"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Media komponen Pakatan perlu kerjasama

Li Fook Gao

Kawan ana: "Ana terbaca berita ini kat Utusan, benar ke?"

A
na: "Tak benar lah, berita Utusan itu mana boleh percaya ... terutamanya berita mengenai Pakatan Rakyat..."

Kawan ana: "Tapi ana tak jumpa pun penafian pada media-media parti Pakatan Rakyat... mungkin itu betul sebab itulah tak terjawab..."

Ana: "...................." (ternganga walaupun tahu berita itu tidak benar...)

Di atas ialah perbualan ana (saya dalam bahasa Arab) dengan seorang kawan rapat ana yang turut mengikuti perkembangan politik negara melalui media-media semasa dan internet. Kawan ana ini merupakan seorang yang sibuk, tiada masa sebanyak ana untuk melakukan selidik-selidik sendiri mengenai selok-belok politik negara. Semua berita-berita dan persepsi politik beliau diperolehi dengan membaca tanpa berfikir panjang.

Dengan perbualan ringkas di atas, kita sudah boleh menilai sejauh mana pengaruh media-media semasa dalam menpengaruhi minda rakyat terhadap Pakatan Rakyat sekiranya tiada apa-apa langkah drastik dilakukan sebelum PRU 13 menjelang.

Untuk setiap berita mahupun laporan buruk mengenai Pakatan Rakyat di media arus perdana (MAP) yang dibaca, berapa berita yang dijawab di media organ parti PAS, DAP dan PKR dengan cepat? Sekiranya dijawab, berapakah ramai pembaca yang langsung tidak mengambil inisiatif untuk mengunjungi laman-laman pro Pakatan untuk mendapatkan gambaran yang sebenarnya? Itulah dilemma terbesar Pakatan Rakyat yang harus diatasi sebelum PRU-13 datang mengunjung.

Ramai juga ahli politik Pakatan Rakyat yang membuat terus membuat kesimpulan mudah setelah membaca laporan berkenaan jualan akhbar-akhbar MAP menjunam teruk, sebagai tanda bahawa rakyat tidak lagi percaya terhadap berita-berita yang dilaporkan MAP dengan sewenang-wenangnya. Betul ke begitu?

Jika betul, mengapa laman web The Star menduduki tangga ke 14, Utusan di tangga 21, Harian Metro di tangga 27 dan Berita Harian di tangga 34 dalam senarai kedudukan laman web yang paling diminati rakyat Malaysia berdasarkan data Alexa di sini: http://bit.ly/pXoy6 . Selain Harakahdaily di tangga 62, tiada lagi laman-laman web yang betul-betul menyokong Pakatan berada di dalam lingkungan 100. Laman web berita alternatif yang kelihatan seimbang seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider masing-masing menduduki tangga ke 15 dan ke 42.

Data-data di atas jelas menunjukkan bahawa rakyat - walaupun sudah kurang membeli akhbar, namun mereka masih menjadikan MAP sebagai sumber utama berita-berita dalam negara.

Jika kita melihat dengan teliti, walaupun 80% komen-komen pembaca terhadap sesuatu artikel di laman web berita Malaysiakini dan The Malaysian Insider memihak kepada Pakatan Rakyat, daripada data-data Alexa, ana berani simpulkan bahawa golongan rakyat yang melawat laman web MAP adalah berbeza daripada golongan yang melawat laman web alternatif – ini juga bermakna golongan yang mengikuti berita politik negara melalui laman web MAP adalah lebih besar jumlahnya daripada golongan yang mengikuti berita politik melalui laman web berita alternatif.

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk mengatasi masalah ini?

1. Sebelum adanya laman web rasmi Pakatan Rakyat, gunakan sepenuhnya pengaruh media terkuat Pakatan Rakyat buat masa ini iaitu Harakahdaily untuk menjawab tohmahan dan menyebarkan berita.

Laman web Harakahdaily harus menyediakan satu ruang alternatif yang dinamakan “Ruang Pakatan Rakyat” (atau pautan) kepada parti PKR dan DAP untuk menyumbangkan berita mereka secara percuma.

PKR dan DAP harus memanfaatkan ruangan ini untuk menyebarkan berita dan pautan kepada media rasmi mereka untuk mempromosikan kekitaan dan keeratan Pakatan Rakyat selain membolehkan pengunjung-pengunjung Harakahdaily tahu di mana mereka boleh mendapatkan berita-berita lanjut mengenai Pakatan Rakyat dengan senangnya.

Dengan ini, secara tidak langsung juga tahap populariti laman-laman web pro Pakatan seperti suara-keadilan.com dan tvselangor.com dapat ditingkatkan melalui populariti Harakahdaily.

2. Laman web berita rasmi Pakatan Rakyat – dan meluaskan pengaruh melalui Facebook.

Sehingga kini, tiada lagi kedengaran ada usaha ke arah membina satu laman web rasmi untuk semua berita mengenai Pakatan Rakyat. Saya berharap Pakatan Rakyat sudah pun memulakan usaha ke arah ini…

Sebagai langkah permulaan sebelum laman web rasmi dilancarkan, Pakatan Rakyat harus mengambil inisiatif untuk membuka satu fan page rasmi Pakatan Rakyat di Facebook.

Keadaan Pakatan Rakyat di Facebook sekarang amat mendukacitakan kerana rata-rata fan page hanya dibuka untuk menyokong ahli-ahli politik, parti, organ parti dan kawasan di bawah kuasa Pakatan Rakyat tertentu, sehingga menggambarkan bahawa keseluruhan Pakatan Rakyat langsung tidak bersatu padu dalam mendokong cita-cita yang sama.

Tujuan utama untuk mengadakan satu laman rasmi Facebook rasmi Pakatan Rakyat ialah untuk membolehkan kita mengumpul dan menyatukan semua penyokong Datuk Seri Anwar, Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi, Tony Pua, Mat Sabu, Harakahdaily, Suara Keadilan dan lain-lain pemimpin PR ke dalam satu fan page menyokong Pakatan Rakyat – yang akan dikawal oleh moderator-moderator yang sama daripada fan page pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat supaya tiada extra kos dan tenaga pekerja yang diperlukan untuk usaha ini.

Faedah utama dengan adanya fan page rasmi Pakatan Rakyat ialah PR dapat menyebarkan berita-berita Pakatan Rakyat di samping menjawab segala tohmahan MAP kepada penyokongnya dengan mudah, konsisten dan tanpa sebarang kekeliruan.

Di samping itu, semua pemimpin Pakatan Rakyat harus melibatkan diri dan berinteraksi dalam Fan Page ini untuk menjadikan mereka lebih mesra rakyat selain membolehkan mereka mendapatkan feedback melalui komen-komen penyokong Pakatan Rakyat.

Bayangkan dengan adanya fan page yang dipenuhi dengan berjuta penyokong PR …. Sudah tentu keadaan ini akan menggerunkan BN dan serangan-serangan cybertroopers Barisan Nasional akan dapat dipatahkan dengan mudah dengan bantuan penyokong-penyokong di Facebook.

Jika ini laman Facebook ini berjaya dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam masa 6 bulan, dan dengan base penyokong yang besar di Facebook, apa agaknya kesan terhadap MAP sekiranya Pakatan menyarankan penyokong-penyokongnya yang berjuta ini untuk memboikot akhbar MAP selama seminggu sebagai protes terhadap laporan berita palsu yang mereka laporkan mengenai Pakatan Rakyat?

Pakatan Rakyat, ingatlah bahawa ramai parti politik dan ahli politik yang jatuh kerana media, jarang sekali kedengaran media yang jatuh akibat politik.
-------------------------------
Li Fook Gao berharap Pakatan Rakyat akan dapat mencapai kemenangan di Hulu Selangor. Dia berpendapat, kalau orang gunakan I atau You mengapa dia tidak boleh gunakan Ana dan Anta.

Tiada ulasan: