"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Formula PAS hanya menyulitkan Umno dan Bersatu'

N Faizal Ghazali

Dilihat berada dalam keadaan tersepit di antara kerjasama dengan Umno atau Bersatu, formula PAS untuk "menyokong penyandang" jika berlaku pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan dijangka hanya akan menyulitkan keadaan.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali malah berpendapat, pendekatan PAS itu turut dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan antara parti-parti berkenaan yang memang tegang.

Pada masa sama, menurutnya, langkah "menyokong penyandang" itu antara sebenarnya akan memberi kelebihan kepada Umno secara langsung.

"Jika berlaku pertembungan Umno dan Bersatu, sokong penyandang ini maksudnya Umnolah yang ada kelebihan, sebab Umno kerusinya lebih banyak yang dimenangi berbanding Bersatu.

"Kawasan yang Bersatu menang pula adalah kawasan yang dikuasai PH (Pakatan Harapan), dan PAS tiada peranan sangat dalam kawasan-kawasan terbabit," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akan memberi sokongan kepada calon penyandang sekiranya berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) di Melaka.

Kena buat keputusan segera

Bagaimanapun setakat ini belum ada keputusan sama ada PRN tersebut akan berlangsung dalam tempoh terdekat atau tidak susulan situasi pandemik Covid-19.

Mazlan yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sudah pasti formula "sokong penyandang" akan mengecewakan Bersatu saja berdasarkan situasi semasa kerana Umno mempunyai kelebihan.

Jelasnya, jika berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu di kawasan yang sudah dimenangi Umno sebelum ini ia pasti akan memberi kelebihan besar kepada Umno apabila parti itu mendapat sokongan tambahan daripada PAS.

"Situasi itu sudah tentu akan menjadikan Umno lebih kuat, di sinilah akan memberi kesan hubungan kepada ketiga-tiga parti tersebut," katanya.

Menurut Mazlan, walaupun PAS - yang menjadi parti komponen PN - mahu menjadi pendamai agar Umno dan Bersatu bekerjasama, hakikatnya Umno kelihatan enggan menerima inisiatif tersebut.

"Perkara itu sudah ditegaskan pimpinan Umno termasuk membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini," ujarnya.

Sehubungan itu tambah Mazlan formula yang diambil PAS itu dilihat akan lebih menyulitkan keadaan.

Menurut Mazlan PAS sepatutnya membuat keputusan sama ada mahu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau dengan Bersatu dalam PN.

"PAS kena buat keputusan segera kerana semua parti mahu buat persediaan, nak bahagi kerusi dan strategi. Kalau PAS tak buat keputusan ia akan menimbulkan masalah kepada mereka sendiri," katanya.

CEO LHDN ditamatkan kontrak: Apakah Najib bakal terlepas bayar cukai RM1.7 bilion?

 NASUHA RAHMAN

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar tidak menolak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal terlepas daripada membayar cukai RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini kerana katanya, kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Sabin Samitah yang kini sedang mempertahankan kes tuntutan cukai itu akan berakhir esok.

“Saya sangat terkejut kontrak beliau ditamatkan padahal Disember 2020 Menteri Kewangan Tengku Zafrul telah menyambung kontrak beliau selama dua tahun dan berakhir pada Disember 2022.

“Esok lembaga pengarah LHDN akan membuat pengumuman berkenaan perkara tersebut,” kata beliau.

Daripada sumber dalaman LHDN, menurut Mahfuz Sabin adalah seorang yang jujur dalam mempertahan kes tuntutan mendapatkan semula RM1.7 bilion yang dilarikan oleh Ahli Parlimen Pekan itu.

“Melalui sumber dalaman, beliau sangat tegas untuk tidak bertolak ansur dalam kes Najib.

“Kalau ini perkara benar seperti yang diperkatakan sumber, ini satu amat malang kepada kita kerana kita akan kehilangan CEO yang boleh mendapat kembali hasil negara melalui cukai yang dilarikan oleh seorang bekas perdana menteri,” katanya.

Beliau bimbang, apabila CEO yang baru dilantik nanti dan membuat keputusan sebaliknya sudah tentu berkemungkinan Najib terlepas daripada membayar kepada LHDN.

Katanya negara akan hilang hasil negara yang boleh dimanfaatkan kepada rakyat negara ini.

Justeru Mahfuz meminta menteri kewangan jelaskan kenapa CEO ini ditamatkan kontrak padahal Zafrul yang melanjutkan kontrak Sabin.

“Malang rakyat negara ini orang yang larikan cukai mungkin bakal terlepas membayar cukai, sedih apa yang berlaku, negara ini sudah kembali ke kleptokrat semula.

“Jelas kerajaan Ismail adalah legasi kepimpinan kerajaan gagal Mahiaddin.

“Saya harapkan CEO yang baru mampu mempertahankan keputusan dan tidak berganjak daripada untuk bersekongkol menggugurkan kes rayuan Najib,” katanya.

Pelajar Tingkatan 2 terkejut video seks muncul ketika peperiksaan maya

Jason Thomas

Pelajar yang menduduki satu peperiksaan menerusi Google Meet terkejut apabila video seks tiba-tiba ditayangkan di skrin mereka.

PETALING JAYA: Pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur terkejut ketika mereka menduduki satu peperiksaan semalam – satu video seks eksplisit mula ditayangkan di skrin mereka.

Dua ibu bapa yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, kejadian itu berlaku ketika pelajar sedang mengambil kehadiran sebelum peperiksaan reka bentuk dan teknologi (RBT) diadakan melalui platform sidang video Google Meet.

Mereka berkata, guru terbabit segera mengarahkan pelajar untuk meninggalkan kelas maya, dengan peperiksaan kemudiannya dijalankan menggunakan borang dalam talian.

Kesal dengan kejadian itu, mereka berkata, pelajar atau guru itu nampaknya tidak tahu siapa yang berkongsi video berkenaan dalam kumpulan terbabit.

Ibu bapa itu berkata, ini hanya boleh dilakukan seseorang yang mempunyai kemampuan sebagai hos. Tidak diketahui bagaimana individu terbabit mendapat akses ke kelas maya itu.

“Kami tidak pasti bagaimana ini boleh berlaku. Kami fikir kelas (dalam Google Meet) mungkin telah digodam,” kata seorang ibu bapa.

“Beberapa ibu bapa dalam kumpulan sembang WhatsApp kami menyarankan mereka yang mempunyai tangkap layar video itu membuat laporan polis.”

Tentunya kumpulan sembang WhatsApp ibu bapa itu hangat membincangkan kejadian berkenaan.

Dalam tangkap layar perbualan dalam kumpulan itu yang dilihat FMT, seorang ibu bapa berkata, video itu adalah “kes besar” di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Akhlak anak-anak kami sedang dirosakkan.

“Saya berharap guru akan membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika ada bukti ia membabitkan pelajar, mereka tidak sepatutnya dibiarkan.”

Seorang ibu bapa meminta guru – yang merupakan pentadbir kelas maya – menyaring secara terperinci mereka yang hadir. Ibu bapa lain menyarankan ibu bapa dibenarkan menemani anak mereka dalam sesi akan datang.

FMT menerima rakaman suara didakwa daripada seorang guru sekolah itu kepada pelajar Tingkatan 2 mengenai “kekecohan” ketika peperiksaan.

Guru itu mendakwa masalah terbabit berpunca daripada pelajar berkongsi pautan kelas Google Meet dengan pelajar lain.

“Tolong jangan menyebarkan pautan Google Meet kepada orang lain yang bukan dari kelas anda.

“Kami akan mengambil tindakan…Guru disiplin dan saya sedang mencari individu yang menggunakan pautan itu untuk memasuki kelas kerana kami mempunyai (hak pentadbir) dan boleh mengesan siapa yang masuk dan keluar dari kelas.”

Seorang guru yang dihubungi FMT mengesahkan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

FMT turut menghubungi pengetua sekolah terbabit.

FMT tidak mendedahkan nama sekolah itu sementara menunggu komen rasmi pihak berkuasa sekolah. Panggilan ke nombor pejabat sekolah terbabit tidak dijawab.