"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Benarkah Ahli Umno Jijik Dengan Arak ?

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Hampir 200 ahli UMNO berhimpun di hadapan pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam
(MBSA) bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan itu merampas minuman keras di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini pada 29 Julai lalu.

Dalam perhimpunan yang bermula pukul 3 petang itu, kesemua mereka turut mengutuk tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan MBSA memulangkan semula 70 tin dan botol minuman keras kepada kedai serbaneka terbabit serta membenarkan penjualan minuman tersebut kepada penduduk di situ yang majoritinya adalah penganut Islam.

Kesemua penyokong Umno tersebut turut membawa beberapa sepanduk yang antaranya tertulis 'Ajar Ronnie dengan ISA'; 'Pakatan Rakyat Halalkan Arak' dan 'Pas Dulu Takbir, Sekarang Take Beer (ambil arak)'.

"Kami mengutuk tindakan Ronnie menghalang dan memaksa MBSA memulangkan semula arak berkenaan selain mengatakan bir bukan minuman keras adalah satu kenyataan yang dangkal, bodoh serta tidak bertanggungjawab," kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Shah Alam, Azhari Shaari selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Nor.

Tambah Azhari, kenyataan Ronnie itu juga satu bentuk penghinaan kepada umat Islam kerana arak tidak kira berapa kandungan alkoholnya adalah haram dan ia dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran serta difatwakan oleh Majlis Fatwa Selangor dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Secara peribadi saya merasa simpati kepada saudara-saudara kita dalam Umno tersebut. Mengapa ? Saya yakin dan percaya mereka tidak tahu apa yang mereka buat . Mereka membantah hanya kerana ingin membantah dan kerana kepentingan politik yang sempit. Memandangkan isu ini melibatkan Pakatan Rakyat , Umno mengambil peluang menjaja isu ini tanpa memahami isu ini dengan betul. Inilah perangai Umno. Semasa isu babi dahulu mereka mainkan isu itu macam orang gila babi- berbuih -buih mulut mereka. Akhirnya dilaporkan ada pemimpin mereka yang terbabit dalam industri tersebut .

Jika ahli-ahli Umno tersebut membuka sedikit mata mereka nescaya mereka akan sedar sebenarnya Umnolah yang menjadi punca mengapa arak sehingga kini dibenarkan dijual di kedai-kedai serbaneka seperti 7 Eleven.

Untuk saudara-saudaraku dalam Umno perkara pertama yang kamu kena faham adalah penjualan arak atau minuman keras di kedai serbaneka adalah dibenarkan oleh Akta Eksais 1976 ( Akta 176 ). Penjualan itu juga dikawal oleh Peraturan-Peraturan Eksais ( Penjualan Liqour yang memabukkan ) 1976.Undang-undang tersebut digubal oleh Umno kerana ia terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Umno dan sekutu-sekutunya.

Ya , benar dari segi hukum Islam sesuatu mimuman adalah dikira haram meskipun kandungan alkoholnya adalah sedikit misalnya 1 peratus sahaja. Dalam keadaan hukum fiqah yang sudah terang dan jelas Umno masih boleh lagi menggubal undang-undang yang bercanggah dengan hukum fiqh yang jelas itu dengan menyatakan bahawa jika kandungan minuman yang dijual di kedai serbanika yang mengandungi kandungan kurang dari 8 peratus maka ianya “tidak haram” dan dibenarkan dijual di kedai serbanika tersebut.

Atas dasar itu Umno tidak sepatutnya menyalahkan Ronnie Liu kerana Ronnie hanya merujuk kepada undang-undang yang Umno gubal sendiri – undang-undaang yang membenarkan beer dijual di kedai-kedai serbanika. Mengapakah selama ini dan sehingga sekarang ini Umno tidak pernah membuat bantahan atau berdemonstrasi menentang undang-undang yang mereka gubal tersebut. Kalau betul Umno jijik dengan arak parti tersebut sepatutnya meminta Kerajaan Pusat yang dikuasai Umno meminda undang-undang yang saya nyatakan tersebut supaya penjualan beer di kedai-kedai serbanika dapat dihentikan.

Perkara kedua yang sepatutnya Umno perlu buat jika mereka benar-benar jijik pada arak adalah mereka juga sepatutnya terlebih dahulu membuat bantahan atau demonstrasi di negeri-negeri yang Umno kuasai . Sehingga kini di negeri-negeri yang Umno kuasai seperti Johor misalnya masih membenarkan minuman beralkohol seperti beer dijual dikedai-kedai serbanika seperti 7 Eleven. Mengapa kita tidak dengar bantahan oleh Umno sehingga kini. Adakah arak hanya haram di Selangor dan tidak di Johor dan negeri-negeri yang Umno perintah. Nampaknya ada “pengharaman terpilih” di sini.

Perkara ketiga jika Umno benar-benar jijik pada arak atau dalam Islam dipanggil “ummu al-khabaith ( ibu segala perkara buruk ) mengapakah Umno tidak pernah membantah tindakan Kemeneterian Dalam Negeri ( KDN ) yang membenarkan akhbar-akhbar bahasa Inggeris menyiarkan iklan-iklan arak di akhbar-akhbar tersebut.

Untuk makluman Umno , Pemuda PAS pernah menghantar memorandum bantahan kepada pihak KDN tentang hal tersebut . Semasa kami berjumpa dengan Setiausaha sulit Menteri yang bertanggungjawab beliau menyatakan kepada kami “ mengapa perlu risau iklan arak kalau kita kuat iman”. Saya menjawab kepada beliau tanda orang kuat iman adalah beliau mengharamkan apa yang Allah dan RasulNya haramkan.” Lihatlah mentaliti pemimpin Umno.

Perkara Keempat mengapa sehingga kini Umno tidak bersuara tentang hidangan arak dalam kapalterbang milik MAS. Jika Umno benar-benar peka kepada pekerja-pekerja Islam di 7 Eleven mengapa mereka tidak peka kepada nasib para pramugara dan pramugari Islam yang terpaksa menghidang arak kepada para penumpang MAS ? Dan adakah Umno sedar pembayaran Duti Eksais arak dikecualikan kepada Syarikat Air Asia X Sdn Bhd melalui Perintah Duti Eksais ( Pengecualian ) ( Pindaan ) No 2 ( 2008 ) yang diwartakan dan berkuatkuasa 1 hb Julai 2008.

Akhirnya jika Umno benar-benar jijik kepada perkara haram seperti arak dan judi mengapa sehingga kini Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan masih tidak segan silu “muntah kedarah” cukai hasil –hasil haram ini. Adakah Umno sedar di bawah Perbendaharaan sahaja ada lebih kurang 6 Akta yang berkaitan dengan perjudian iaitu Akta Pertaruhan 1953 ( Akta 495 ), Akta Betting & Sweepstake Duties Act 1948 ( Akta 201 ), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ( Akta 289 ), Akta Cukai Perjudian 1972 ( Akta 65 ), Akta Loteri 1952 ( Akta 288 ) dan Akta Pertaruhan Pool 1967 ( Akta 384 ).
-detikdaily.net-

1 ulasan:

boyz4338 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.