar atau Masjid Mukim Tanjung Jering.

Katanya, kerana tindakan tidak bertanggungjawab pemandu itu, penduduk terpaksa menggunakan laluan lain yang mengambil masa lebih 20 minit dan jauh untuk ke jalan besar berbanding hanya 10 minit melalui jambatan dengan jarak hanya 1.5km.

Bagi Abdullah Zakaria, 59, dari Kampung Sri Sentosa, dia terpaksa mengeluarkan wang bagi membeli bekalan air selepas terputus bekalan petang semalam.

Katanya, keadaan itu menyukarkan dia dan enam beranak lain yang tinggal bersama selain terpaksa mandi di masjid.

“Saya harap keadaan ini dapat diperbaiki segera kerana sukar untuk kami bergerak membeli air tambahan pula sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan pemandu lori itu selamat dalam insiden itu.

Katanya, siasatan awal mendapati, lesen serta semua dokumen perjalanan pemandu lori berkenaan adalah sah dan tidak melanggar apa-apa undang-undang selain tiada rekod jenayah.

“Lori berkenaan berjaya dialihkan jam 8 malam dan kita sedang menyiasat punca kenapa pemandu lori melalui jambatan itu,” katanya.

Beliau berkata, jambatan berkenaan ditutup dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan sehingga dibaikpulih dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

10 ditahan bawah Ordinan Darurat sebar berita tak benar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sepuluh orang ditahan dan 21 kertas siasatan dibuka di bawah Ordinan Darurat yang berkuat kuasa 12 Mac lalu ke atas penghasilan dan penularan berita tidak benar berkaitan Covid-19 atau perisytiharan darurat.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tiga daripada individu itu akan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021, manakala tujuh lagi dibebaskan dengan jaminan polis sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen.

Katanya, Ordinan Darurat memberi kuasa kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menahan tanpa waran individu atau pertubuhan yang cuba menyebarkan berita tidak benar, khasnya di media sosial.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,00 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

Acryl Sani menasihatkan orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan berhati-hati ketika berkongsi penerbitan mengandungi berita tidak benar berhubung langkah kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Beliau turut memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja menyebarkan berita tidak benar. 

16 pesawat tentera China 'ceroboh' ruang udara Malaysia

Malaysiakini 

Penerbangan mencurigakan 16 pesawat tentera udara China dikesan di ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu semalam, lapor Bernama.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dipetik berkata insiden pesawat tentera udara China masuk ruang udara negara merupakan perkara serius kepada ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.

Insiden kemasukan pesawat tentera China itu berlaku menjelang Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-63 yang disambut hari ini.

Menurut Ackbal pesawat China telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura sebelum memasuki ruang udara negara serta Kota Kinabalu.

“Mereka seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

“Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,” katanya.

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu, jelasnya.

Apabila arahan berkenaan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional, TUDM kata Ackbal melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 petang untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara dalam laluan penerbangan (Airways) di Kota Kinabalu,” katanya.

Kata Ackbal lagi insiden tersebut telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

Kementerian Pertahanan juga telah memaklumkan insiden itu kepada Kementerian Luar Negeri.

Pada tahun lalu, kapal pasukan pengawal pantai China masuk ke perairan yang dituntut Malaysia.