ABD JALIL ALI
Tiba-tiba saya berasa lebih selamat untuk merayau dalam kesibukan Jalan Chow Kit atau Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kemungkinan untuk kena raba dan kena seluk saku semakin tipis. Ketakutan untuk diragut mat rempit juga semakin berkurangan.
Malah, terasa lega juga ketika pulang dari pejabat waktu malam – saya biasanya tiba di rumah melewati jam 12 tengah malam. Selalu ada kebimbangan bahawa ketika turun dari kereta waktu malam, tiba-tiba orang mengacu pisau tajam atau pistol di leher. Sekarang tidak bimbang lagi.
Tambahan pula pencuri zaman ICT ternyata lebih canggih, lebih berani, dan tidak memilih bulu. Kereta rasmi Ketua Polis Selangor pun tidak terkecuali, dikebas pada siang hari. Pencuri bagaimana pun memulangkan kereta tersebut dengan nota minta maaf sebab ‘tersalah kebas’. Agaknya ini pencuri jenis bertimbang rasa!
Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini rasa bimbang di hati reda sedikit, lebih-lebih lagi setelah membaca berita mengenai menurunnya kadar jenayah seluruh negara yang disiarkan media, semalam. Saya tabik dan syabas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Seperti yang dilaporkan bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini, kadar jenayah jalanan merosot sebanyak 39 peratus, jauh melepasi sasaran awal 20 peratus. Dalam waktu yang sama kadar jenayah jatuh 15 peratus, juga melepasi sasaran 5 peratus yang ditetapkan.
Tentu sekali kejatuhan ini patut disyukuri lebih-lebih lagi sepanjang tahun 2006 hingga akhir tahun lalu trend jenayah terus meningkat di negara kita. Untuk makluman pada tempoh suku pertama tahun lalu sebanyak 9,984 jenayah jalanan, dan 52,987 jenayah telah dilaporkan di seluruh negara.
Tidak syak lagi kerja keras pihak berkuasa – Polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam, dan agensi-agensi lain – telah membantu menurunkan kebimbangan di hati kita. Walaupun ada pihak yang menuduh polis kita kasar, kesungguhan mereka membanteras jenayah patut sangat dihargai.
Harap-harap dengan kenaikan gaji dan syarat perkhidmatan yang lebih baik, polis akan bekerja lebih dedikasi dan lebih bertanggungjawab, untuk memastikan kadar jenayah menjunam setiap tahun. Tetapi jangan biarkan kanak-kanak bawah umur terus memandu kereta dan menunggang motosikal tanpa lesen!
Sementara kita patut bersyukur sebab kadar jenayah telah diturunkan, pihak berkuasa patut juga menumpukan usaha untuk membersihkan bumi berdaulat ini daripada anasir-anasir yang terus mengancam keselamatan dan ketenteraman. Hari demi hari ada sahaja musuh yang mengganggu kehidupan kita.
Salah satu yang perlu diperangi habis-habisan ialah pendatang tanpa izin atau nama manjanya ‘Pati’. Jumlah mereka tidak diketahui dengan tepat, tetapi mungkin sudah mencecah bilangan juta (jangan terkejut!). Mereka mengisi pasaran kerja di sektor perladangan dan pembinaan. Kita masih gagal mengusir mereka, sedangkan sebahagian mereka turut menyumbang secara aktif kepada peningkatan kadar jenayah di komuniti kita.
Selain yang masuk dan menetap secara haram, ada ramai juga yang masuk secara ‘separuh haram’. Mereka masuk sebagai pelancong menggunakan visa semasa tiba atau VOA, tetapi terus menetap di bumi bertuah ini setelah tempoh visa luput. Tidak lama dulu KDN memberitahu ada lebih 40,000 warga China dan India bersembunyi di negara ini setelah visa mereka tamat.
Tentu sekali bilangan mereka yang melewati tempoh visa ini sudah meningkat berpuluh-puluh ribu lagi sekarang. Buktinya setiap kali serbuan dan tangkapan di lakukan di pusat-pusat hiburan – rumah urut, tempat pelacuran, pusat GRO dan lain-lain tempat maksiat – sebahagian besar gadis dan wanita asing yang ditangkap ada mereka yang telah tamat tempoh visa.
Setakat ini apa yang kita lihat menerusi media hanyalah serbuan dan tangkapan di pusat-pusat maksiat. Akhir-akhir ini kerap betul petugas penguat kuasa mendapat publisiti sebab serbuan ke tempat-tempat seperti itu. Rasanya menyerang pusat-pusat hiburan untuk melihat betis, paha dan lengan yang terdedah, tidak mencukupi. Jangan tumpukan usaha membanteras hanya di itu.
Apa jadi dengan berpuluh-puluh ribu lagi yang bersembunyi di merata pelosok, dan setiap saat merampas hak warga tempatan? Mereka mungkin berada di ladang, di kawasan pembinaan, di restoran atau pasar raya. Mungkin juga mereka sedang menjual cendol atau yong taufu di hadapan rumah kita.
Sudahlah kita gagal mengusir Pati yang kemasukan mereka bagaikan tidak terkawal lagi, kita kini menghadapi pula masalah pelancong yang tidak mahu pulang ke negara asal setelah visa tamat tempoh. Usahkan hendak mengusir, hendak mengesan jejak mereka pun kita tidak mampu.
Tujuan utama kita melaksanakan VOA dulu ialah untuk menggalakkan pelancong datang ke sini. Tetapi apa gunanya kita menerima ‘pelancong’ jenis tidak berduit yang akhirnya bersembunyi di sini untuk menjadi pelacur, atau lebih malang lagi sekiranya mereka menjadi penjenayah. Mereka menyalah guna kemudahan visa. Kita hendak pelancong, tetapi dapat pelacur. Mungkin kita perlu memikirkan semula apakah VOA perlu diteruskan, atau dihentikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan