"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli MPAJ didakwa ugut sebar gambar bogel setiausaha

KUALA LUMPUR, 8 April: Seorang Anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Izzuddin Che Din mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mengugut dan satu tuduhan menyebarkan gambar bogel seorang setiausaha.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani.

Bagi pertuduhan pertama, Izzuddin, 62, didakwa telah mengugut untuk menyebarkan gambar bogel wanita berusia 41 tahun itu melalui telefon bimbit di Cheras Heights, Taman Segar, Cheras pada 1.23 pagi 14 Febuari lepas manakala bagi pertuduhan kedua, di tempat yang sama, dia mengugut mangsa untuk menyebarkan gambar bogelnya pada 6.11 petang 15 Febuari lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Izzuddin turut menghadapi pertuduhan menyebarkan lima keping gambar lucah kepada wanita itu di tempat yang sama, pada 1.04 pagi hingga 2.10 pagi antara 13 Febuari dan 15 Febuari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Izzuddin kemudiannya merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan jaminan itu kerana dia tidak bekerja di samping mempunyai penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi dan memerlukan wang untuk merawat penyakitnya itu.

“Saya juga telah berjanji kepada polis tidak akan mengganggu mangsa dan kesalahan ini merupakan kesalahan pertama saya,” katanya.

Aizatul Akmal membenarkan Izzudin diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mei untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

-Bernama-

Tiada ulasan: