Oleh Zukri Aksah
Satu cubaan untuk mengadakan debat di antara Ketua Pemuda Umno dan Ketua Dewan Pemuda PAS berkaitan peranan pemuda dalam masalah rasuah dan masa depan negara telah diusahakan oleh Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat melalui surat setiausahanya bertarikh 5 Ogos 2009 telah awal-awal lagi bersetuju dengan usul tersebut.
Malangnya, jelas Nasrudin, beliau telah menerima khabar dari Gerak semalam bahawa debat tersebut terpaksa dibatalkan kerana Khairy menolak untuk hadir. Ini, tambah Nasrudin adalah penolakan keenam Khairy untuk bersemuka dalam perbincangan terbuka bersama beliau setelah yang terakhir baru-baru ini, wacana ilmiah gagasan Nasrudin sendiri menemui jalan buntu.
Ini kerana, Khairy dalam prasyaratnya untuk memberi pertimbangan terhadap cadangan wacana ilmiah tersebut telah berkehendak mahu bertemu empat mata dengan Nasrudin. Bagi Nasrudin, alasan dan syarat Khairy ini adalah sesuatu yang lucu memandangkan penjelasan lengkap tentang wacana tersebut telah diterangkan dengan sejelas-jelasnya dalam surat rasmi Pemuda PAS kepada Pemuda Umno.
Tempelak Nasrudin lagi, Khairy sepatutnya tidak menimbulkan isu pertemuan empat mata itu, kerana jika Khairy jujur mahu bertemu dengan Nasrudin, beliau boleh melakukannya ketika Nasrudin hadir ke parlimen tempohari untuk menyerahkan surat jemputan rasmi wacana ilmiah tersebut. Persoalannya kenapa Khairy ketika itu hanya menghantar naibnya sebagai wakil?
Seloroh Nasrudin, dahulu Khairy tidak mahu menyambut kehadirannya, sekarang mahu berjumpa empat mata pula. Ibaratnya dahulu benci, sekarang sudah mula rasa rindu.
Nasrudin dalam cadangannya menggesa Khairy untuk terlebih dahulu menerima pelawaan penganjuran wacana ilmiah oleh Pemuda PAS. Dan di situ insyaallah, Nasrudin sendiri akan berusaha memahamkan Khairy apa sebenarnya tujuan wacana tersebut, walaupun ia sudah dimaktubkan dalam surat jemputan rasmi.
Tegas Nasrudin, Pemuda PAS tidak ada masalah langsung bagi memilih mana-mana lapangan untuk bermain dengan Umno, jika Pemuda Umno bersetuju untuk berhujah, maka Pemuda PAS juga akan memilih medan hujah.
Yang penting, Pemuda Umno mesti menunjukkan keberanian untuk bersemuka dalam majlis-majlis perbincangan terbuka, dialog, debat atau wacana. Jangan salahkan rakyat jika keengganan berkali-kali Pemuda Umno ini akan menimbulkan persepsi bahawa Umno lebih suka dengan bahasa kekerasan melalui penggunaan agensi-agensi seperti polis dan sebagainya, bukan bahasa minda dan bahasa fakta.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan