Mohd Noor Yahya
KOTA BHARU, 7 April: Biar pun masyarakat keturunan Sikh tidak ramai di Kelantan, namun kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mereka, sama seperti kaum-kaum minoriti lain.
Di Kelantan ada tiga kuil iaitu di Kota Bharu, Kuala Krai dan Tumpat.
Anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan kaum minoriti di bawah kepemimpinan ulama.
“Ini terbukti apabila penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang masalah,” katanya ketika melawat Temple Gurdwara Sahib di Jalan Bayam, baru-baru ini.
Sempena kunjungan tersebut, pengurusan kuil berkenaan memohon mendapat geran tahunan daripada kerajaan negeri bagi menyelenggara tiga rumah ibadat mereka.
Oleh itu, Anuar Tan yang juga Adun Kota Lama berkata, kerajaan negeri akan berusaha membantu masyarakat Sikh di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Sikh Temple Jalan Bayam, Gurmok Singh, 64 berkata, kehadiran anggota Exco terbabit amat dihargai sempena menyambut ‘Hari Kelahiran Khalsa’.
Gurmok berkata, kuil tersebut sehingga kini belum menjadi milik kekal mereka sehingga ada sesetengah pihak cuba mengambil sebahagian dari kawasan tersebut.
“Kami amat berbesar hati sekiranya pihak kerajaan dapat mengambil berat hal pemilikan tanah ini. Kini kami seolah-olah tersepit dan bimbang suatu hari nanti temple ini akan diroboh.
“Kami tidak dapat berbuat apa-apa terhadap mereka yang cuba mengambil sebahagian tanah ini kerana ia masih milik kerajaan,” ujar beliau.
Kuil berkenaan, kata Gurmok dibina pada 1948 kini digunakan sebahagian penganut Sikh di sekitar Kota Bharu.
Manakala kuil di Kuala Krai dan Tumpat digunakan sejak awal 1920-an dan masih tiada pemilikan kekal.
Difahamkan masyarakat Sikh di negeri ini hanya sekitar 100 orang dan hubungan sesama mereka begitu erat.
"Kami amat gembira berada di Kelantan yang mempunyai Menteri Besar seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang memahami masalah kaum minoriti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan