"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya yakin Benjy tak bersalah

KUALA LUMPUR: “Saya tak percaya! Semua itu penipuan!” tegas pelakon veteran terkenal, Azean Irdawaty berhubung tindakan polis mendedahkan peralatan makmal membuat syabu yang didakwa milik anaknya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, atau Benjy.

Azean yang dihubungi Harian Metro semalam, berkata sebagai ibu dia lebih mengenali peribadi anaknya dan yakin Benjy tidak mungkin terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah, jauh sekali mengedar `najis' berkenaan.

Katanya, dia tidak pernah melihat sebarang perubahan sikap atau tingkah laku luar biasa yang boleh mengaitkan Benjy dengan kegiatan haram itu.

“Jika anak saya benar-benar terbabit aktiviti mengedar dadah pasti dia sudah kaya-raya dan hidup senang-lenang. Ini tidak, seminggu sebelum ditahan, Benjy pinjam RM50 daripada adiknya kerana kehabisan wang. Saya yakin Benjy tidak bersalah dan semua peralatan itu mungkin dimiliki orang lain. Besar kemungkinan Benjy dijadikan `kambing hitam.' Mungkin juga dia dipaksa mengaku memiliki peralatan itu,” katanya.

Azean menegaskan, walau apapun dilakukan polis, dia yakin anaknya tidak bersalah dan ia dilakukan individu tertentu yang berniat jahat atau rakannya sendiri untuk memburukkan imej anaknya.

Menurutnya, setakat ini polis belum memohon maaf terhadap tuduhan mendakwa Benjy ditahan bersama lebih 800 gram kokain bernilai lebih RM650,000.

“Serbuk itu sebenarnya sodium bikarbonat atau baking soda (serbuk penaik), tapi tiada seorang pun polis tampil meminta maaf walaupun telah mencemarkan nama baik anak saya,” katanya.

Azean mendakwa pendedahan yang dibuat polis pada sidang media berkenaan mengganggu proses perbicaraan kes Benjy yang sedang berjalan di mahkamah.

“Bukankah pendedahan ini mengganggu kes anak saya? Tindakan ini boleh dianggap menghina mahkamah. Saya harap polis dapat siasat kes ini secara telus dan membawa mereka yang benar-benar bersalah ke muka pengadilan.

“Kak Yan berdoa dan berharap Benjy dibebaskan dan diberi hak menjalani perbicaraan di mahkamah secara terbuka. Setakat ini Benjy langsung tidak diberikan hak untuk mendapat nasihat guaman dan tidak dibenar berjumpa kami lebih daripada 10 minit,” katanya.

Menurutnya, hak asasi Benjy dihalang dan dia dituduh tanpa dibicara.

Dia mendakwa kali terakhir bertemu Benjy petang kelmarin untuk menghantar makanan.

-hmetro-

Tiada ulasan: