"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kapal Heliza Helmi diserang Israel, dilempar cecair putih

NUR AL-FAIRUZA SYARFA NOR SAIDI
MESKI kapal dinaiki diserang Israel, Heliza sentiasa percaya dengan kuasa Allah dan tetap nekad meneruskan pelayaran ke Gaza.
PETALING JAYA – “Israel datang dengan bot besar dan lemparkan cecair warna putih.”

Demikian perkongsian penyanyi Heliza Helmi memaklumkan Israel menghampiri bot dinaiki mereka sebelum melempar cecair dipercayai untuk menyekat perjalanan mereka ke Gaza, Palestin.

Meskipun dikelung dengan bot besar, Heliza atau nama lengkapnya Nur Heliza Helmi, 39, menegaskan dia sentiasa yakin dengan kuasa Allah SWT yang lebih hebat.

“Tolong rakam, takut saya tak sempat buat hantaran. Israel datang dengan bot besar dan lemparkan cecair warna putih sehingga bot kami bergegar dan licin.

“Kami punya kapal sangat licin macam nak tenggelam pun ada dan mata pedih.

“Bot mereka memang sangat besar tapi kita ada Allah Maha Besar,” katanya dalam sebuah siaran langsung.

Pada masa sama, Heliza turut memuji keberanian kapten botnya yang tidak henti-henti menyarankan untuk merakam detik-detik dihampiri kapal Israel bagi menjadi bahan bukti kekejaman mereka.

“Kapten ini memang sangat bagus. Kalau ikutkan kena buang telefon terus, tapi dia suruh rakam videi dan tunjuk kejahatan mereka.

“Dia memang ada jiwa besar selalu cakap ‘Jom ke Gaza’. Kapten memang kuat semangat, Allah bagi. Dia berani betul,” ujarnya.

Setakat ini, Kapal Alma yang membawa tiga rakyat Malaysia iaitu Sul Aidil Sudi, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dan Iylia Balqis Suhaimi ditangkap tentera Israel.

Selain Heliza, delegasi dari Malaysia yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai penyanyi Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Ardell Aryana serta pempengaruh, Farah Lee. – KOSMO! ONLINE

Murid Tahun 4 meninggal dunia di sekolah

Ahmad Hasbi

SEREMBAN: Murid tahun empat ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Senawang, jam 1 tengah hari hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.19 tengah hari sebelum pasukannya ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak ini meninggalkan kelas pada jam 12.10 tengah hari. Murid ini ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah itu.

“Mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut namun disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai punca dan kronologi kejadian, Alzafny berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan dalam masa sama memberi tumpuan penuh terhadap emosi murid serta guru di sekolah terbabit.

“Jadi mulai esok intervensi ini akan dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua kaunselor kita di peringkat Negeri Sembilan untuk turun dan lihat.

“Kita juga mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya Pusat Kesihatan Mental untuk memberikan tumpuan kepada intervensi ini yang akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya ketika ditemui di Seremban.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang atau takut untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah kerana sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, beliau juga turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan turut memohon pihak keluarga kanak-kanak terbabit diberi privasi serta ruang.

“KPM merakamkan takziah dan rasa sedih kita atas kejadian ini. Kita di peringkat KPM memberikan sepenuh sokongan kepada keluarga ketika ini dari segi sudut emosi dan psikososial,” katanya.

Sumud Flotilla: SNCC terputus hubungan dengan 10 sukarelawan Malaysia

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Paparan terkini menunjukkan senarai sukarelawan Malaysia yang terputus hubungan dengan SNCC sebentar tadi.
SEPANG- Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengeluarkan laporan telah terputus hubungan dengan 10 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika dalam pelayaran memasuki zon merah 2 sebentar tadi.

Berdasarkan pemerhatian Kosmo! pada paparan sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara pada pukul 2.30 pagi tadi mendapati lima kapal dinaiki sukarelawan telah terputus hubungan.

Antara kapal terbabit melibatkan Alma yang turut dinaiki tiga sukarelawan Malaysia selain Huga, Mikeno, Inana dan Sirius.

Difahamkan, antara sukarelawan lain yang berada dalam kapal terlibat ialah penyanyi Zizi Kirana dan aktivis Muaz Zainal. – KOSMO! ONLINE