"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues Teoh: Kesan tompokan bukan darah manusia

Kesan yang ditemui di tangga ke tingkat 15 Plaza Masalam disahkan bukan darah manusia tetapi dipercayai bahan anti-karat.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh Beng Hock berkata, laporan penuh mengenainya akan diumumkan esok.

"Tiga ujian telah dijalankan oleh pakar tempatan dan pakar dari Thailand untuk mengesahkannya," kata beliau.

Gobind berkata, pihaknya melawat semula tempat kejadian untuk membolehkan pakar dari luar negara membuat pemeriksaan di situ.

Beberapa helai benang dan serabut juga ditemui selepas dijalankan pemeriksaan kali kedua di kawasan tersebut hari ini.

Menurut Gobind, satu laporan akan dibuat oleh pakar-pakar tersebut berhubung penemuan terbaru itu.

Kumpulan pakar forensik dan peguam meninjau kembali kesan darah di tingkat berkenaan bagi menentukan sama ada ia milik manusia dalam siasatan inkues kematian Teoh.

Kesan darah itu ditemui Jumaat lalu oleh peguam Teoh dan koroner Azmil Muntapha Abas sewaktu kunjungan mereka ke tempat kejadian, yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, dan tempat mendiang ditemui di koridor tingkat 5 bangunan tersebut.

Berikutan itu, prosiding inkues hari ini ditangguhkan bagi membolehkan pakar patologi dan forensik memeriksa dua kesan tompokan tersebut.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: