"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dadah: Seniman percaya artis diperguna sindiket kaburi polis

Pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim, atau Benjy (kanan), 31, bersama ibunya Azean Irdawaty dihadapkan di mahkamah 25 Mac lalu tetapi ditahan semula untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya selepas dua jam dibebaskan.

Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 8 April: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak menolak kemungkinan wujud sindiket yang mempergunakan artis dalam rangkaian pengedaran dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Presidennya, Harun Salim Banchik berkata kemungkinan peranan sindiket itu adalah tinggi kerana sejak akhir-akhir ini ramai artis ditangkap kerana terlibat dengan dadah.

“Kita percaya wujud sindiket yang mempergunakan artis bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana sejak akhir-akhir ini ramai artis ditangkap kerana mempunyai dadah dalam jumlah yang besar.

“Sindiket ini mungkin mempergunakan artis sebagai ‘connection’ untuk mendapatkan pelanggan sama ada dari kalangan artis ataupun orang biasa.

“Ini kerana mereka tahu artis mempunyai pengaruh yang kuat dan kesempatan ini diambil bagi melariskan najis dadah ini,” kata beliau yang mengetuai 1,800 ahli ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Isnin lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata polis menemui sejumlah peralatan untuk memproses dadah yang dipercayai disembunyikan oleh seorang pelakon dalam sebuah setor berkunci di tingkat 10 sebuah kondominium di sini baru-baru ini.

Polis turut merampas ‘thumbdrive’ yang mengandungi ‘‘buku resepi’’ memproses dadah jenis Syabu atau nama kimianya Methamphetamine, serta beberapa video mengenai cara-cara membuat dadah jenis itu.

“Selepas penahanan suspek pada 25 Mac lalu, polis menemui sejumlah peralatan seperti balang-balang kaca, silinder, penunu bunsen dan mesin pengisar yang disembunyikan di kondominium tersebut.

Penemuan pada 31 Mac itu hasil daripada pengakuan suspek sendiri.

Suspek yang menyewa sebuah rumah bersama isterinya di tingkat enam, menunjukkan tempat dia menyembunyikan peralatan tersebut yang disimpannya dalam dua kotak di tingkat 10, kata Muhammad.

Pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, dihadapkan di mahkamah 25 Mac lalu tetapi ditahan semula untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952) selepas dua jam dibebaskan.

Ketika mengulas lanjut, Harun selain itu mungkin sindiket memilih artis kerana menganggap mereka akan terlepas dari pihak berkuasa.

“Tapi pihak berkuasa bukan bodoh kerana mereka akan membuat siasatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan.

“Mungkin artis sendiri tidak sedar bahawa mereka dipergunakan dan akhirnya mereka yang terima akibatnya,” kata beliau.

Beliau berkata, penglibatan artis dengan dadah mungkin disebabkan tersilap langkah dalam pergaulan mereka.

“Sebagai artis mereka terdedah kepada umum jadi mereka mungkin tersilap langkah dan terpengaruh dengan individu yang cuba mengambil kesempatan ke atas diri mereka.

“Sepatutnya mereka tidak patut terlibat dengan dadah kerana ia merupakan satu jenayah dan sekiranya mereka ditangkap pihak berkuasa, kita tidak dapat membantu mereka.

“Artis juga perlu tahu mereka bukan hanya menjaga diri sendiri tetapi juga imej industri hiburan terutamanya seniman.

“Jika ditangkap persatuan juga akan terima kesannya, bak kata pepatah sebab nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya lagi.

Tambah beliau, satu badan khas akan ditubuhkan bagi memberi kaunseling kepada artis yang terlibat dengan dadah.

“Kita akan tubuhkan badan khas untuk memberikan khidmat kaunseling kepada artis yang ingin keluar dari kancah dadah ini tapi itu semua bergantung kepada artis itu sendiri.

“Sekiranya terlibat mereka perlu tampil ke hadapan supaya kita dapat membantu mereka menangani perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Freddie Fernandez berkata, isu dadah menjadi kecoh apabila individu yang ditangkap itu adalah artis.

“Bukan hanya artis sahaja yang mengambil dadah, ramai lagi golongan terpelajar dan profesional yang terlibat dalam perkara ini. Cuma jika artis yang ditangkap ia akan menjadi kecoh berbanding orang lain.

“Kita tidak melihat ia sebagai masalah yang besar kerana hanya segelintir sahaja artis yang terlibat dengan dadah,” katanya.

Menurutnya, mungkin sebab artis mengambil dadah kerana mempunyai masalah seperti tekanan kerja, masalah peribadi dan sebagainya.

“Mungkin mereka mempunyai masalah, jadi sebagai jalan penyelesaian mereka mengambil dadah untuk menanganinya.

“Sepatutnya mereka perlu sedar dadah bukan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi tetapi akan merosakkan diri dan masa depan mereka.

“Justeru kita harap kepada artis-artis yang tidak terlibat dengan dadah jangan sesekali mencubanya kerana ia akan memberikan kesan yang buruk,” katanya.

Karyawan juga dianggotai lebih 1,800 ahli daripada kalangan artis dan pekerja industri hiburan.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: