"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PEMIKIR UMNO YANG TIDAK BOLEH BERFIKIR?


Kerajaan PR Selangor telah menggantung 1 tahun seorang `Tokoh Pemikir Umno' di Selangor iaitu Mantan MB Selangor dari menghadiri Persidangan Dun N. Selangor. Di antara kesalahannya adalahnya beliau tidak menghadiri perintah untuk hadir di dalam siasatan Selcat yang diwujudkan oleh dewan negeri tersebut bagi menyiasat beberapa kes penyelewengan di Selangor. Keengganan beliau untuk hadir di dalam siasatan tersebut menyebabkan beliau terlepas peluang untuk membersihkan nama dan imejnya yang kini dipandang buruk oleh rakyat Selangor khususnya.

Siasatan Selcet yang telah dilakukan secara terbuka serta disiarkan di dalam media internet, seharusnya diambil peluang oleh calon Ketua Pemuda umno yang kalah itu bagi membersihkan dirinya dari segala najis-najis kekotoran salah laku yang sering diperkatakan kepada beliau sewaktu beliau menjadi MB Selangor. Malang sekali, yang bersalah seringnya akan takut kepada bayang-bayang sendiri. Beliau memberi alasan untuk tidak hadir adalah kerana siasatan Selcet yang ditubuhkan oleh Dun Selangor itu adalah semata-mata bertujuan politik. Saya tidak faham, mengapa seorang Pemikir Umno terlalu jahil sedemikian rupa? Memanglah politik adalah asas kepada pemerintahan mana-mana kerajaan. Dewan itu sendiri adalah lambang kepada politik berdemokrasi dan semua pemimpin kerajaan serta dasar-dasarnya adalah dasar yang diluluskan oleh dewan iaitu oleh orang-orang politik belaka.

Apakah apabila kerajaan ingin menyiasat seseorang atas tuduhan salah laku maka itu semua dianggap politik belaka? Politik akan menjadi bersih jika dilaksanakan secara bersih tetapi tetap menjadi hina dan buruk jika orang politik menyalahgunakan kuasa politik mereka. Khir Toyo sewaktu menjadi MB Selangor adalah juga pemimpin politik, jika beliau tidak melakukan amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran wang rakyat seperti melancong ke tempat Mickey Mouse atau sebagainya, maka sudah tentu beliau seorang pemimpin politik yang bersih. Tolong sebutkan di mana pengurusan dan pentadbiran kerajaan samada di Selangor mahupun Persekutuan yang tidak langsung terbabit dengan dasar politik pemerintah?

Persoalan rakyat sekarang mengapa terlalu kecut benar beliau dengan Selcat ini? Saya rasa jika beliau bersalah pun, Selcat tidak akan memenjarakan beliau seperti tahanan Akta ISA tanpa diberi peluang membela diri. Lihatlah sendiri mereka yang telah hadir di dalam siasatan tersebut, apakah sekarang mereka terpenjara tanpa bicara? Selaku seorang Pemikir Umno, saya tidak percaya beliau begitu dangkal pemikirannya. Jika benar beliau jahil tentang politik, saya rasa Pemuda Umno telah melakukan tindakan bijak apabila tidak memilihnya sebagai Ketua Pemuda Umno. Sekarang baru saya mengerti mengapa Najib tidak memilihnya mengetuai Perhubungan Umno Negeri selangor.

Saya dan mungkin ramai rakyat di Selangor tentunya kecewa apabila Khir Toyo gagal untuk memberanikan diri di dalam siasatan tersebut. Saya terlalu ingin melihat imej Khir Toyo dapat dibersihkan sebersih-bersihnya kerana sebelum ini saya anggap Khir Toyo memang `bersih' apatah lagi beliau terlalu mengambil berat tentang rakyat bahkan mengambil berat tentang `lembu yang terkorban' di Selangor baru-baru ini. 



WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: