"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR nafi akan taja calon bebas

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menafikan tohmahan bahawa mereka akan menaja calon bebas pada pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor bagi tujuan memecah undi.

Sebaliknya, ketua perhubungan PKR Selangor yang juga menteri besar negeri itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata calon bebas tidak perlu bertanding kerana mereka tidak mampu membawa pembangunan untuk rakyat.

Katanya, sejarah menunjukkan bahawa kebanyakan calon bebas yang bertanding pada pilihan raya kecil di negara ini hilang wang pertaruhan kerana gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada undi.

"Sebagai contoh, Parti Keadilan Rakyat berdepan dengan 13 calon Bebas pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau dan semua mereka hilang wang pertaruhan.

"Jadi, lebih baiklah calon bebas tidak bertanding pada mana-mana pilihan raya kecil di negara ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan sebuah pejabat di Plaza MPK di Klang bagi membantu anak kelahiran tempatan mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Pilihan raya kecil itu diadakan pada 25 April ini berikutan kematian Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lalu. Pencalonan dijadualkan pada 17 April ini.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: